Bab 16

1.5K 99 1
                                    

RAIMI mencari Zarin sebaik kelasnya tamat awal. Zarin tidak kelihatan di perpustakaan. Zarin juga tidak ada melepak di pondok ilmu atau kafe kolej. Bayang Sephia dan Zila juga tidak dilihat. Pasti tiga orang sahabat ini ada bersama di tempat yang lain.

Raimi tahu di mana dia akan bertemu dengan Zarin dan dua gadis itu. Raimi mengheret Kamelia mengikut bersamanya. Jangkaannya benar sama sekali. Zarin ada di kafe luar bersama Sephia dan Zila. Rancak mereka berbual. Raimi terus meluru ke arah tiga sahabat itu. Tanpa amaran dia terus melayangkan buku lima pada muka Zarin. Sephia dan Zila tersentak. Kamelia menarik kasar lengan Raimi. Sephia bertindak menghadang Raimi dari mendekati Zarin.

"Kau yang hantar lintah itu pada aku kan?" suara Raimi bergema.

"Kau cakap apa ni?" gerutu Sephia. Tiba-tiba datang menyerang Zarin tanpa sebab.

"Sahabat kesayangan kau ini nak bunuh aku!" Raimi menundingkan jari ke arah Zarin. Dia ingin saja menolak Sephia agar buku limanya hinggap lagi di muka Zarin.

"Kalau Zarin nak bunuh kau bukan sekarang tapi masa awal perkenalan kau orang lagi." Sephia sudah tentu mempertahankan Zarin.

"Kau tak perlu lindung dialah, Sephia. Dia nak aku mati." Raimi menjegilkan mata. Dia ingin tunjuk taringnya pada Sephia.

"Kau ada bukti Zarin buat? Tunjuk bukti pada aku!" Sephia rasa melampau tuduhan Raimi pada Zarin. Datang menyerang tanpa bukti. Mulut sahaja berkata-kata.

"Aku tahu dia yang buat." Raimi masih tidak beralah.

"Kau main tuduh saja tanpa bukti. Kau nampak ke Zarin hantar santau lintah tu pada kau? Setahu aku, kau yang banyak tidak puas hati dengan Zarin. Kau suka cari pasal! So, kau nak reka-reka cerita pula Zarin santau kau?" Sephia memberikan tekanan pada Raimi.

"Kau nak kata aku santau diri aku? Gila ke?" Dia pula dituduh oleh Sephia.

"Manalah tahu."

Zarin memengang rahang mukanya. Raimi main kotor menyerang begitu. Tidak sempat dia mengelak.

"Sephia... kau..." Kata-katanya mati. Raimi tergamam seketika. Matanya tertumpu pada pinggan di dada meja. Cacing-cacing bercampur ulat di dalam pinggan. Liurnya diteguk.

Kamelia mencuit bahu Raimi. Tiba-tiba belang Raimi lenyap begitu saja. Riak muka Raimi pucat. Gerak kaki diaturkan pantas meninggalkan kafe itu dengan jantung berdebar-debar. Sephia, Zarin dan Zila berasa hairan dengan tingkah Raimi. Datang menyerang bagai harimau, mengundur diri tanpa kata-kata.

"Maaf, aku tak tahu dia nak datang sini semata-mata serang Zarin." Kamelia mewakili Raimi memohon maaf. Dia yang membawa Raimi ke kafe. Kamelia berlalu untuk mengejar Raimi.

"Kau tak perlu minta maaf bagi pihak mamat tu. Bukan salah kau pun." desis Sephia.

"Kau okey tak, Zaril?" Zila bertanya. Mujurlah situasi tadi tidak berterusan menjadi lebih parah. Kalau Raimi asyik mengasak mahu berkelahi mahunya sampai ke balai polis jika ada pelanggan atau pekerja kafe itu membuat laporan. Raimi sudah membuat gangguan.

"Okey. Sakit sikit dekat pipi saja." balas Zarin.

"Raimi naik hantu menyeramkan juga ye?" Sengih Sephia. Boleh tahan juga lelaki itu melepaskan amarah. Sampai naik tangan. Dia pula berani hadap lelaki itu tanpa fikir panjang. Kalau Raimi berkasar tadi, pelempang agaknya naik ke muka dia juga. Tapi dari gaya Raii, lelaki itu bukan jenis pukul perempuan.

"Phia!" Zila menjerit kecil. Dia terus bangkit dari duduk. Menjauh dari meja. Zarin dan Sephia juga berbuat demikian.

Zila memeluk lengan Sephia. Mi goreng mereka dalam pinggan bertukar menjadi cacing-cacing dan ulat. Mereka tadi menelan sebahagian dari mi goreng itu. Selera masing-masing menyuapnya. Mereka menelan cacing dan ulat. Pelanggan yang berhampiran memerhatikan mereka. Sephia dan Zila menarik beg galas masing-masing.

LINTAHWhere stories live. Discover now