BAB 20

936 45 3
                                    

LAKSAMANA NALA, salah seorang daripada Tujuh Pejabat Tinggi atau menteri paling berkuasa dan berpengaruh di zaman Empayar Majapahit. Pangkat yang disandang beliau adalah Rakryan Tumenggung atau Panglima Temenggong iaitu ketua kepada temenggong kecil dan panglima tentera laut. Disimpulkan bahawasanya Laksmana Nala mempunyai kuasa perintah penuh ke atas armada tentera laut Empayar Majapahit dengan 40,000 prajurit. Beribu-ribu kapal perang yang menguasai sepenuhnya Laut Selatan Kepulauan Jawa.

Laksamana Nala adalah orang kepercayaan kepada Mahapatih Gajah Mada. Perdana Menteri Empayar Majapahit yang terbilang dan tersohor. Terkenal dengan sumpah palapa. Iaitu mengasingkan diri dengan nikmat hidup selagi belum berjaya menjadikan Kerajaan Majapahit sebuah empayar yang menguasai keseluruh Kepulauan Jawa, Sulawesi, Borneo, Sumatera dan semenanjung Tanah Melayu. Selama 7 tahun sumpah palapa diikrar oleh semua panglima, pahlawan, pendekar dan prajurit Majapahit. Termasuklah Laksamana Nala. Boleh dikatakan Empayar Majapahit amat berkuasa dan berpengaruh ketika ditadbir oleh Mahapatih Gajah Mada. Dengan dibantu orang kanannya Laksamana Nala.

Laksamana Nala diberi gelaran Empu yang bermaksud serba tahu. Gelaran itu diberikan kerana kebijaksanaan beliau mencipta kapal perang yang bergerak laju atas laut. Kononnya Laksamana Nala mempelajari teknik dan membina kapal perang daripada orang Cina. Setelah Mahapatih Gajah Mada menghantarnya ke Empayar Ming untuk menuntut ilmu perang di laut.

Walaupun begitu pada awal pembinaan kapal perang, Laksamana Nala gagal mencipta kapal perang yang gagah dan hebat. Semuanya menjadi berat dan bergerak perlahan di laut. Ada yang karam dengan tiba-tiba. Mudah rosak dan tidak kalis air masin.

Suatu hari, Laksamana Nala terdengar mitos pokok raksasa. Kononnya pokok raksasa amat sesuai dibuat kapal perang kerana kayunya kalis air masin dan ringan. Hendak mencari pokok raksasa hendaklah pergi ke Laut Selatan. Ada sebuah pulau di sana. Yang penuh dengan pokok raksasa.

Laksamana Nala pun pergi mencari pulau yang penuh dengan pokok raksasa. Hari berganti hari, minggu berganti minggu. Berbulan lamanya namun pulau yang penuh dengan pokok raksasa tidak ditemui. Laut Selatan telah diharungi. Berkali-kali menyusuri tapi belum ketemu juga.

Pasrah dan kecewa tapi tidak berputus asa. Laksamana Nala diberitahu bahawasanya pulau yang dipenuhi pokok raksasa dilindungi Penguasa Laut Selatan. Rakyat jelata memanggilnya dengan panggilan hormat sebagai Kanjeng Ratu Kidul. Jika hendak temui pulau itu mesti meminta izin daripada Kanjeng Ratu Kidul. Itulah yang diberitahu rakyat yang menganggap Kanjeng Ratu Kidul adalah dewi laut. Penjaga keamanan yang sentiasa melindungi rakyat dan hidupan laut dan bumi dari kejahatan.

Malangnya tiada siapa yang tahu di mana Kanjeng Ratu Kidul berada. Dan bagaimana hendak ketemunya. Ada yang mendakwa dia tinggal di dasar Laut Selatan dalam istananya. Mustahil hendak ke dasar laut yang dalam dan luas. Belum pun sampai dan ketemu nyawa sudah hilang.

Ramai yang memujuk Laksamana Nala jangan pergi ke dasar laut. Setelah dia nekad mahu terjun jua. Sehingga ada mengata dia telah gila. Tidak mungkin berjumpa dewi laut. Yang mistik dan suci. Yang tidak akan menjelma di hadapan manusia. Tidak akan menampakkan wajah.

Nekad yang tekad. Laksamana Nala bukan seorang yang penakut. Dia tidak peduli sindiran orang. Tidak ambil kisah apa yang dikata orang. Tegasnya...

"Laksamana Empayar Majapahit tidak gentar dengan kuasa dewi. Aku... lelaki Jawa pasti menemuinya. Dia pasti tunjukkan aku.. di mana pokok raksasa."

Laksamana Nala melompat terjun ke dalam laut. Disaksikan sendiri oleh ratusan prajurit yang taat setia. Berbekalkan ilmu silat yang penuh di dada, Laksamana Nala dapat menahan nafas dengan lama. Baginya tiada masalah hendak menyelam lama sehingga ke dasar laut. Masalahnya berapa lama dia dapat bertahan. Tidak mungkin selama-lamanya. Puas sudah Laksamana Nala mencari tapi tidak temui sebarang tanda kewujudan dewi laut. Tiada pun istana di dasar laut. Laksamana Nala tidak mahu mengalah. Dia mencari dan mencari. Menyelam dan berenang ke sana-sini. Lincahnya macam ikan duyung. Tapi sia-sia belaka. Apa yang hendak dicari tidak ditemui. Laksamana Nala semakin lemah. Dia seperti tidak terdaya lagi. Ditambah lagi dengan rasa kecewa. Ingatkan di sinilah lokasi istana dewi laut yang didakwa. Firasatnya juga beranggapan begitu. Laksamana Nala hendak berenang naik ke permukaan laut. Di saat itu dia diserang rasa pening dengan tiba-tiba dek kekurangan oksigen di otak. Lantas pengsan. Badannya longlai tidak bermaya. Dan luruh ke dasar laut macam daun keguguran. Jatuh perlahan-lahan.

SIHIR ORANG MINYAKWhere stories live. Discover now