14-Peanut Butter

7.7K 58 0
                                    

Kini sudah masuk dua bulan usia perkahwinan mereka. Dua bulan hidup di bawah bumbung yang sama. Dua bulan tidur di atas katil yang sama. Dua bulan cuba untuk menyesuaikan diri hidup berdua. Dan Ayana akui, memang tak mudah!

Balik dari percutian mereka di Port Dickson, mereka terus pindah masuk ke rumah baru mereka. Tak banyak yang perlu Ayana lakukan memandangkan rumah yang telah disediakan oleh Papa Aldric sudah lengkap dengan perabot. Sehabis nikah dia hanya cuci kaki sahaja masuk ke rumah.

Bermulalah hidup baru Ayana dalam erti kata yang sebenar-benarnya. Tak ada lagi Maksu yang akan membantu. Baju kena cuci sendiri. Pakaian kerja kena seterika sendiri. Kalau dulu semuanya diuruskan oleh maksu atau dikedai dobi. Sekarang, segalanya kena buat sendiri. Bukan setakat pakaian dia sahaja yang perlu diuruskan, pakaian Aldric juga perlu diberi perhatian.

Ayana teringat kali pertama dia mengendalikan mesin basuh. Memanglah nampak mudah. Mesin pun automatik. Dia cuma perlu...

Himpun baju dalam bakul.

Masukkan ke dalam mesin.

Letak serbuk pencuci.

Letak cecair pelembut.

Tekan butang 'on'.

Tunggu saja baju siap dibasuh.

Senang, kan? Tapi yang dia tak tahu, rupa-rupanya pakaian kotor itu perlu diasingkan mengikut warna dan jenis fabrik.

Pengalaman pertama mencuci pakaian si suami berakhir dengan disaster! Habis kemeja kerja Aldric bertukar warna. Yang putih jadi merah jambu. Yang berwarna dah berbelek-belek jadinya. Kemeja kain linen si suami jahanam jadinya sebab dibasuh dengan air sedangkan dah jelas tepampang dilabel baju itu perlu di dry clean. Itu belum lagi masuk kes seluar slack si suami berlubang dikerjakannya sebab dia tinggikan suhu seterika.

Bila dia telefon maksu nak mengadu, berbakul-bakul maksu marahkan dia. Yang paling buat dia sentap bila maksu takut-takutkan dia. Kata maksu, kalau terus menerus begini mahu Aldric tinggalkan nanti.

Hendak menangis Ayana dibuatnya masa itu. Bila dia mengadu kepada si suami, dia dah siapkan diri terima apa saja yang Aldric nak buat. Nak membebel, nak marah, dia dah sedia. Tapi yang sebaliknya pula berlaku. Aldric boleh ketawa berdekah-dekah!

"Abang tak marah ke?"

"Nak marah kenapa?"

"Habis baju abang rosak."

"Ala... baju rosak boleh ganti, Yana. Take this as a lesson. Lepas ini kena lebih berhati-hati, hmm?"

Aldric cium dahi dia dan kes itu berakhir begitu sahaja.

Itu kes basuh baju. Kes dua minggu yang lepas.

Kes yang seterusnya? Baru saja berlaku petang tadi. Kes yang melibatkan dapur mereka. Yang ini lebih daripada disaster. Buat pertama kalinya sejak mereka berkahwin, Aldric tinggikan suara kepada dia.

Memang tersentap jugaklah dibuatnya tapi dah memang salah dia, terima sajalah. Semuanya gara-gara dia hendak sediakan masakan kegemaran Aldric, masakan melayu, terubuk masak asam pedas.

Semua bahan dah tersedia. Tinggal nak ditumis saja. Kalau tengok pada tutorial di YouTube, nampak macam mudah. Tapi silap Ayana, dia biarkan minyak terlebih panas di dalam periuk. Lepas tu dia pakai campak sahaja bahan-bahan penumis hingga minyak terpecik keluar lalu disambar api.

Akibatnya? Periuk terbakar, rumah dipenuhi asap dan waktu itu jugalah si suami tiba dari pejabat. Apa lagi, lepas api dapur berjaya dipadamkan, suami dia pula yang berapi. Yang itu, dia buat muka sepuluh sen pun tak nak terpadam apinya.

My Hubby, Orang ThailandWhere stories live. Discover now