Bab 12

1.4K 96 2
                                    

NASI berlauk bersama segelas air kosong di atas dulang diletakkan di depan pintu bilik. Wanita pertengahan 50-an itu mengeluh perlahan. Sikap anaknya masih tiada perubahan. Riak bimbang jelas terpamer pada wajah tua itu. Kebelakangan ini anaknya itu cukup gemar berkurung di dalam bilik. Dia beredar sebaik sahaja pintu bilik diketuk.

Pintu bilik itu terkuak perlahan. Tangan disuakan mengambil dulang makan malamnya. Dia mengukir senyuman. Jelas barisan gigi putihnya terpamer. Bilik gelap itu hanya diterangi cahaya lilin. Dia meletakkan dulang makanan itu atas meja. Bau masakan ibunya sentiasa menyelerakan tekaknya. Tidak diendah dengan bau hamis dan busuk di dalam biliknya itu.

Tangan kanannya ligat menyuap nasi ke mulut manakala tangan kirinya memangkah gambar yang berada di dalam komputer. Tidak sia-sia dia mempraktikkan ilmu yang dipelajarinya itu.

"He...he...he..."

Lirikan matanya beralih pada beberapa buah balang berbalut kain kuning yang tersusun pada rak dalam bilik itu. Benda hitam yang sedang meliuk-liuk dalam balang itu dikerling dengan senyuman. Makhluk kesayangannya itu akan mencari mangsa seterusnya.

"LINTAH mengikut daripada sumber wiki, merupakan sejenis haiwan anelid yang merangkumi subkelas Hirudenia. Terdapat pelbagai jenis lintah. Ada lintah air tawar, air laut dan daratan. Seperti golongan , lintah menampakkan anggota (bahagian kelenjar yang membengkak pada kulit anelid, misalnya cacing tanah, yang merembes kokun dan bahan nutrien untuk embrio.). Lintah merupakan haiwan (mempunyai kedua-dua organ jantan dan betina) seperti .

Sesetengah jenis lintah mempunyai kegunaan dalam perubatan menghisap darah sejak ribuan tahun dahulu, tetapi kebanyakan lintah tidak menghisap darah. Lintah penghisap darah berhinggap pada perumahnya sehingga kenyang, selepas itu turun untuk makanan.

Badan lintah terdiri daripada 34 segmen. Penghisap anterior (mulut) terbentuk pada enam segmen terhadapan badannya, yang digunakan untuk beraput pada perumah, sambil mengeluarkan bendalir bius agar perumah tidak merasa hinggapan lintah. Lintah mengeluarkan campuran mukus dan lekapan dari otot-otot sepusat di keenam-enam segmen itu agar terus berpaut dan merembeskan enzim pencegah pembekuan darah dalam sistem darah perumah," ujar Zarin, berbicara panjang lebar di dalam talian.

"Aku tak ada selera makan bila kau sebut tentang benda alah tu!" rengus Sephia yang baru ingin menyuap megi.

Melihat meginya itu seperti melihat berpuluh-puluh ekor lintah di dalamnya. Terus saja dia membatalkan niat untuk menikmati hidangan makan malamnya itu walaupun perutnya berbunyi minta untuk diisi.

"Siapa suruh kau bayangkan benda alah tu?"

"Rupa benda alah tu macam dah set kat kepala otak aku. Aku tak boleh buang dah. Lagi-lagi bila mata kepala aku tengok makhluk tu keluar dari mulut Julia." Sephia mendengus.

Zarin menggerakkan kerusi beroda itu ke arah sebalang botol kaca berbalut kain kuning. Balang itu dicapai. Jika Sephia tahu, mesti gadis itu akan melenting. Zarin masih belum membuang benda itu. Tempoh hari puas dia dibebel Sephia pasal benda itu.

Sebelah tangannya masih memengang telefon yang melekap di cuping telinga.

"Sephia... kau takut mati tak?" Tiba-tiba Zarin membuka topik pasal mati.

"Soalan apa pulak kau bagi ni?" rengus Sephia.

"Kau takut tak?" Zarin berkeras mahu Sephia menjawab soalannya.

Sephia senyap. Soalan Zarin itu tidak dibalas. Siapa yang tidak takut mati? Semua hidupan atas muka muka bumi ini akan mati. Menyebut tentang mati, bekalan akhiratnya masih tidak terkumpul. Sephia jadi gerun. Dunia yang dikejar, akhirat dibiarkan tercicir.

"Aku rasa mengantuklah, Zarin," ujar Sephia, ingin lari daripada topik yang diutarakan oleh Zarin.

"Masa aku call tadi kau sedang lapar nak makan megi segera kau."

"Aku dah kenyang bila kau buka cerita pasal benda alah tu. Kau buat aku diet free malam ni," gumam Sephia.

Zarin melirik senyuman.

"Kita jumpa kat kolej esok."

"Selamat malam, Zarin. Assalamualaikum..."

Talian terus terputus. Belum sempat menjawab salam, Zarin sudah memutuskan talian. Sephia menggeleng perlahan.

Zarin meletakkan telefon di atas meja. Dia menarik kain kuning yang membaluti balang kecil itu. Ada dua ekor lintah berwarna kehitaman di dalamnya.

Sephia menarik selimut hingga ke paras dada. Terbayang-bayang jasad kaku Hani dan Julia yang ngeri itu di ruang mata. Tekaknya mula berasa lain macam. Sephia bangun lantas turun dari katil. Satu bentuk kelihatan timbul di leher jinjangnya. Sephia memengang batang lehernya. Dia mula seriau. Terus sahaja menuju ke meja solek.

Tubuh Sephia menggeletar melihat dirinya di dalam cermin. Lehernya terus mengelembung besar kemudian meletup. Darah memancut bagaikan air paip. Lintah-lintah menjalar keluar.

"Argh!" Sephia menjerit.

Sephia tersentak. Dia bagaikan bermimpi. Suasana hening seketika. Nafasnya turun naik. Dia meraba-raba semula pangkal lehernya. Apa yang dia lihat tadi hanya satu khayalan. Sephia menghamburkan nafas. Gila! Apa yang berlaku sebentar tadi seperti realiti. Sephia meraup muka. Dia terlalu banyak berfikir tentang benda itu.

Bersambung...

LINTAHWhere stories live. Discover now