Bab 22

1.6K 92 11
                                    

"ZARIN... mari keluar makan bersama. Abang Zam pun ada sekali ni." Pintu biliknya itu diketuk perlahan. Zarin yang berbaring di atas katil menarik bantal menutup muka. Seharian dia duduk di dalam bilik. Ponteng kuliah.

Puan Asmah tidak gemar anaknya itu berkurung di dalam bilik. Dia melepaskan keluhan berat. Dia tahu Zarin sering bertekak dengan abang tirinya itu. Zamarul bukan mahu menuduh Zarin itu membunuh. Zamarul mahu Zarin lebih berhati-hati. Jika Zarin dianiaya orang, ibunya ini juga yang bersusah hati. Puan Asmah mengetuk sekali lagi bilik Zarin.

"Zarin tak lapar." Zarin menyahut.

Puan Asmah tidak mahu memaksa. Wanita itu beredar. Hatinya tersentuh dengan sikap dingin Zarin. Hubungan mereka semakin renggang. Dia hanya mampu mengadu kepada Zamarul, anak tirinya itu. Zamarul pendengar setia.

Zarin tidak lagi mendengar ketukan pintu di luar. Dia menarik komputer riba dari meja yang berdekatan dengan katil. Zarin membuka komputer ribanya. Dia menyemak segala e-mel yang diterima. Air muka Zarin berubah apabila membuka e-mel dari seseorang yang dikenalinya. Terbit rasa amarahnya setelah membaca e-mel yang dihantar. Masakan dia? Pantas dia bangkit lalu menyarungkan t-shirt ke tubuhnya itu.

Zarin memulas tombol pintu lalu mengunci biliknya setelah melangkah keluar. Abang tirinya tidak lagi kelihatan di ruang tamu. Barangkali sudah pulang. Zarin mencapai kunci motorsikal RXZ miliknya. Tidak endahkan suara ibunya yang bertanya ke mana arah tujuannya itu. Dia perlu memastikan sesuatu. Zarin menghidupkan motorsikalnya. Zarin memecut laju.

Zarin memarkirkan motorsikalnya di hadapan rumah teres dua tingkat itu. Loceng ditekan bertalu-talu. Seorang wanita separuh usia membuka pintu pagar.

"Zarin..." Nyata wanita itu mengenalinya.

"Yazid ada, mak cik?"

"Yazid ada di biliknya. Silalah..."

Wanita itu tidak sempat menghabiskan ayat terakhir, Zarin sudah menerjah masuk. Zarin memekik nama Yazid. Lelaki itu menyahut. Dia memanjat anak tangga satu-persatu. Matanya terus terarah pada bilik Yazid. Rumah itu sudah biasa menjadi kunjungan Zarin. Kebelakangan ini sahaja Zarin jarang bertemu dengan Yazid. Yazid sibuk dengan aktiviti paranormalnya. Tambah lagi bila Yazid mempunyai masalah keluarga. Ayahnya bernikah dengan seorang janda dan jarang balik ke rumah.

"Yazid!" Dia memanggil lagi.

Pintu terkuak. Zarin terus menolak daun pintu.

"Yazid... ini pasti kau punya angkara..." Ayat Zarin mati.

Yazid memusingkan tubuhnya.

Matanya terbelalak. Mata, hidung dan telinganya mengalir darah. Beberapa ekor lintah kelihatan meliuk-liuk atas tumpahan darah di lantai. Langkah Yazid terhoyong-hayang. Tubuh Yazid begitu susut dengan rambutnya yang tidak terurus. Lelaki bernama Yazid itu menekup mulutnya dengan kedua belah tangan. Darah hanyir berwarna hitam mengalir dari celahan jari Yazid.

"Za... Zarin..."

"Yazid, apa sudah jadi dengan kau?"

Yazid rebah. Zarin terus menerpa ke arah lelaki itu.

"Kau... kauu... kauu... Za... Zarin... aaku..." Yazid memengang lengan baju Zarin. Dia tidak berdaya menghabiskan ayatnya, Mata Yazid terkatup rapat. Tangannya terkulai atas lantai. Zarin meletakkan dua jarinya di bawah hidung Yazid. Nafas Yazid perlahan. Yazid masih bernyawa.

"Mak cik! Makcik! Tolong saya!" Dia berteriak.

Deras bunyi derapan tapak kaki memijak anak tangga. Wanita itu terpaku di depan muka pintu melihat keadaan anaknya itu.

"Ya, ALLAH! Yazid!"

Yazid dimasukkan ke hospital. Zarin meraup muka. Jantung Zarin berdengup laju. Seluruh tubuhnya menggeletar ketakutan. Dari jauh dia melihat ibu Yazid bercakap-cakap dengan doktor. Wanita itu kelihatan menangis. Zarin tiada kekuatan untuk menghampiri dan bertanya dengan ibu Yazid.

Zarin menapak keluar dari hospital. Zarin mencari tempat yang agak tenang lalu menghubungi Sephia. Wajar untuk Sephia mengetahui apa yang terjadi pada Yazid.

"Yazid masuk hospital? Dia sakit apa?" suara Sephia terkejut. Dia tidaklah begitu mengenali Yazid. Yazid bekas pelajar di kolej mereka. Lelaki itu masih menganggur dan tidak mempunyai kerja tetap. Sibuk dengan aktiviti paranormal dengan rakan-rakan yang sekepala dengannya.

"Aku syak Yazid kena macam Hani dan Julia." ujar Zarin. Dia berkata sedemikian mengikut firasat hati. Dia percaya Yazid sudah kena dengan ilmu itu.

"Kau jangan main-main Zarin." Apa kaitan dengan Yazid sampai Yazid pun terlibat sekali. Sephia mula mengesyaki sesuatu.

"Aku nampak depan mata akulah benda tu." Zarin menekan suaranya.

Sephia diam seketika dalam talian.

"Dia masuk hospital mana?"

"Kau nak datang sini?" tanya Zarin tidak percaya. Setahu dia Sephia bukanlah suka sangat dengan Yazid.

"Ya," balas Sephia.

"Aku di hospital Shah Alam."

"Aku ke sana sekarang." Sephia meletakkan telefon. 

Bersambung...

LINTAHWhere stories live. Discover now