PENGHULU termenung di atas tikar sejadah. Anak matanya memandang keluar jendela yang terbuka luas. Dia baru saja selesai solat Zuhur di rumah setelah pulang dari dewan serbaguna. Mulutnya berkumat-kamit berzikir memuji kebesaran Allah s.w.t. Tatkala fikiran pula sedang ligat bermain dengan andaian. Perihal orang minyak.
Penghulu teringat akan keadaan dan wajah orang minyak. Lihat pada susuk tubuhnya, masih di awal dewasa. Dalam lingkungan 26 tahun. Wajahnya tidak seperti orang kampung sini. Dan bukannya juga orang kampung berdekatan. Kulitnya hitam pekat dan melekit keseluruh badan. Tiada celah dan anggota badan yang tidak hitam. Sekali pandang warna hitam itu tidak seperti hitam yang biasa dilihat. Seperti warna gelap di alam kubur. Bila disentuh kulitnya berasa panas macam bara api. Berkepala botak dan tiada kening di muka. Tiada juga bulu mata. Matanya bulat dan berwarna merah. Seperti mata kucing. Anak mata pula kecil dan hitam pekat. Keseluruhan giginya bertaring berwarna putih. Macam ikan pirana. Kukunya tajam dan panjang bagai kuku helang. Patutlah boleh memanjat dan melompat tinggi. Jika terkena cakarannya boleh membawa maut.
Seumur hidupnya tidak pernah mendengar perihal orang minyak yang mengganggu di mana-mana kampung. Kalau ada pun hanyalah cerita dari mulut ke mulut yang sukar dipercayai. Pendek kata orang minyak memang tidak wujud. Kalua ada pun geng perompak yang melumurkan badan dengan minyak hitam atau berpakaian hitam ketika merompak di malam hari.
"Assalamualaikum... penghulu," Pak Rahim memberi salam. Tapi kedua kakinya sudahpun memanjat anak tangga. Tak segan pun naik rumah penghulu yang terbuka luas pintunya.
Penghulu menjawab segera salam. Mematikan terus lamunannya. Segera dia bingkas dan keluar dari bilik solat. Menuju ke ruang tamu. Terpacak Pak Rahim seorang diri.
"Kenapa Im...?" tanya penghulu apabila melihat wajah Pak Rahim yang mencuka masam seperti tidak senang duduk.
"Pak Mail Rimau buat hal lagi," ujar Pak Rahim lalu melenyekkan pinggulnya yang besar itu atas tikar mengkuang yang sedia terhidang di depan muka pintu. Penghulu pun berbuat perkara yang sama. "Dia nak jawatan kau. Dia nak jadi penghulu," sambung Pak Rahim lagi bernada geram.
"Owh... aku ingatkan apa," bersahaja penghulu menjawab.
"Kau tak risau ke?"
"Nak risau apanya. Kalau nak jadi penghulu... jadilah. Tapi orang kampung nak ke dia jadi penghulu? Biarkanlah dia. Dia tu kan degil," kata penghulu buat muka malas-malas. Sesungguhnya dia tak mahu serabutkan fikirannya dengan masalah Pak Mail Rimau. Yang tak habis-habis buat masalah.
"Tapi... dia dapat sokongan daripada puak lama. Puak lama dah menyatakan sokongan penuh kepada Pak Mail Rimau jadi penghulu. Tak lama lagi mereka nak buat undi tidak percaya kat kau," bersungguh-sungguh Pak Rahim berkata. Sampai membuntang biji mata.
"Mmmm..." mengeluh panjang penghulu. Gelisah mula melanda.
"Apa yang kau nak buat, penghulu?" soal Pak Rahim. Seperti menyendir.
"Biarkan..."
"Biarkan? Mana boleh penghulu..." rungut Pak Rahim.
"Maksud aku... kita tengok dulu apa yang mereka nak buat. Apa rancangan mereka," jelas penghulu.
"Kau nak duk diam aje..." bebel Pak Rahim.
"Diam... bukan bererti aku takut. Biar mereka bertindak dahulu. Sehingga mereka lalai dan melakukan kesilapan. Waktu tu baru aku bertindak."
YOU ARE READING
SIHIR ORANG MINYAK
Mystery / ThrillerNOVEL KE-LIMA DARI PENULIS THRILLER KHAIRUL NAIM. SEBUAH NOVEL SPY STORIE/ MISTERI PENYIASATAN.