BAB 12

1K 65 5
                                    

BAB 12

NADZMIR berada di rumah. Dia berasa tidak senang hati. Gemuruh sentiasa. Hendak berasa demam pun ada. Dek terlalu risau memikirkan apa sudah terjadi kepadanya. Adakah aku hantu? Itulah yang bermain di fikirannya.

Nadzmir berada di ruang tamu. Duduk bersila atas sofa panjang. Dia termenung mendongak ke siling setelah selesai membaca tiga buah fail laporan siasatan perihal orang minyak. Dan entah kenapa rumahnya tiba-tiba berasa dingin sangat. Cuaca di luar panas. Penghawa dingin tidak dihidupkan. Kipas siling pula berputar pada kelajuan sederhana. Tidak mungkin dapat menghasilkan angin sejuk begini. Dia teringat. Cuaca dingin begini sama seperti ketika berada di pantai yang indah berair biru.

Nadzmir berlagak tenang. Walau hati berkeras mahu berasa takut. Dipaksanya supaya tenang. Mesti kena tenang jika berdepan hal-hal mistik begini. Dia memujuk hatinya. Tatkala angin dingin bergerak perlahan. Berlegar-legar ke arahnya. Seperti sekawan rama-rama yang sedang bermain di sekitar tubuh.

'Apa maksudnya ini? Kenapa aku didatangi angin dingin?'

Fikiran Nadzmir mula mencongak. Sesungguhnya dia berasa gerun.

"Siapa kau sebenarnya? Apa kau mahu daripada aku?"

Nadzmir memberanikan diri bertanya. Tiada sesiapa pun di situ. Tiada kelibat orang pun. Tapi dia yakin ada seseorang bersamanya. Pasti perempuan Jawa yang angun lagi jelita ada di sini.

Usah khawatir... tekoku ora nyilokoken sliramu. (Usah di khuatir... hadirku tidak membahayakanmu.)

Suara ghaib membisik di cuping telinga Nadzmir. Nadzmir mengenali suara itu. Suara sama. Suara perempuan Jawa. Tapi kenapa dia tidak muncul?

TING-TONG!

Bunyi loceng rumah. Serentak itu juga Nadzmir berpaling ke arah muka pintu. Cepat-cepat dia ke sana. Belum pun sempat tangan kanannya menyentuh tombol pintu, tapak kakinya terpijak sesuatu. Dia berasa hairan. Ada sesuatu atas lantai. Sebuah sampul surat bersaiz A4 warna jingga. Segera dia mengambil sampul itu. Ringan seperti tiada apa-apa pun dalam sampul surat yang bergam dan tertutup rapi. Dia menggoncang sampul surat itu. Ada benda yang bergerak. Benda nipis dan ringan.

'Apa yang ada dalam sampul ni? Siapa yang bagi?'

Dia bermain teka-teki lantas membuka pintu rumah. Luas-luas dia buka. Tiada sesiapa pun.

'Aku dapat surat layang ke? Ke... surat ugut bunuh.' Macam-macamlah fikiranya menakkul.

Dia mengoyak bahagian atas sampul surat. Mengoyak perlahan walau tidak kemas. Sesudah itu terus dia mencapai dan memegang benda yang berada dalam sampul surat. Ada sekeping gambar. Bersaiz 3R. Nadzmir memegang gambar itu dengan tangan kanannya. Tekun dia melihat imej dalam gambar. Ada 4 orang gadis remaja belasan tahun. Semuanya ceria berwajah gembira. Gambar ketika mereka bersekolah menengah. Melihat kepada pakaian sekolah yang berwarna putih dan biru langit.

"Siapa mereka ni?" Nadzmir bergumam. Bercakap seorang diri. "Kenapa aku diberi gambar ni?"

Dan tiba-tiba dia teringat akan laporan siasatan yang dibacanya tadi. Di mana tiga orang gadis remaja telah diperkosa dan dibunuh orang minyak. Tapi tiga orang. Kenapa dalam gambar ini ada empat? Spontan fikiran Nadzmir mula menyiasat. Siapa perempuan seorang lagi ni.

"Nampaknya... aku kena segera pergi ke Kelantan."

Nadzmir bin Muin. Dahulunya seorang wartawan di stesen televisyen terkemuka negara. Dia adalah wartawan lokasi yang membuat liputan berita berkaitan jenayah. Namanya tidak terkenal. Tidak sepopular pembaca berita jam 8 malam. Lagipun dia jarang sekali muncul di kaca televisyen.

SIHIR ORANG MINYAKWhere stories live. Discover now