Chapter 6

8.8K 402 17
                                    


AYRA Naliesya terjaga dari lena. Matanya mengerling sekilas ke arah jam tangan yang diletakkan di atas meja kecil sebelah katil.

Dia bangun dan melangkah ke bilik air. Pili dibuka dan air bersih diratakan ke seluruh muka. Wajahnya kelihatan tidak bermaya dan sangat tak terurus. Lingkaran gelap bawah mata semakin teruk akibat kekerapan dia menangis dan kurang tidur kerana stres yang melampau.

Tiba-tiba ingatannya teringat pada ibu dan bapa di kampung. Terasa sayu hati. Dia ingin sekali mencium dan memeluk kedua orang tuanya saat ini.

Ya Allah... berikanlah aku kekuatan. Pohon Ayra Naliesya dalam hati.

Ayra Naliesya bertekad, dia mesti mencari cara untuk melepaskan diri dari tempat yang membuatnya sengsara ini.

Leka termenung di hadapan cermin, pintu bilik air yang diketuk dari luar mematikan lamunannya.

"Woi!" Suara garau Ryan Edgard menerjah gegendang telinga.

Tuala yang disidai pada penyangkut dicapai dan dililit pada kepala sebelum pintu bilik air dibuka separuh muka.

"Apa?" Tanya Ayra Naliesya acuh tak acuh.

"Aku ada kerja nak buat, jadi kau duduk diam-diam dekat dalam bilik ni. Jangan nak cari masalah atau buat benda yang merepek. Faham?"

"Hmm." Ayra Naliesya hanya menayang riak toya.

"Aku tahu kau cuba nak larikan diri, siap kau!" Ryan Edgard memberi peringatan.

Setelah Ryan Edgard beredar, senyum kecil terhasil di bibir Ayra Naliesya. Dia tahu Ryan Edgard ada misi yang harus diselesaikan hari ini. Itu pun terima kasih pada perbualan di antara lelaki itu dengan orang bawahannya yang dia curi dengar kelmarin. Meskipun dia tahu Ryan Edgard pasti akan meninggalkan beberapa orang untuk mengawal tempat ini, tapi itu tidak mematahkan semangat Ayra Naliesya yang berkobar-kobar dalam cubaan melepaskan diri.

Jarum jam kini menunjukkan pukul lapan pagi, menandakan misinya bakal bermula sebentar lagi. Waktu-waktu begini selalunya Mak Ida akan datang menghantar sarapan.

"Sya, makan."

Ya! Seperti yang diduga. Tepat jangkaannya.
Ayra Naliesya menghadiahkan senyum manis buat wanita itu. Nasi goreng serta jus oren yang menjadi menunya untuk pagi itu dicapai. Dia harus mendapatkan tenaga sebelum memulakan rancangannya. Dengan rasa teruja dia menikmati. Ini bakal menjadi menu yang terakhir dia akan makan di tempat ini. Getus hatinya.

Kebiasaan selepas sarapan, Mak Ida tidak akan mampir ke dalam bilik ini lagi sehingga waktu tengah hari. Dan itu memberi masa yang cukup untuk Ayra Naliesya menghilangkan diri tanpa disedari.

Ayra Naliesya melabuhkan punggung di bucu katil. Otaknya kini ligat berfikir masa yang sesuai untuk dimanfaatkan. Setelah agak lama menanti, kepalanya dijengul ke luar tingkap bagi melihat keadaan sekeliling.

Tinggi. Walaupun Ayra Naliesya tidak gayat, tetap saja. Kalau jatuh ke bawah ini, mahu patah tulang belulangnya.

'Tak mengapa, kau kan berani. Kau boleh.' Bisik hatinya memberi semangat pada diri sendiri.

Ayra Naliesya tiada pilihan. Dia tidak boleh berputus asa sekarang. Dia harus berusaha meski ragu akan hasilnya. Sama ada berjaya atau tidak, itu dia serahkan pada tuhan.

Perlahan-lahan diturunkan perca kain yang diikat bagi menjadikan tali untuk memanjat keluar melalui tingkap. Dengan berhati-hati, Ayra Naliesya berpaut. Jejak saja kaki ke atap bumbung tingkat bawah, dia berjalan sambil berjengket sebelum akhirnya melompat ke atas tembok pagar yang jaraknya lebih kurang 5 kaki dengan hujung bumbung.

Hampir gugur jantung Ayra Naliesya bila matanya terpandang salah seorang anak buah Ryan Edgard yang sedang berjaga. Nasibnya baik, lelaki itu sedang membelakanginya. Pantas dia melompat ke luar kawasan banglo yang menjadi penjara buatnya beberapa hari ini.

Dia menoleh ke kiri dan kanan. Sambil memerhati kawasan sekeliling, sambil itu juga kakinya bergerak menyusun tapak. Nampaknya dia kini berada di dalam hutan. Jauh dari kejiranan dan orang ramai.

Hampir setengah jam berjalan, Ayra Naliesya masih tidak menjumpai jalan keluar. Dia mula buntu.

Deviant [EBOOK]Where stories live. Discover now