Bab 20

1.5K 96 7
                                    

RYAN bungkam. Seorang lagi pelajar kolej itu maut kerana lintah. Lintah yang dihantar sebagai pemangsa untuk membunuh. Pelaku itu cukup cepat bertindak mencari mangsa yang ketiga. Dia tidak perlu mengotorkan tangan dengan darah untuk membunuh mangsa. Dia hanya perlu menghantar makhluk itu sebagai pengganti. Makhluk itu sahaja yang ditinggalkan pada mangsa. Tiada bahan bukti untuk mengukuhkan tuduhan kepada mereka yang dijadikan suspek. Apa yang ahli forensik boleh lakukan pada makhluk itu?

Zarin yang disoal siasat menafikan itu perbuatannya. Sephia dan Zila bersungguh-sungguh mempertahankan Zarin. Raimi jadi begitu setelah minum air susu dan makan burger milik Zarin. Hasil siasatan susu dan makanan di kafe itu bersih. Pelajar yang lain juga makan di kafe itu. Ryan menyarankan agar pelajar-pelajar yang menjamu selera pada hari itu melakukan pemeriksaan doktor. Itu sekadar langkah sampingan. Dia tidak mahu menakut-nakutkan pelajar di situ.

Zarin ini mungkin hanya dijadikan suspek utama. Bukan dia yang melakukan pembunuhan demi pembunuhan itu. Ada yang mahu menundingkan jari pada dia? Kenapa? Dalangnya masih bersembunyi. Si pelaku tidak akan semudah itu akan terjerat. Orangnya cukup berhati-hati.

"Tuan yakin bukan Zarin yang melakukannya?" Shukri bertanya setelah Zarin dibebaskan.

"Bukan dia." Ryan membalas. Pendek.

"Zarin dengan Raimi. Hubungan mereka tidak baik. Ada pelajar sekelas Zarin yang menemui balang berisi lintah di dalam beg galas Zarin."

"Tidak. Saya yakin bukan dia. Kita tidak akan begitu mudah menangkap si pelaku. Zarin tidak berhubungan baik dengan Raimi dan juga Julia yang menjadi mangsa sebelum ini tetapi dia tidak bermakna dia yang melakukan pembunuhan itu. Dari keterangan Sephia, balang lintah di dalam beg galas Zarin itu bukan milik Zarin.

Ada orang lain yang sengaja meletakannya. Zarin hanya sekadar dijadikan suspek. Saya melepaskan Zarin bukan kerana Zarin itu adik tiri sahabat saya. Tapi berpandukan pada bukti. Hasil bedah siasat sudah membuktikan lintah-lintah dalam tubuh mangsa datangnya bukan dari susu dan burger milik Zarin. Lintah-lintah itu sudah membiak dalam tubuh mangsa tanpa sedar." sangkal Ryan.

Kepala Shukri terangguk-angguk.

"Dari rekod perubatan Raimi, dia ada ke hospital melakukan pemeriksaan di hospital. Menurut gadis bernama Kamelia itu, Raimi sakit perut teruk dua hari lepas sebelum dia mati. Masakan lintah-lintah tidak dikesan waktu itu?" Shukri telah merujuk rekod perubatan yang dibut oleh mangsa.

"Tidak mustahil lintah-lintah itu tidak dapat dikesan oleh doktor." Ryan membalas.

"Kenapa?" Dahi Shukri berkerut.

"Kau sendiri tahu ia melibatkan ilmu hitam. Ilmu santau."

Ryan bingkas bangun. Tangannya menyeluk kedua-dua kocek seluar. Dari pintu balai itu dia melihat Zarin bersama tiga rakannya yang lain.

"Siapa antara mereka, merupakan mangsa kamu seterusnya?" Hatinya berbisik.

Zarin jalan beriringan dengan Sephia. Zila berada di belakang. Mereka sudah tiga hari berulang-alik ke balai polis untuk soal siasat. Zarin seratus-peratus bebas dari disabitkan dengan kematian Raimi.

Zamarul kelihatan menunggu di pintu pagar luar ibu pejabat itu di samping keretanya. Zarin tidak mempedulikan abang tirinya itu. Zamarul seperti tidak wujud di mata Zarin. Sephia menarik kasar lengan Zarin. Lelaki itu terpaksa juga menurut langkah Sephia.

"Jangan berperangai macam budak-budak." Sephia mendengus.

Dia meninggalkan Zarin bersama Zamarul. Sephia kalau boleh mahu melihat Zarin berbaik-baik dengan abang tirinya. Ego tidak ke mana. Zarin menyelit masuk ke dalam kereta Zamarul.

"Aku tengok abang dia baik saja layan Zarin." Zila nampak Zamarul lelaki yang berbudi bahasa. Dia tidak lihat Zamarul ganas atau jahat.

"Abang Zamarul tu memang baik. Baik gila!" ujar Sephia.

Kepala Zila mula berasa pening. Pandangannya kabur. Nyaris dia tumbang jika Sephia tidak menahan tubuhnya.

"Kau tak sihat ke? Kau tak makan apa-apa dari pagi tadi?" Muka Zila pun nampak pucat. Tadi dalam balai polis

biasa saja.

"Aku ni pagi, tengahari dan malam makan. Mana pernah aku diet. Tapi tak adalah aku melantak ikut nafsu." Zila masih prihatin dengan kesihatan tubuh badan. Boleh dikatakan dia jarang jatuh sakit.

"Cuaca panas agaknya. Aku pun sudah berpeluh." Melekit badan jadinya. Tekak juga berasa haus. Kering.

"Itulah."

"Aku temankan kau sampai kakak kau datang mengambil kau di sini." Lebih baik dia menemani Zila. Risau jika sahabatnya tumbang di situ. Bahaya.

"Terima kasih, Phia."

Bersambung...

LINTAHWhere stories live. Discover now