BAB 19

929 52 6
                                    

BAB 19

TOK KADAK membaca doa. Dengan suara perlahan dan sukar hendak menangkap setiap butir kata yang dilafaz. Sudahlah bacaannya pantas sekali. Katanya, doa itu hendak memagar tubuh. Supaya tiada mahkluk ghaib yang akan menghampiri dan merasuk. Ezad dan Aiman hanya mengamin saja doa yang dibaca Tok Kadak. Setelah membaca doa, Tok Kadak meniup ke tapak tangan kemudian melumur ke seluruh badan. Diarahkan kepada mereka berdua ikut sama.

Tercengang Ezad kerana tidak mengerti. Dari awal lagi dia tidak faham setiap arahan Tok Kadak dek terlalu risau dan takut. Perasaan gerun tidak hilang-hilang lagi sejak diserang ombak ganas. Sebab itulah jadi lembab tak tentu pasal. Aiman pula penuh yakin dan bersemangat. Dia seperti tidak kisah jika malapetaka berlaku. Katanya...

"Buat apa hendak takut, percaya dan yakin kepada kuasa Tuhan sudah."

Ketika ini, mereka bertiga berada di depan pintu rumah Nadzmir. Tika jam 3 pagi. Sebelum masuk Tok Kadak hendak memastikan tiada mahkluk ghaib yang akan mengganggu atau memukau. Sebab itulah dibaca doa memagar tubuh. Tok Kadak tidak mahu berlaku seperti apa yang dialami Ezad sebelum ini.

Tok Kadak tiba di Kuala Lumpur semalam lagi. Tika jam 10 malam. Dibawa oleh Ezad dan Aiman. Setelah dipujuk walau pada awalnya tak makan pujuk. Mujurlah Kak Mira membantu. Setelah dipujuk Kak Mira barulah Tok Kadak berubah hati. Sebelum ke rumah Nadzmir, Tok Kadak hendak rehatkan badan. Dia minta hendak tinggal di sebuah bilik yang sunyi. Tiada gangguan dan bunyi bising. Tiada sesiapa boleh menegur dan melihatnya. Dan selama itu juga dia tidak akan berbuat apa-apa termasuk makan dan bergerak. Seperti orang bertapa.

Ezad mencadangkan rumahnya. Lagipun dia tinggal seorang diri. Tok Kadak setuju tetapi Ezad dan Aiman tidak boleh berada dalam rumah itu. Kena berada di luar rumah. Pesan Tok Kadak...

"Jika terdengar bunyi, atau berlaku apa-apa kat dalam rumah... jangan masuk. Jangan hampiri rumah. Butakan mata, pekakkan telinga. Jangan cuba hendak jadi hero."

Ezad dan Aiman mengangguk saja arahan tegas Tok Kadak. Bunyinya sungguh menakutkan.

"Kenapa Tok Kadak nak berkurung seorang diri? Apa yang dia nak buat?" Ezad bertanya. Berwajah penat dek memandu dari Muar ke Kuala Lumpur. Sekarang baru dapat rehatkan badan.

Mereka berdua berada dalam bilik hotel. Tidak jauh dari rumah Ezad. Tok Kadak suruh mereka berehat dan tidur secukupnya. Jika hendak masuk ke rumah Nadzmir nanti mesti ada kekuatan. Hendak berdepan dengan kuasa hebat. Jiwa, hati dan fikiran kena hebat. Pesan Tok Kadak lagi.

"Dia nak jumpa 'teman'." Jawab Aiman bernada malam-malas. Setelah kepala melabuh atas bantal.

"Teman? Siapa? Siapa teman Tok Kadak?" Bersungguh-sungguh Izad bertanya.

"Bunian." Selamba Aiman berkata. Yang masih merenung ke atas. Entah apa yang difikir. Sebab itulah pendek saja jawapan.

"Huh..." Izad terkedu. Mestilah sukar hendak percaya. Tapi tidak mustahil boleh berlaku. Lagipun Tok Kadak ni bomoh. Mestilah dia ada ilmu yang membolehkannya berhubung dengan alam ghaib. "Kau kenal Tok Kadak, kan? Macam mana kau kenal dia?" Bersungguh-sungguh Ezad bertanya lagi. Perkataan bunian menyebabkannya hilang terus rasa mengantuk.

"Kau nak tahu pasal, Tok Kadak?" Aiman pula bertanya.

"Yalah... mestilah nak tahu. Tok Kadak ni macam ada kuasa magic aje. Dia boleh terbang ke?"

"Entahlah..." Aiman bangkit. Kemudian duduk di birai katil. Izad pula duduk bersila atas katil. Ada dua katil bujang dalam bilik itu. "Aku dah lama siasat pasal Tok Kadak ni. Untuk tesis aku."

SIHIR ORANG MINYAKWhere stories live. Discover now