Prologue

23.1K 633 19
                                    


AYRA Naliesya berjalan di kaki lima kedai yang sudah gelap, melalui deretan kedai runcit yang sudah tutup. Mana tidak tutupnya kalau jarum jam pun sudah menunjukkan tepat pukul dua belas malam.

Langkah kaki diayun laju ke arah Axia putihnya.

Hajat sebenar dia keluar ini cuma mahu membeli aiskrim dan makanan ringan untuk dimakan sambil menonton televisyen. Maklum sajalah, malam minggu inilah masa untuk dia mengqada' drama-drama dan filem kegemarannya.

Bukan Ayra Naliesya lah namanya kalau tidak menjadi burung hantu. Sejak dari zaman remaja lagi, dia memang suka berjaga dan tidur lewat malam. Meskipun sudah seringkali ditegur, sikap degilnya tidak mahu kalah. Kalau hari bekerja, tidak dapatlah dia melakukan hobinya yang satu itu. Tak jadi kerja pula nanti.

"Eh sekejap, susu segar." Ayra Naliesya menepuk dahinya. Terlupa satu barang pula, terpaksalah dia berpatah balik ke kedai serbaneka 7E nun jauh di hujung barisan lot kedai. Memang itu sahaja pun yang buka pada waktu-waktu begini.

Kebiasaannya, Ayra Naliesya hanya akan berjalan kaki dari rumah sewa jika mahu membeli barang dapur atau makanan. Deretan kedai makan di situ juga terlampau banyak, tinggal pilih sahaja. Akan tetapi, malam ini dirinya dilanda kemalasan tahap melampau. Jadinya, dia mengambil keputusan untuk menaiki kereta. Alasannya malas mahu membazir lemak tepu yang kian membiak dalam tubuh. Leka menapak, tiba-tiba Ayra Naliesya dikejutkan dengan sesuatu yang tak disangka.

Banggg!

Terasa luluh jantungnya. Bunyi das tembakan yang dilepaskan terasa dekat di telinga. Tangan Ayra Naliesya naik menyentuh dada. Terasa jantung mula mengepam dengan laju.

Ya Allah. Bunyi apa tu?

"Woi!" Jerit seorang lelaki yang berlari melintas di hadapannya. Diikuti beberapa lagi lelaki bertubuh besar dan tegap mengejar di belakang.

Ayra Naliesya masih tidak berganjak dari kedudukan. Dia melihat lelaki yang melarikan diri tadi akhirnya tertangkap. Leher lelaki itu dikelar dan habis tersembur darah pekat membasahi jalan tar.

Terbeliak biji mata Ayra Naliesya menyaksikan kejadian itu. Peluh kian merenik di dahi. Kepala mula terasa berpinar-pinar. Terasa kaku setiap sendi dan otot. Tidak mampu bergerak. Dia terkejut dengan apa yang berlaku. Tak pernah dihadapi situasi begini seumur hidup.

Rasa menyesal menghambat diri. Dia mula memaki dan mengutuk diri sendiri kerana memarkir kereta di lorong yang agak jauh dari keramaian. Sudahlah tidak ada orang langsung di sekitar.

Kalau ikutkan urat saraf badannya, Ayra Naliesya sudah tidak mampu untuk bergerak tapi dia harus gagahkan diri untuk pergi sebelum terlambat. Dia tidak mahu terlibat dengan aktiviti ahli-ahli kongsi gelap itu.

Dikuatkan langkah untuk kembali ke kereta. Tangannya terketar-ketar mengeluarkan kunci dari beg tangan. Namun disebabkan kekalutan yang melanda, kunci yang dipegang terjatuh. Kelam kabut dia mengutip dengan gesaan adrenalin yang semakin laju.

Belum pun sempat meloloskan diri, pintu keretanya dihempas dan kembali tertutup.

"Arghhhh!!!"

Nyaring jeritan Ayra Naliesya terlepas. Kunci kereta sekali lagi terlepas dan jatuh ke tanah. Barangan yang dibeli sebentar tadi juga sudah jatuh bertaburan.

Tangannya menutup telinga dan matanya terpejam rapat. Berharap apa yang difikirkan tidak benar-benar terjadi. Tapi malangnya, harapan Ayra Naliesya musnah apabila terasa nafas kasar menderu dekat di telinganya.

'Ya Allah, selamatkanlah aku dari manusia-manusia durjana ini. Lindungilah aku ya Allah.' Dia berdoa dalam hati. Berharap tidak menjadi mangsa.

"Boss?"

"Tak apa, angkat dia dulu. Zack, kau bawa kereta dia. Jumpa dekat base." Ujar seorang lelaki dengan pelitup muka berwarna hitam.

Seraya mendapat arahan, mereka mengangguk faham. Salah seorang dari mereka menarik Ayra Naliesya masuk ke dalam sebuah van hitam manakala seorang lagi mengambil kunci keretanya yang terjatuh lalu memandu pergi.

"Encik, saya tak tahu apa-apa. Saya tak ada kena-mengena. Tolong... tolong lepaskan saya." Ayra Naliesya merayu dalam sedu-sedan. Menggeletar seluruh tubuhnya akibat terlampau takut.

Tak, dia belum bersedia. Dia belum bersedia mahu mati. Apalagi di tangan mereka ini. Ya tuhan...

"Diam! Jalan cepat!"

"Tak nak! Kau nak bawa aku pergi mana hah?! Tolong! Tolong!" Bantah Ayra Naliesya. Dia cuba menjerit mendapatkan perhatian tapi sayangnya tiada seorang manusia pun yang lalu lalang.

"Hei, diamlah perempuan!" Pekik lelaki itu hilang sabar lalu menutup mulut Ayra Naliesya dengan pita pelekat.

Deviant [EBOOK]Where stories live. Discover now