TIGA hari sudah berlalu. Nadzmir berada di Kampung Kuala Tiga. Dia menjangkakan Liza akan datang hari ini. Begitulah janji Liza. Yang berulang kali kata pasti akan datang pada hari ini. Selama tiga hari Nadzmir tidak mendapat kerjasama daripada penduduk kampung. Yang tidak mahu bercerita perihal orang minyak bila ditanya. Sama ada mereka dipaksa supaya jangan bercakap kepada sesiapa atau mereka takut. Nadzmir turut merasakan ada ketakutan yang amat menyelubungi Kampung Kuala Tiga. Ketakutan yang mendorong penduduk kampung diam membisu.
Amukkan orang minyak telah berlalu 6 bulan yang lepas. Orang minyak telah mati. Sepatutnya ketakutan itu tiada lagi. Rumah menjadi buruk seperti bangkai reput yang membusuk adalah punca ketakutan yang menyerang penduduk kampung sekarang ini. Ada empat buah rumah yang seperti disihir. Sihir apa yang menyebabkan rumah itu menjadi begitu?
Tuah memihak kepada Nadzmir apabila bertemu Azizan. Azizan mendakwa dirinya seorang pegawai penyiasat yang menyiasat kes orang minyak 6 bulan yang lepas. Dia bertugas di IPD Tanah Merah sebelum ini. Dia begitu taksub dengan orang minyak. Menyiasat tanpa henti. Setiap masa dan setiap hari. Sehingga tidak terurus diri dan keluarga. Dia seperti mengejar bayang-bayang sendiri. Begitulah ramai yang mengelarnya. Melihatnya seakan orang hilang akal. Siasatannya dianggap melanggar protokol penyiasatan menyebabkannya dipecat. Dia juga degil dan selalu mengingkari arahan pihak atasan bila diarahkan berhenti menyiasat. Ekoran daripada itu dia bertindak menyiasat sendiri.
6 bulan dia berada di Kampung Kuala Tiga. Menyiasat secara sembunyi-sembunyi. Banyak perkara aneh yang berlaku di kampung itu. Tapi tiada siapa yang tahu kenapa terjadi, bagaimana terjadi. Siapa yang menyebabkan semuanya terjadi. Belum pun misteri orang minyak diselesaikan timbul pula misteri rumah buruk yang disihir. Penghuni dalam rumah itu dikatakan ghaib. Hilang entah ke mana. Masih hidup atau mati.
Begitulah dakwaan Azizan yang bersungguh-sungguh bercerita kepada Nadzmir. Kata Azizan lagi...
"Rumah atas bukit, yang dekat masjid adalah rumah Tok Ayah Tuan Ghufran, ketua puak lama. Tiga buah rumah lagi adalah rumah Pak Da Wahab, Rumah Pok Loh B dan rumah Pak Mail Rimau. Aku hairan sebenarnya..."
"Apa yang hairannya?" Nadzmir bertanya.
"Anak Pak Da Wahab, Pok Loh B dan Pak Mail Rimau adalah mangsa rogol dan bunuh orang minyak. Lojiklah kalau rumah mereka jadi begitu. Tapi apa kaitannya dengan Tok Ayah Tuan Ghufran?" Azizan meluahkan rasa musykil. "Apa pandangan kau?" Dia bertanya pula kepada Nadzmir.
"Entah..." Spontan Nadzmir menjawab. Sememangnya dia tiada jawapan kepada persoalan itu.
"Aku nak ke rumah tu... aku nak masuk dan siasat. Mesti ada apa-apa yang boleh bantu aku cari jawapan." Tegas Azizan.
"Masuk rumah mana? Rumah Tok Ayah Tuan Ghufran?" Nadzmir bertanya.
"Ya... kau nak ikut sama?"
Nadzmir termenung sejenak. Baginya bukan tindakan bijak kalau masuk ke dalam rumah itu. Yang sedia maklum telah disihir. Bahaya pasti mendatang. Silap-silap boleh bawa maut. Tiada jawapan daripada Nadzmir sama ada mahu ikut atau tidak. Azizan pula telah nekad. Mahu juga pergi ke rumah buruk yang dikatakan telah disumpah. Dilarang masuk sudah pasti apatah lagi mendekatkan diri bahkan bercakap pasal rumah buruk itupun boleh menimpa celaka.
Hari ini Nadzmir berada dalam rumah tempat Azizan jadikan markas siasatannya. Kelmarin Azizan bertegas mahu ke rumah buruk atas bukit. Tiada kelibat Azizan pun sekarang ini. Mungkinkah dia telah pergi ke rumah atas bukit itu. Orang tua degil, berulang kali melarang pun tiada guna. Apa dah berlaku dengan kau sebenarnya. Fikiran Nadzmir mencongak tatkala anak mata menjeling ke arah sebuah fail yang berada di atas timbunan fail-fail yang lain. Seperti baru diletak oleh seseorang. Spontan tangannya mencapai. Serentak itu juga dia terdengar bunyi enjin sebuah kereta masuk ke perkarangan rumah. Nadzmir meluru ke muka pintu. Wajahnya teruja kerana amat mengenali kereta itu.
YOU ARE READING
SIHIR ORANG MINYAK
Mystery / ThrillerNOVEL KE-LIMA DARI PENULIS THRILLER KHAIRUL NAIM. SEBUAH NOVEL SPY STORIE/ MISTERI PENYIASATAN.