Bab 9

1.4K 92 5
                                    

TOMBOL pintu dipulas. Julia kaku di depan pintu. Satu suara halus menyergah ke cuping telinga. Adrenalin meluru laju di dalam aliran darah sekali gus bulu romanya meremang. Jantungnya berdebar kencang mengepam darah.

"Jue..."

Telapak tangan Mona melekat pada bahu Julia. Dia hairan melihat Julia yang terpacak di depan pintu. Masakan Julia tidak sedar bunyi keretanya masuk ke laman rumah.

Apabila mendengar suara Mona, barulah Julia berani untuk menoleh. Julia terus memeluk teman serumahnya itu. Mona perasan yang Julia seperti orang ketakutan. Mona tidak mahu bertanya lebih-lebih. Mona menutup pintu. Julia memeluk tubuh di atas sofa.

Mona mengambilkan air kosong di dapur. Jari-jemari Mona tersentuh jari-jemari Julia ketika menghulurkan gelas air kosong kepada gadis itu. Sejuk.

"Sejuk betul badan kau, Jue. Kau masih tak sihat?"

"Aku okey."

"Kau asyik cakap yang kau okey. Muka kau dah pucat macam tak ada darah. Tengok bibir kau, kebiru-biruan," ujar Mona sambil mengamati lama wajah Julia.

Dia yakin Julia tidak sihat. Julia hanya menelan ubat dari farmasi. Dia tidak percaya Julia mengambil benda terlarang. Sudah lama mereka duduk serumah.

"Biasalah aku diet."

Alasan Julia itu kedengaran tidak munasabah.

"Jue, kita dah lama kenal. Kalau kau ada masalah, kau boleh kongsi dengan aku."

Julia bungkam. Mona menggeleng perlahan. Dia ingin terus mendesak Julia tetapi dihalang oleh bunyi telefon yang berdering. Panggilan yang masuk dari tempat kerjanya. Mona melepaskan kelulan berat. Matanya beralih pada Julia yang membatukan diri.

"Aku kena ke tempat kerja semula. Ganti syif staf yang ambil cuti emergency."

"Pergilah," ujar Julia, pendek.

"Kau rehatlah. Pastikan semua pintu berkunci. Sekarang kecoh pasal pencuri. Dua hari lepas kejiranan kita kena pecah masuk."

"Hmm..."

"Aku pergi dulu," ujar Mona, meninggalkan Julia dengan rasa berat hati.

Julia mengeluarkan sebungkus ubat dari beg galas. Dia menelan dua biji pil lalu merebahkan tubuh di atas sofa. Julia menggelisah. Dia sepatutnya menghalang Mona meninggalkan dia sendirian di rumah. Belum terlewat untuk dia menghubungi Mona agar berpatah balik tetapi panggilannya gagal. Mona tidak mengangkat telefon.

Julia menaip pada skrin telefon lalu menghantar beberapa mesej kepada Mona. Batuk Julia terus menjadi-jadi. Darah mengalir dari kedua-dua belah hidung. Seluruh tubuh Julia mula sakit-sakit. Julia memengang leher. Rasa mualnya menyerang. Julia masuk ke bilik air. Muntahnya bercampur darah dan lintah.

Julia takut mahu melihat wajahnya di dalam cermin. Perlahan-lahan dia mengangkat kepala. Jeritan Julia meletus sebaik sahaja melihat wajahnya dipenuhi beberapa ekor lintah. Julia menarik lintah dari kulit muka. Lintah yang ditarik mencarik kulitnya hingga terdedah daging merah. Kesakitan bagaikan sudah tepu. Julia terus menarik lagi lintah di muka. Seluruh mukanya berdarah. Sekelip mata wajah cantik itu bertukar menjadi hodoh.

Lintah-lintah kecil meliuk keluar dari kulit daging Julia. Sekelip mata mukanya penuh dengan makhluk itu. Julia mematahkan sebatang berus gigi lantas ditoreh-toreh pada muka. Julia hilang kawalan diri. Darah menitik-nitik ke lantai. Dia ketawa seperti orang tidak siuman sambil mendongak memandang syiling.

"He... he... he..."

Pandangan matanya mulai kabur. Dia tergelincir lalu jatuh ke dalam tab mandi. Kepalanya terhentak pada hujung tab. Tubuh Julia menggeletik dengan mata terbelalak luas. Darah hitam yang hanyir membuak keluar bercampur dengan lintah-lintah kecil dari mulut Julia.

MONA langsung tidak perasan Julia ada menghubungi telefon bimbitnya. Mona berhenti di bahu jalan untuk memeriksa telefon bimbit. Dia menyemak mesej yang Julia tinggalkan dalam telefon. Mona segera menghubungi Julia semula. Tidak berjawab. Panggilannya hanya masuk ke peti suara. Kebimbangan jelas pada riak wajah Mona.

Mona tiada jalan lain. Rasa tidak sedap hatinya semakin dirasai. Masakan dia akan membiarkan Julia sendirian. Mona melekapkan semula telefon bimbit pada corong telinga. Dia segera menghubungi rakan sekerjanya.

"Helo Fariz, aku tak dapat nak gantikan tempat staf tu malam ni."

"Apa hal? Nanti Abang Bob bising pulak. Orang tak cukup ni."

Mona merengus kecil. Tidak bertimbang rasa betul!

"Kawan serumah aku sakit. Aku nak hantar dia ke klinik. Nanti aku SMS Abang Bob."

"Okeylah." Suara lelaki di dalam talian itu seperti tidak berpuas hati.

"Terima kasih."

Panggilan tamat. Sebaik sahaja meninggalkan pesanan ringkas pada lelaki bernama Abang Bob, Mona segera berpatah balik. Dia tidak peduli jika gajinya dipotong. Keadaan Julia yang perlu diutamakan. Takut apa-apa berlaku pada teman serumahnya itu. Dia bukan suka-suka mahu ponteng kerja.

Mona memandu semula kereta menuju ke rumah sewanya. Hatinya berdoa semoga tiada apa-apa yang buruk berlaku pada Julia.

Bersambung...

LINTAHWhere stories live. Discover now