"TUNJUKKAN...! Tunjukkan...! Tunjukkan dirimu. Nampakkan wajahmu. Tunjukkan!" Tok Kadak bersuara garang. Lagaknya macam pendekar hendak bertempur. Dia sedang berdiri di tengah-tengah ruang tamu rumah Nadzmir.
Ezad dan Aiman pula berada dekat dengan pintu masuk. Tok Kadak tidak benarkan mereka melangkah atau bergerak ke depan. Kerana di depan itu bukan lagi alam manusia. Jika melangkah akan masuk ke alam bunian. Yang pasti akan mencelakakan mereka berdua.
"Aku tahu kau siapa... tunjukkan dirimu." Tok Kadak bersuara lagi. Kali ini nada suaranya rendah seperti memujuk. "Aku tidak berniat jahat. Aku bukan musuhmu. Aku hanya mahu berbicara denganmu."
Pada masa yang sama, Ezad tidak senang hati. Detak jantung semakin berdegup kencang. Perasaan sama berulang lagi. Ketakutan sama tika diserang ombak ganas. Apatah lagi dia mula merasai angin dingin yang sama. Dingin seperti angin laut yang bertiup ketika jam 3 pagi.
"Kau ada rasa apa-apa tak?" Ezad bersuara perlahan. Macam orang berbisik. Ke arah Aiman.
"Rasa apa... tak ada apa-apa pun?" Jawab Aiman.
"Aku rasa sejuk... sejuk sangat."
"Perasaan kau aje tu. Ingat pesan Tok Kadak. Kuatkan semangat. Jangan biarkan minda kau terpedaya dengan tipu muslihat. Baca ayat Al-Quran yang Tok Kadak ajarkan." Bagitahu Aiman.
"Uhhh... baiklah." Ezad lantas membaca apa saja ayat Al-Quran yang terlintas difikiran sambil menutup mata. Berkerut wajah.
Tok Kadak masih tenang. Tidak sedikitpun berasa takut bahkan teruja. Tapi masih berhati-hati. Makhluk ghaib yang berada dalam rumah Nadzmir masih belum muncul walau sudah tahu gerangnnya.
Tika Tok Kadak sedang menanti jawapan balas yang belum didengar, dia dapat rasakan perubahan mendadak keadaan suhu dalam rumah Nadzmir. Tiba-tiba saja menjadi sejuk yang amat. Seperti berada dalam air laut yang membeku.
Satu sinar cahaya kecil sebesar sebilah jarum tiba-tiba muncul di hadapan. Dan kemudian merekah dalam keadaan menaik dan menurun. Rekahan itu membuka perlahan-lahan. Dan tersemburlah cahaya putih yang menyilau pandangan lalu berlakulah satu letupan cahaya.
Tok Kadak mengecilkan kelopak mata. Mahu menahan kuasa cahaya itu. Cahaya itu semakin menyilau, dia terpaksa berlindung di sebalik tangan kanan. Badannya terkalih ke belakang dalam dua langkah dek tertolak oleh kuasa letupan cahaya itu. Tidak besar letupan itu tapi kesannya seperti dirempuh sekawan lembu.
Tok Kadak dapat rasakan ada seseorang muncul di hadapan. Dalam jarak 10 kaki. Di hadapan letusan cahaya yang masih memancar. Seseorang itu dilihat terapung di udara. Tidak dapat melihat wajah kerana terlindung di sebalik silauan cahaya. Sudahlah badannya bercahaya dan bersinar. Menutup kulit yang putih bak mutiara.
"Adakah... tuanku, Kanjeng Ratu Kidul?" Tok Kadak bersuara dengan tiba-tiba. Dek teruja sangat ingin mengetahui.
"Benar... beta adalah Kanjeng Ratu Kidul. Penguasa Laut Selatan." Jawapan halus dan sopan dari suara yang lembut membuatkan Tok Kadak tergamam. Manakala Ezad dan Aiman pula tercengang. Kedua-duanya membuntang biji mata. Terlopong mulut. Dek belum pernah melihat makhluk alam ghaib yang begitu cantik, anggun dan jelita. Padanlah dengan namanya sebagai dewi laut. Gayanya cukup menawan apabila mengenakan pakaian tradisional perempuan Jawa.
"Siapa tuan hamba? Apa tujuan tuan hamba datang kemari?" Kanjeng Ratu Kidul bertanya.
"Tuanku... maafkan hamba. Hamba bernama Tok Kadak. Hamba juga adalah rakyat tuanku. Hamba kemari bukan membawa kejahatan. Hamba kemari kerana meminta kebaikkan. Moga tuanku dapat melindungi hamba dan sahabat-sahabat hamba?" Tok Kadak memulakan bicara. Berlapis kata. Lagipun dia sedia maklum siapa Kanjeng Ratu Kidul. Dewi laut penegak kebenaran. Pelindung kebaikkan. Menentang kejahatan. "Tuanku... kenapa tuanku datang kemari?"
YOU ARE READING
SIHIR ORANG MINYAK
Mystery / ThrillerNOVEL KE-LIMA DARI PENULIS THRILLER KHAIRUL NAIM. SEBUAH NOVEL SPY STORIE/ MISTERI PENYIASATAN.