Bab 10

1.5K 105 1
                                    

PINTU rumah sewa itu ditolak. Tidak berkunci. Mona mengetap bibir sambil melangkah masuk ke dalam rumah. Dalam keadaan begini dia tidak mahu memikirkan kecuaian Julia. Julia tidak kelihatan di ruang tamu. Mungkin gadis itu masih berada di bilik tidur.

"Julia! Julia!" panggil Mona.

Dia mengetuk pintu bilik Julia bertalu-talu. Hampir bergegar pintu bilik itu, namun tiada sahutan.

"Julia!" jerit Mona lagi sambil memulas tombol pintu bilik. Julia tidak ada di dalam.

Ke mana pula Julia pergi? Mona menjadi hairan. Suara erangan di bilik air mengejutkan Mona. Bergegas dia mengatur langkah ke bilik air.

"Julia!" jerit Mona.

Pintu bilik air ditolak keras. Mata Mona terbuntang luas melihat Julia yang kaku di dalam tab mandi berlumuran darah dengan mata terbelalak. Mulut Julia yang terganga luas itu seperti ada sesuatu 'benda' yang meliuk-liuk keluar.

Mona menekup mulut. Dia berlari keluar dari bilik air itu dengan tubuh menggeletar. Apa yang dilihat di depan matanya amat mengejutkan. Julia sudah mati. Matanya jelas melihat tubuh kaku Julia. Lantai bilik air itu bertakung dengan darah merah pekat.

Tangan Mona menggigil menekan nombor telefon Sephia. Nama sahabat Julia yang terlintas dalam kotak fikiran. Mona segera melekapkan telefon bimbit di telinga.

"Assalamualaikum, helo...." ucap Sephia di hujung talian.

"Phia... aku takut. Daa... datang sini cepat!"

"Kau kenapa? Apa dah berlaku?" Dahi Sephia berkerut mendengar suara Mona, teman serumah Julia.

"Jue... Julia..."

"Kenapa dengan Julia?"

"Lin... lintah..."

"Lintah?" soal Sephia.

Apa kena-mengena lintah dengan Julia? Sephia mula berasa tidak sedap hati bila Mona menyebut perkataan lintah.

"Mona... cuba cakap satu per satu. Aku tak faham," pinta Sephia.

"Jue... Julia... Julia dah mati. Mulut dia keluar lintah. Baa... banyak!" Suara Mona menggeletar.

"Aku datang sekarang!"

Sephia segera memasukkan buku ke dalam beg.

"Kenapa, Phia?" soal Zila.

"Aku nak ke rumah Julia. Kau orang ikut aku."

Sephia turut mengalih pandangan pada Zarin yang masih menelaah buku. Zarin seakan-akan tidak mahu mengambil tahu. Hubungan Zarin dengan Julia sudah lama dingin. Semua itu gara-gara mulut Julia yang suka memperlekehkan orang lain termasuklah Zarin.

"Zarin..."

"Kau orang pergilah."

"Mona call aku. Dia cakap Julia dah mati."

Zarin mengangkat kepala. Tersentak.


ZARIN terpacak di muka pintu bilik air. Sephia pula hampir termuntah. Lintah yang berada dia atas lantai itu masih bergerak-gerak. Bau yang kurang menyenangkan menusuk kuat ke dalam lubang hidung. Bau yang amat busuk bercampur dengan bau hanyir darah.

Apa sudah jadi? Zila memapah tubuh longlai Sephia. Lemah segala anggota tubuh badannya melihat keadaan Julia yang tragis. Jika dia tidak kuat semangat, mungkin dia akan terus jatuh pengsan. Dia tidak sanggup melihat jasad Julia.

LINTAHWhere stories live. Discover now