Bab 8

1.8K 115 14
                                    

JULIA berasa tidak sedap badan. Perutnya memulas. Dia salah makan agaknya tadi. Nahaslah gerai makan itu nanti. Dia akan viralkan di dalam laman sosialnya. Cukup sekadar menyapu minyak angin pada perut, dia merebahkan tubuh di atas katil. Kepalanya juga semakin berat. Tidak pernah dia berasa begini.

Teman serumahnya yang sedang bersiap-siap ke tempat kerja itu memerhatikan Julia yang sudah terlantar di atas katil. Wajah Julia nampak pucat. Dia merapati Julia.

"Kau okey tak, Jue?" soal teman serumahnya, Mona. Lain macam pula dia melihat rupa Julia. Cengkung.

"Lepas tidur nanti okeylah kut," jawab Julia.

"Kalau tak okey jugak, kita ke klinik."

Risau pula Mona melihat keadaan Julia. Dia takut sakit teman serumahnya itu semakin melarat. Mereka pula hanya tinggal berdua. Julia tidak suka duduk di rumah sewa itu beramai-ramai. Rimas katanya.

Julia melirik senyuman. Mona mengambil berat juga tentang dirinya. Mereka jarang bertegur sapa jika tiada perkara penting. Dia lebih suka buat hal sendiri.

"Tak apa. Sakit sekejap aje ni."

"Tapi kalau tak okey jugak, aku bawa kau ke klinik," ujar Mona, mengulang ayatnya.

"Thanks Mona. Kalau teruk jugak aku call atau mesej kau nanti."

"Okey."

Perlahan-lahan Mona menutup pintu bilik Julia. Dia perlu bergerak ke tempat kerja. Hari ini dia masuk syif malam. Mona menyelit masuk ke dalam perut kereta. Kereta kancil itu satu-satunya kereta yang dimilikinya. Kereta terpakai. Hasil titik peluhnya selama bekerja.

Makin sakit pulak perut aku, rungut Julia dalam hati.

Julia mula berasa tidak selesa berbaring di atas katil. Sekejap dia beralih di sebelah kanan, sekejap pula dia beralih di sebelah kiri. Julia bingkas bangun sambil menekan-nekan perut. Sakit datang bulan pun tidak begini teruk. Mungkin ada benarnya kata Mona. Dia perlu ke klinik.

Julia mencapai telefon bimbit. Berulang kali dia cuba menghubungi Mona, panggilannya tidak berbalas. Mungkin Mona sedang memandu kereta. Julia meninggalkan pesanan ringkas pada Mona. Sakit perutnya menjadi-jadi pula. Seperti bukan sakit perut yang biasa.

"Aduh!" jerit Julia, mengerang kesakitan.

Tekaknya terasa mual. Julia mengurut-urut leher. Tidak pernah dia berkeadaan begini. Seakan-akan ada benda menjalar-jalar dalam tubuhnya. Julia cuba bertahan sambil melelapkan mata. Sekiranya dia tidur, kesakitannya itu akan berkurangan.

Julia membuka mata. Dia berguling-guling di atas tilam. Julia tidak tertahan lagi. Dia meluru ke bilik air. Rasa mual di tekak semakin bertambah.

"Uwek!"

Julia memuntahkan apa yang berada di dalam mulut. 'Benda' berwarna hitam itu meliuk-liuk di dalam singki disaluti darah merah. Julia mengamati 'benda' hitam yang masih bergerak-gerak itu. Bola mata Julia membulat besar.

"Lintah!"

Julia menjerit histeria. Seluruh tubuhnya menggeletar. Macam mana makhluk itu boleh boleh berada di dalam tubuhnya? Kenapa? Jawapan pada persoalan tidak akan terjawab.

Julia memandang wajahnya pada cermin. Wajah cantik itu kelihatan semakin pucat dan cengkung. Pandangan matanya berbalam-balam. Tangannya teketar-ketar mengesat darah pada mulutnya dengan tuala kecil.

"Tak mungkin. Benda tu tak mungkin ada dalam badan aku. Tak mungkin!" jerit Julia sambil meramas-ramas rambut.

Dia mula tidak keruan. Rasa takut mencengkam hatinya hingga dia tidak mampu mengawal emosi.

"Aku tak nak mati!" jerit Julia lagi.

Dia menarik nafas dalam untuk mencari kekuatan diri. Julia bergegas keluar dari bilik air apabila telinganya mendengar bunyi telefon bimbit berdering.

"Helo..."

"Julia, kau okey? Kau nak aku bawa kau ke klinik? Aku boleh kerja separuh hari," soal Mona di hujung talian.

"Aaa... aku... aku... sakit perut aku dah kurang," bohong Julia.

"Betul ni?" soal Mona, serius.

"Ya. Aku tak apa-apa. Kau tak perlulah risau. Tadi memang aku sakit teruk tapi sekarang dah kurang."

"Baiklah. Kau hubungi aje aku kalau sakit kau datang balik," ujar Mona dengan nada suara keras. Dia kenal sangat dengan sikap Julia yang ego.

"Terima kasih, Mona," ucap Julia.

Serentak itu Julia menamatkan perbualan.


HARI-HARI berikutnya, sesi kuliah diikuti seperti biasa. Julia tidak bertegur sapa dengan Sephia dan Zila. Kelibat Syahrul juga tidak kelihatan di kolej. Barangkali Syahrul sedang bersiap-siap untuk berangkat ke luar negara. Lelaki itu sudah menghantar surat untuk behenti belajar. Julia pula sudah tidak kisah pasal Syahrul. Tetapi Julia mudah naik angin. Nampak saja seperti orang sakit. Tiba-tiba sahaja Julia berubah laku mendadak begitu. Satu susuk tubuh manusia tersenyum sumbing memerhati Julia dalam diam.

Julia mengurut dada. Dari sakit perut naik ke bahagian dada. Julia menelan saja ubat penahan sakit yang dibeli dari farmasi. Dia tidak berani menjejak kaki ke klinik. Sephia tidak mahu mengambil peduli soal Julia. Julia asyik mengelak daripada mereka. Zila mencuit bahu Sephia. Sephia memusingkan kepala.

"Aku tengok Jue tu macam orang sakit aje?"

"Kenapa kau cakap macam tu?" Kening Sephia bertaut. Sebenarnya dia malas mahu mengambil tahu tentang Julia. Julia yang menjauhkan diri dari mereka.

"Aku nampak Jue batuk keluar darah dalam tandas Bila aku tanya kenapa, dia tak jawab. Dia jeling aku tajam. Seram aku tengok jelingan dia."

Sephia tersentak. Dia segera mengemas buku-bukunya.

"Kita cari Jue sekarang," ujar Sephia. Dia berubah fikiran sekelip mata. Langkah diaturkan. Zila mengekori.

Julia menolak pintu farmasi. Dia terus menuju ke rak ubat-ubatan. Julia memanggil salah seorang petugas di farmasi.

"Ya, cik. Ada apa-apa yang boleh saya bantu?" Petugas farmasi itu memandang Julia atas bawah.

"Saya nak cari ubat... ubat..." ujar Julia sambil menggigit bibir.

"Saya rasa baik cik buat rawatan terus ke hospital. Buat pemeriksaan. Keadaan cik nampak teruk ni," cadang petugas yang membuat pemeriksaan.

"Saya tak sakitlah!" bentak Julia, terus naik darah.

"Tapi keadaan cik..."

Julia terus meluru keluar dari farmasi. Dia tidak mahu petugas farmasi itu mengasaknya dengan pebagai soalan lagi.

"Julia!" panggil Sephia sebaik sahaja melihat Julia di seberang jalan.

Julia memekakkan telinga. Dia tidak mahu Sephia dan Zila tahu tentang penyakit misterinya.

Sephia segera menyeberangi jalan bersama Zila. Julia segera melolos masuk ke dalam kereta. Keretanya bergerak keluar dari tempat letak kereta. Sephia dan Zila tidak berjaya mengejar Julia. Sephia menghambur nafas panjang.

"Kau kata kau tak nak ambil tahu tentang Julia lagi." Zila saja berkata sedemikian.

"Aku rasa ada yang tak kena dengan Julia. Buruk mana pun sikap dia, dia tetap sahabat kita jugak, kan?" ujar Sephia.

"Dia tak apa-apa tu?" Zila menyedapkan hati Sephia.

"Aku pun harap macam tu," ujar Sephia, namun hatinya tetap gusar. 

Bersambung...

LINTAHWhere stories live. Discover now