Bab 11

1.6K 98 0
                                    

RYAN menopang dagu. Dia masih tidak berganjak menghadap komputer riba. Otaknya berlegar dengan kes yang dikategori kes pembunuhan luar biasa. Dua orang penuntut kolej mati kerana lintah. Lintah yang tidak tahu dari mana datangnya. Kes yang sukar untuk dia mencari pembunuhnya. Tiada bahan bukti. Sekadar lintah yang ditinggalkan dalam tubuh mangsa. Lintah yang mengganas membunuh mangsa tanpa kesian. Siapa yang tergamak melakukannya? Pelaku itu seorang manusia yang berhati syaitan. Dia sudah ke kolej itu mendapatkan keterangan daripada sahabat-sahabat baik Julia.

Ryan mencapai gelas milo yang berada di sisi kamputer ribanya itu. Air milo itu dihirup perlahan. Lama dia bermenung sebelum jari-jemarinya ligat menekan mouse ke ruang 'search google'. Dia menaip perkataan 'Ilmu Hitam' yang berkaitan dengan sihir dan santau. Pelbagai artikel keluar mengenai ilmu itu. Salah satu artikel menarik perhatian Ryan. Artikel berbahasa Indonesia.

Ilmu teluh merupakan sihir yang terkenal di Indonesia. Sihirnya lebih kurang sama dengan ilmu santet. Perbezaan ilmu ini terletak pada objek pemujaannya yang terdiri daripada objek yang bernyawa. Objek yang sering digunakan adalah haiwan seperti katak, lintah, lipan dan sebagainya. Ciri serangan sihir jenis ini dapat dialami oleh mangsa sihir dan juga orang lain yang berada di sekelilingnya.

Antara contoh serangan sihir yang biasa dialami adalah terlihat bola api atau cahaya yang masuk ke dalam rumah, terdengar bunyi benda jatuh di dalam rumah atau bunyi pasir yang ditabur atas bumbung rumah, terdengar suara lebah atau rebut atau orang sedang bergaduh walaupun di rumah itu sebenarnya tidak ada orang.

Sekiranya sihir ini dihantar pada satu bahagian tubuh manusia, anggota yang disihir akan membengkak. Bahagian yang membengkak itu kemudiannya mengeluarkan binatang seperti ulat, cacing dan lintah. Wujud juga binatang seperti lipan ataupun lintah diikuti bau busuk yang tidak diketahui puncanya di dalam rumah.

Ryan masih menatap serius skrin komputer riba sambil membaca artikel yang tertulis di dalam laman sesawang itu. Dia sedang membuat kajian tentang ilmu-ilmu hitam. Walaupun zaman sudah memasuki era moden, masih ada segelintir masyarakat yang mengamalkan ilmu hitam. Ilmu hitam ini bukan hanya diamalkan oleh bangsa Melayu, malah bangsa lain juga. Cuma caranya yang berbeza-beza.

Ryan menggerak-gerakkan mouse ke artikel yang lain pula. Tiba-tiba pintu bilik diketuk bertalu-talu. Ryan tersentak.

"Masuklah!"

Pintu bilik dikuak. Wajah teman serumah merangkap sahabatnya itu terpacul di muka pintu dengan sengihan panjang. Dia menapak merapati Ryan. Turut menatap pada skrin komputer riba temannya itu.

"Yo, bro! Kau masih tak habis mengkaji lagi 'benda alah' ni?" Bahunya ditepuk berlahan.

Ryan menarik nafas. Zamarul mengangkat kening. Jarang mereka berbual-bual kosong kerana tugas Ryan sebagai anggota polis yang sentiasa sibuk dan jarang melekat di rumah.

Dia tidak tahu mengapa Ryan sibuk mencari tentang amalan ilmu hitam dan sihir. Malas dia mahu bertanya lebih-lebih. Bukannya dia boleh membantu.

"Kau tak ada date malam ni?" soal Ryan.

Kebiasaan Zamarul akan keluar bertemu janji dengan buah hatinya malam minggu begini.

"Cancel. Bakal tunang aku balik kampung," jawab Zamarul seperti orang hampa. Rancangan yang diatur terpaksa dibatalkan.

"Rul... kau tahu tak pasal ilmu-ilmu hitam yang melibatkan sihir atau santau? Kalau-kalau kau ada kenal orang yang boleh aku rujuk," soal Ryan.

Zamarul mengusap dagu. Dia bukannya arif sangat dengan perkara itu.

"Kenapa kau nak tahu sangat hal ni?"

"Kau tak dengar pasal dua orang gadis sebuah kolej yang mati kerana lintah baru-baru ni?"

"Oh, aku tahu cerita tu. Dua orang penuntut kolej tu mati dengan tragis. Kasihan... rakan sekampus adik tiri aku, Zarin. Kau handle kes tu?"

Ryan mengangguk.

"Rakan Zarin?" Kening Ryan bertaut.

"Tak adalahlah rapat. Kau pun tahu Zarin tu macam mana?"

Ryan tersenyum. Dia tidak kenal rapat dengan adik tiri Zamarul yang pendiam itu, tetapi Zarin itu seorang yang agak pelik. Zamarul ada juga bercerita serba sedikit mengenai Zarin. Hubungan Zamarul dengan Zarin juga tegang.

"Buat masa ni aku suspek pembunuh dalam kalangan penuntut di situ. Tapi tak tahulah kalau kerja orang luar. Selalunya yang aku tahulah perkara macam ni melibatkan kes sakit hati or dendam.Tapi tak mustahil jika pelaku tu melakukannya atas sebab yang lain."

Ryan perlu melakukan siasatan menyeluruh latar belakang kedua-dua mangsa. Siapa rakan mereka? Siapa musuh mereka? Kalau melibatkan perbuatan khianat atau iri hati, itu yang selalu terjadi pada mereka yang menjadi mangsa ilmu hitam.

"Kalau cara halus ni memang sukar nak kesan suspek. Lagi-lagi bila yang kena tu pun tak dapat rasa 'benda' yang meresap masuk dalam tubuh dia. Makan dalam perlahan-lahan. Bahaya tu," ujar Zamarul sambil mengusap dagu.

"Aku rasa kematian dua orang pelajar tu lebih kepada ilmu santau. Ilmu ni pun satu senjata membunuh yang kejam. Sama aje macam ilmu-ilmu hitam yang lain." Ryan sekadar membuat andaian.

"Aku ingat kau tak percaya benda-benda ni. Sesetengah orang tu akan kata yang ilmu-ilmu hitam dah tak ada zaman moden begini."

Ryan tersenyum.

"Benda-benda khurafat ni tetap ada. Harus percaya. Manusia masih bersekutu dengan Jin. Menjadi hamba pada Iblis. Aku juga tahu tentang kisah-kisah hantu dan jugak saka ni. Kau fikir zaman budak-budak aku, orang tua angkat aku tak bercerita tentang makhlus halus?" ujar Ryan sambil menguis-nguis anak rambut yang terjuntai di dahi.

"Cerita 'benda' tu malam-malam ni buat bulu roma aku meremang aje. Hantu raya, polong, pelesit entah apa lagi nama-nama belaan ni," ujar Zamarul sambil memeluk tubuh.

"Aku ingat nak keluar kejap beli air bungkus. Kau nak kirim?" soal Ryan, bingkas bangun dari duduknya.

"Teh tarik satu. Kau belanja. Tengah bulan ni aku sengkek sikit."

Ryan tahu Zamarul banyak berhabis duit untuk majlis pertunangannya yang bakal berlangsung tidak lama lagi. Orang zaman sekarang, bertunang bagaikan seperti raja sehari. Wang berhabis untuk meraihkan hari pertunangan yang gemilang. Kalau putus tunang, bukankah haru jadinya dengan wang ringgit yang sudah dibazirkan. Alangkah manisnya majlis pertunangan itu apabila dibuat secara sederhana. Ingin diluahkan, bimbang jika mengecilkan hati sahabatnya itu. Barangkali itu permintaan kekasih hati Zamarul. Zamarul hanya menurut. Cinta, katakan.

"No hal. Aku masuk buku 555. Cukup bulan kau bayar," seloroh Ryan.

Ryan mencapai kunci motosikal. Zamarul tersengih. Dia tahu Ryan hanya bergurau. Dia kenal Ryan. Ryan bukan jenis sahabat yang berkira.

Bersambung...

LINTAHWhere stories live. Discover now