BAB 18

885 55 2
                                    

TIKA waktu tengah hari, Nadzmir hendak keluar berjalan-jalan. Itulah yang dikhabarkan kepada Mek Ilah yang sedang sibuk di dapur. Menyediakan makan tengah hari. Disuruh oleh Mek Ilah guna motorsikal tapi Nadzmir tidak mahu. Katanya hendak berjalan kaki. Senang nak tengok-tengok kawasan sekitar kampung. Sebelum keluar Mek Ilah berpesan... jangan pulang lewat, nanti makan tengah hari bersama. Dan yang penting jangan pergi ke rumah lama yang disihir tu. Nadzmir hanya mengangguk saja. Mengeya pesanan tegas Mek Ilah.

Nadzmir tidak merancang mahu ke rumah lama atas bukit itu. Lagipun dia sudah merasai sendiri kejahatan yang bersarang di rumah lama itu. Tapi... bagaimana aku ditolak sehingga jatuh? Aku tidak pasti sama ada aku ditolong atau sengaja diapakan. Kalau ditolong... kuasa apa yang menolak aku. Kalau diapakan pasti puaka hitam dari rumah lama itu. Nadzmir membiarkan dulu teka-teki itu. Sekarang ini dia mahu kenal pasti siapa mangsa yang diperkosa dan dibunuh orang minyak. Sekeping gambar bersaiz 3R dilihatnya. Ada 4 orang gadis remaja. Siapa kah mereka? Siapa keluarga mereka? Kenapa hanya mereka yang diserang orang minyak?

Berasa menyesal tak guna motorsikal. Penat pula berjalan kaki. Sudahlah panas terik. Mengelat peluh Nadzmir. Rupanya besar juga kampung ini. Dari rumah Mek Ilah, Nadzmir berjalan kaki sehingga ke blok Bukit Kulim. Blok Bukit Kulim bersebelahan dengan blok Bukit Tengah. Rumah Mek Ilah pula berada di blok Bukit Omar. Blok Bukit Omar terletak di pintu masuk ke Kampung Kuala Tiga. Itulah yang diberitahu Mek Ilah kepadanya sebelum keluar tadi. Panjang lebar Mek Ilah memberitahu susun atur kedudukan blok-blok di Kampung Kuala Tiga.

Nadzmir berhenti sekejap di sebuah warung menjual air batu parut atau popular dipanggil ABC. Lagipun dia teruja nak merasa ABC di waktu panas terik begini walaupun jam baru 11.30 pagi.

"Panasnya..." Nadzmir bergumam. Sambil mengibas wajah dengan tapak tangan. Dia duduk atas bangku kayu buatan tangan yang lusuh tapi utuh. Ada dua pasang mata yang memandang ke arah Nadzmir. Seorang pak cik tua berkupiah senget. Seorang kakak kecil molek. Dia menutup kepala hanya dengan anak tudung saja. "Kak... ABC satu!" Laju Nadzmir bersuara.

Kakak yang kecil comel molek itu membalas dengan senyuman. Lagipun jarak mereka tidak jauh. Warung kecil saja. Kemudian Nadzmir berpaling ke arah pak cik berkupiah senget. Dilihat pada kedutan wajah di sangat berumur. Mungkin berumur 80-an. Nadzmir bermain teka-teki. Siapa pak cik ini? Masam saja muka dia? Takut pula aku nak tegur dia?

"Assalamualaikum, pak cik..." Nadzmir memberanikan diri menegur. Salam itu dijawab segera pak cik berkupiah senget. "Panas ya... hari ni," ujar Nadzmir.

Pak cik berkupiah senget mengukir senyum lagi. Kemudian dia bersuara. "Petang nanti hujan lah... selalunya begitulah kalau panas terik di tengah hari. Kau ni siapa?"

"Nama saya Nadzmir pak cik... saya datang dari KL." Segera Nadzmir menjawab. "Sebenarnya saya nak cari kawan-kawan saya." Nadzmir memulakan langkah.

"Siapa?" Pak cik berkupiah senget bertanya.

Nadzmir mengeluarkan sekeping gambar dari kocek belakang seluar jean warna hitam yang dipakainya. Kemudian dia mendekatkan diri kepada pak cik itu. Dia menunjukkan gambar itu.

"Pak cik tahu di mana mereka tinggal?" Ujar Nadzmir.

Pak cik berkupiah senget mengecilkan kelopak mata. Mata orang tua. Nampak macam tak nampak. Kadang-kadang jelas. Kadang-kadang pudar. "Siapa ni?" Pak cik itu pula yang bertanya.

"Kawan saya pak cik... dulu kami bersekolah bersama-sama kat pekan. Sejak masuk universiti dah tak berhubung lagi." Bersungguh-sungguh Nadzmir bercakap sambil berdiri di sebelah pak cik berkupiah senget. Yang masih nampak tak nampak. Macam kenal tapi lupa pula anak siapa.

SIHIR ORANG MINYAKWhere stories live. Discover now