"Papa, tolong jangan jadikan Emir sebagai mangsa perjanjian Papa dengan Abang Zarin. Ril tak setuju Papa buat begini. Korbankan Emir demi kepentingan syarikat keluarga. Apa ni Papa? Dia cucu Papa. Satu-satunya peninggalan arwah Abang Zarin. Biarkanlah dia menikmati jalan hidup dia sendiri," lelaki itu membantah keputusan ayahnya.
Tan Sri Zamir mendengus sebelum menjawab kasar, "Kau ingat dengan membiarkan dia keluar daripada keluarga besar Zamir akan menyelamatkan dia? Kau lupa bagaimana dia diculik dulu? Tiga bulan dia diculik tak tahu disorok di mana dan didera secara seksual dulu, apa yang korang berdua boleh buat?"
Pasangan suami isteri itu terdiam mendengar kata-kata ayah mereka. Memang benar ketika Emir diculik dulu, mereka tidak mampu menghalangnya. Tetapi mereka sedaya upaya memberikan perlindungan terbaik kepada Emir. Bagi mereka, Emir berhak mendapat kebebasan menentukan jalan hidupnya sendiri dan bukan terpaksa menanggung beban peninggalan arwah Daddynya.
Krak. Pintu dibuka. Seorang remaja lelaki berpakaian kemas berkot hitam masuk dengan menggalas beg sekolahnya. Wajahnya nampak tenang melihat ibu ayahnya yang sedang duduk berhadapan dengan lelaki tua tersebut. Ibu ayahnya kelihatan serba salah untuk memperkenalkan lelaki tua tersebut kepadanya. Dia terus menyalami lelaki tua tersebut dan menyapa.
"Grandpa, apa khabar?"
Mereka bertiga terkejut dengan penerimaan remaja tersebut yang kelihatan sangat tenang. Remaja tersebut duduk di kerusi sebelah ibunya.
"Ibu dan Ayah pernah ceritakan tentang Grandpa pada Emir ke?" Tan Sri Zamir bertanya, kehairanan. Setahunya, anak dan menantunya tidak pernah bercerita tentangnya dan keluarga mereka kepada Emir. Masakan Emir boleh kenal dia sedangkan dia sendiri belum berhadapan dengan Emir sebelum ini. Dia hanya memerhatikan cucunya itu dari jauh selepas kes penculikan cucunya itu berlaku kerana tidak mahu kejadian yang sama berulang kembali. Emir adalah pewarisnya dan dia tidak akan membiarkan sesuatu yang buruk berlaku kepada Emir.
Remaja yang dipanggil Emir itu menggeleng sebelum tersenyum misteri. "Tak. Tapi Emir tahu sebab ingatan Emir dah pulih sepenuhnya. Dan Mama dan Ayah juga tidak pernah bawa Emir melawat kubur Papa. Nasib baik Emir ingat di mana kubur arwah Papa."
Pucat wajah ibu dan ayahnya apabila Emir membahasakan dirinya sebagai Emir dan menyebut mengenai arwah Papanya. Nampaknya, ingatan Emir benar-benar kembali pulih.
"Sejak bila ingatan Emir kembali pulih?" tanya Mamanya. Emir tersenyum lalu menjawab, "Sebelum PT3 lagi ingatan Emir dah pulih sepenuhnya dan Emir pun dah baca diari arwah Papa jadi Emir tahu suatu hari nanti Grandpa pasti akan datang menuntut Emir."
Tan Sri Zamir terdiam. Remaja ini jauh berbeza daripada arwah anaknya iaitu ayah kandung remaja ini. Zarin bin Tan Sri Zamir, anak sulungnya yang telah meninggal dunia akibat kes langgar lari yang disyaki didalangi oleh kaum kerabat terdekat mereka yang mahukan syarikat keluarga mereka, Zinnirah Holdings. Emir lebih berterus terang dan berketrampilan berbanding ayah kandungnya, Zarin. Malah, anak itu kelihatan lebih matang berbanding usia sebenar.
Zarin telah meninggal dunia dalam sebuah kes langgar lari yang berkemungkinan besar didalangi oleh kaum kerabat mereka yang mahukan syarikat keluarga itu. Sejak itu dia sentiasa cuba melindungi cucunya pula. Dia tidak mahu cucunya menerima nasib yang sama seperti anaknya. Oleh sebab itu, apabila menantunya, Afienna dan anak keduanya, Zaril gagal melindungi Emir daripada diculik, marahnya bukan kepalang. Nasib baik mengenangkan mereka berdua benar-benar berusaha keras mencari Emir, jikalau tidak mereka berdua juga mungkin akan menerima bahananya.
"Emir tak kisah nak jadi pewaris Grandpa tapi ada beberapa syarat. Syarat pertama, Emir tak nak pindah sekolah lagipun sekolah Emir yang sekarang ni adalah antara sekolah terbaik. Emir boleh belajar subjek tambahan yang lain mengikut keinginan Grandpa tetapi Emir akan belajar secara homeschooling. Kedua, Emir akan pilih sendiri dengan siapa Emir akan bergaul. Ketiga, Emir nak berada sekali dalam mesyuarat lembaga syarikat bersama Grandpa dan peluang untuk bersuara dalam mesyuarat. Kalau setakat Grandpa mahukan seorang pewaris yang mematung atau hiasan berdiri di sebelah Grandpa, rasanya tak perlu cari Emir. Jadi Emir rasa Grandpa faham kenapa Emir nak duduk sekali dalam mesyuarat. Emir akan belajar membuat keputusan sebagai pewaris Grandpa dan Emir tak akan lari daripada tanggungjawab seperti mana Papa lakukan sebelum ini," Emir dengan tenang, menjelaskan.
YOU ARE READING
Z.E.N : Labyrinth
Mystery / ThrillerNama aku Zen. Aku remaja lelaki yang berusia 17 tahun. Semuanya nampak sempurna dan normal dalam hidup aku. Parents aku kaya, aku pelajar top di sekolah, pandai serba serbi, talented, ada rupa ... typical golden boy yang korang biasa nampak di luar...