Chapter 8

8K 359 8
                                    


HARI yang semakin melabuhkan tirai membuatkan Ayra Naliesya diserang rasa risau. Ke mana dia mahu pergi. Depan belakang kiri kanan, semua pokok dan hutan tebal.

Inilah yang dinamakan keluar mulut buaya, masuk mulut harimau. Keluar satu masalah, timbul masalah lain. Elok mahu lari dari Ryan Edgard, sudahnya sesat pula tiada hala tuju.

Ingin melepaskan lelah, Ayra Naliesya mula mencari tempat untuk berehat. Kakinya mula berasa pegal dan lenguh akibat berjalan terlalu lama. Baru sahaja ingin melabuhkan punggung di salah satu pokok gergasi, matanya tertancap akan sebuah tasik. Kakinya diayun menghampiri.

Cantiknya. Tak sangka ada tempat indah begini dalam hutan. Dia duduk di celahan akar kayu yang menjalar sebelum akhirnya terlelap keletihan.

Tak lama ketiduran, bunyi daun kering yang dipijak mematikan lena Ayra Naliesya. Dia terjaga dan pantas bangun.

"Hello dear, we met again." Ucap Ryan Edgard dengan senyum sinis. Jelas mengejek Ayra Naliesya yang tidak dapat lari darinya.

Perlahan-lahan langkah Ayra Naliesya terundur ke belakang. Baru sahaja berpusing dan hendak melarikan diri, dua orang lelaki sudah sedia hendak menangkapnya. Dia kaku. Wajahnya terus berubah pucat apabila terasa ada besi disua di belakang badannya. Rupanya anak buah lelaki itu sedang mengacukan mata pistol.

"Jalan." Arah Alex kasar. Tiada pilihan, Ayra Naliesya tidak berani membuat onar. Langkahnya perlahan mengikuti rentak Alex, mendekati Ryan Edgard. Dia tidak menyangka bahawa lelaki itu akan tiba-tiba terpacul tanpa amaran.

"Kau nak pergi mana? Ini kawasan aku." Kata Ryan Edgard dengan muka jengkel. Sudahlah dia penat baru pulang dari misi, kini terpaksa menghadap masalah yang sengaja dicipta oleh gadis itu pula.

Lengan Ayra Naliesya ditarik merapat padanya. Baru hendak menyeret gadis itu, bunyi tembakan membuat langkah Ryan Edgard terhenti. Dia berpaling menghadap Zack, Alex, Fadhil, Daniel dan Khairil.

"What the hell?"

Masing-masing yang juga terkejut dengan bunyi itu memandang antara satu sama lain. Secara tiba-tiba, Fadhil jatuh melutut mengerang kesakitan. Dia memegang peha kirinya yang terkena butir peluru.

Melihatkan situasi itu, masing-masing kalut bersembunyi di balik batang pokok yang besar sebelum berbalas tembakan. Disebabkan fokus ahli Black Mafia semua terarah pada serangan hendap yang tiba-tiba, Ayra Naliesya mengambil peluang yang ada untuk meloloskan diri.

Dengan sekuat tenaga, dia memijak kaki Ryan Edgard. Lelaki itu mengaduh kesakitan dan menyebabkan pegangannya menjadi longgar.

"Fuck! She's making this way more harder than it already is." Ryan Edgard kesal apabila Ayra Naliesya sudah berlari selaju yang mungkin.

Tanpa menoleh walau sesaat, Ayra Naliesya terus berlari. Agak jauh dari tempat tadi, sekali lagi bunyi tembakan terlepas. Makin gemuruh Ayra Naliesya dibuatnya. Entah di mana silap melangkah, kakinya tersadung dahan kayu yang lebarnya sebesar ular sawa.

Kerana tak mahu melayan lembiknya, Ayra Naliesya bangun dan ingin meneruskan larian. Namun terhalang bila ada yang menolak badannya kembali mencium tanah. Disebabkan keadaan tanah yang tidak rata, dia jatuh berguling. Tangan yang menahan berat tubuh sudah merah dan terluka.

Ayra Naliesya mengangkat wajah dan melihat gerangan yang menolaknya. Kelihatan seorang lelaki berbadan gempal menyeringai padanya. Seingat dia, itu bukanlah pengikut atau ahli Black Mafia. Wajahnya pun dia tidak cam.

Dengan penuh rasa jijik dan marah, Ayra Naliesya membaling batu sebesar penumbuk yang dicapai berdekatan dengannya. Tapi sayang, batu yang dibaling tidak mengenai sasaran. Lelaki itu malah semakin mendekati dengan ketawa jahat.

"Kau siapa?! Kau nak apa?!"

"Kau tanya aku siapa? Kau tu siapa? Apa hubungan kau dengan Black Mafia? Ke kau ni agen risikan? Hah?!" Tanya lelaki itu garang. Dia sudah mengeluarkan pisau lipat yang disimpan dalam poketnya.

Jeritan Ayra Naliesya bergema kuat. Dia takut, sumpah dia takut. Saiz lelaki ini sudahlah tiga kali ganda lebih besar darinya. Masakan dia ada kudrat mahu melawan. Tali pinggang hitam jauh sekali dia punya.

"Damn it." Carut Ryan Edgard. Dengan sepantas mungkin, dia mengekori arah suara gadis itu.
Ayra Naliesya yang terseliuh buku lalinya tak mampu untuk bangun. Dia hanya mengengsot perlahan-lahan menjauhi lelaki itu. Berharap masa mampu berhenti berdetik.

"Tak, tak. Aku-"

Belum sempat kata-katanya habis, tidak semena-mena lelaki gemuk itu jatuh tersembam di hadapannya dengan mata terbeliak. Makin kuat Ayra Naliesya menjerit. Dengan panik, makin laju dia cuba merangkak menjauhi lelaki yang sudah menjadi mayat itu.

Wajah Ryan Edgard yang terpacul dengan pisau yang penuh darah di tangan menandakan bahawa dialah yang telah membunuh lelaki tadi. Bukan makin lega, malah makin takut. Ryan Edgard yang semakin mendekat buat Ayra Naliesya semakin tak keruan. Adakah dia mangsa seterusnya?

Dalam kekalutan yang melanda, mata Ayra Naliesya membulat apabila mendengar siren polis. Senyuman merekah menandakan harapannya masih cerah.

"Tolong! Tolong! Dekat sini, tolong!"

Teriakan Ayra Naliesya sedikit pun tidak menganggu Ryan Edgard. Dia hanya menayang senyum sinis.

Tidak mempedulikan lelaki yang putus urat kemanusiaan itu, Ayra Naliesya masih menjerit sekuat hati meminta pertolongan. Beberapa minit berlalu, mereka dihampiri dua orang lelaki. Meskipun hanya berpakaian kasual, masih ketahuan ianya adalah pegawai polis dari logo lencana pada baju yang dipakai.

"Encik, tolong encik. Saya kena culik. Tangkap dia ni encik, dia orang jahat." Ujar Ayra Naliesya dengan jari telunjuk dituju pada Ryan Edgard. Tapi anehnya lelaki itu hanya mempamer riak tenang. Tiada sedikit pun rasa gentar di wajahnya.

"What's up?" Ryan Edgard menyoal si pegawai polis.

"Budak kau bising sangat."

"Biasalah, tengah ada game. Lagipun ini private property, apa der hal?"

Terkebil-kebil Ayra Naliesya menghadam perbualan di antara dua manusia itu. Apa yang sedang berlaku ini? Ryan Edgard dan pegawai polis itu dipandang silih berganti dengan kerutan di dahi.

"Game tak game itu kau punya pasal, yang penting jangan lupa suap."

Ryan Edgard gelak kecil. Seikat duit not RM100 yang tebal dikeluarkan dari poket jaket lantas dicampak pada si polis.

"Nice, bye cantik." Ucap salah seorang polis yang tersengih lebar menyambut balingan sebemban duit. Sempat sebelah mata dikenyit sebelum berlalu pergi. Terkesima, itulah yang Ayra Naliesya rasakan. Hampir ternganga mulutnya melihat rasuah terjadi di depan mata.

Sakitnya dikhianati oleh yang dipercayai. Apalah nasib dirinya yang harus tersekat di tengah pertarungan nyawa antara organisasi tak berfaedah ini.

"Now, where were we?"

"Please let me go. I have nothing you need." Berulang kali mulut Ayra Naliesya merayu perkataan lepaskan. Tangannya masih tak berhenti mengais tanah ingin menjauh dari Ryan Edgard yang dia fikir mahu menyakitinya.

Disebabkan terlalu takut dan panik, saluran pernafasan Ayra Naliesya terasa sempit. Dadanya mulai terasa sesak. Udara yang tak dapat dihela membuatkannya tak mampu bernafas dengan normal.

Jejak saja tangan Ryan Edgard pada tubuh Ayra Naliesya, terus terkulai lemah gadis itu. Ryan Edgard menjulingkan matanya ke atas.

"What a weak creature." Dengan rasa jengkel, tubuh Ayra Naliesya dicempung dan dibawa pulang.

Deviant [EBOOK]Where stories live. Discover now