"KAU punya pasal lah ni. Datang awal-awal buat apa," bebel Ezad
"Manalah aku tahu dia keluar pagi-pagi," balas Aiman.
"Habis tu... nak buat apa lagi." Nampak marah Ezad.
"Tunggu ajelah... apa lagi." Kata Aiman.
Pagi-pagi lagi mereka keluar dari bilik hotel dan terus ke rumah Tok Kadak. Dek tidak mahu membuang masa. Sudah penat menunggu. Apabila sampai di rumah Tok Kadak, anak perempuannya beritahu Tok Kadak sudah keluar. Pergi ke pekan. Mengeluh lagi mereka berdua. Kena tunggu lagi.
Tok Kadak tinggal bersama anak perempuannya. Isteri Tok Kadak mati di usia muda akibat penyakit misteri. Tapi gosip kuat mengatakan Tok Kadak menjampi isterinya. Menggunakan kuasa sihir hitam sehingga isterinya sanggup berkahwin dengannya. Lama kelamaan kuasa sihir hitam itu memberi kesan kepada isterinya. Kononnya muntah darah sebelum meninggal. Tapi Tok Kadak menafikan semua itu. Dia cintakan isterinya. Kahwin atas sukarela. Kerana cinta.
"Kamu berdua boleh naik, boleh tunggu atas rumah." Anak perempuan Tok Kadak mempelawa mereka berdua naik.
"Eh... tak apalah, kak. Kami tunggu bawah sajalah." Balas Ezad. Tiba-tiba sikunya ditepuk perlahan oleh Aiman. Aiman berkerut muka memberi isyarat tidak elok menolak jemputan ikhlas. Ezad tercengang. Tidak mengerti dengan isyarat muka begitu.
"Baiklah, kak... kami naik. Terima kasih." Cepat-cepat Aiman menerima pelawaan itu.
"Panggil akak, Kak Mira." Ujarnya berwajah ceria. "Duduklah kat ruang tamu. Biasanya ayah tak lama pergi pekan. Dia pergi hantar ubat. Ada pelanggang yang mahukan ubat herba. Maaflah ya, kalau tak selesa dengan keadaan rumah ni." Sopan sungguh Kak Mira melayan tetamu. Orangnya cantik. Sudah 35 tahun umurnya.
"Kami tak kisah Kak Mira, terima kasih," ujar Aiman.
"Ubat herba apa, kak?" Ezad mencelah. Nak sangat tahu.
"Oh... ubat kuat. Untuk orang lelaki." Spontan Kak Mira menjawab. Tiada rasa malu.
Aiman pula yang malu-malu. Ezad pula berwajah teruja. Tahulah dia dengan siapa perlu jumpa nanti kalau ada masalah tenaga batin. Ezad tersenyum dan gembira dalam hati.
"Dari semalam lagi kamu menunggu ayah. Kesian kamu berdua, terpaksa menunggu lama," kata Kak Mira. Memulakan bicara. Melayan tetamu. "Datang sebab apa?"
"Nak minta bantuan dengan Tok Kadak." Cepat sungguh Aiman menjawab dek teruja mahu bertanya. "Ingat tak, tempoh hari saya pernah datang?"
Kak Mira termenung sejenak. Sambil merenung wajah Aiman. Kemudian memandang wajah Ezad dan memandang lagi sekali wajah Aiman. "Oh... kamu. Ingat... ingat. Seorang lagi kawan kamu tak datang?"
Aiman tak menjawab pertanyaan Kak Mira. Dek dia mahu bertanya lagi. "Ingat tak, akak cakap 'teman' Tok Kadak yang berpesan. 'Teman' Tok Kadak nampak sesuatu. Apa maksudnya? Dan satu lagi apa maksud kata-kata Tok Kadak tempoh hari. Dia cakap dalam Bahasa Jawa?"
Kak Mira berubah wajah. Berkerut muka. Dia mula teringat apa yang berlaku pada malam itu.
"Satu malam ayah tidak sedar diri. Mujurlah tidak berlaku apa-apa. Belum pernah terjadi begini. Menurut ayah, 'teman' yang selalu mendampingi ayah berasa takut. Takut yang amat. Ayah rasa ada kuasa yang lebih kuat dan hebat dari 'teman' ayah. Kuasa yang hebat itu ada bersama kawan kamu."
YOU ARE READING
SIHIR ORANG MINYAK
Mystery / ThrillerNOVEL KE-LIMA DARI PENULIS THRILLER KHAIRUL NAIM. SEBUAH NOVEL SPY STORIE/ MISTERI PENYIASATAN.