Bab 23 : nombor telefon

2.5K 97 20
                                    

                  "OPAH masak apa?" Soal Qistina tatkala dia ke dapur pagi itu. Baguslah tu, cucu tak reti nak tolong nenek sendiri. Pinggang opah dipeluk Qistina dari belakang.

"Masak paku." Sindir opah dengan mulut terjuih. Bibir Qistina mencebik mendengarkannya. "Sudah terang lagi bersuluh opah tengah goreng mi ni. Haish." Tambah opah membuatkan Qistina tersengih. Sudah gerahu cendana pula.

"Alah, nak beramah mesra pun tak boleh. Kalau macam ni nak balik KL semulalah!" Qistina berpura-pura terasa hati. Dia sangka opahnya akan memujuk tetapi sangkaannya meleset, "Mengada! Ni dah mandi ke belum? Busuk!" Opah merungkaikan pelukan cucunya itu.

Mentang-mentanglah dah ada cucu baru, dia biarkan je. Kalau dulu, bak puteri kayangan dia melayan. Omel Qistina tak puas hati.

"Dahlah opah..."

"Oh, mandi sekali dengan Firas, ya?" Usikan opah membuatkan muka Qistina membahang. Merah mukanya menahan malu. Walaupun perkara itu tidak terjadi, tetapi dia tetap segan. Dicubit manja lengan opah.

"Nakal tau, opah ni!"

Selepas itu, Firas muncul dan mereka bersarapan bersama. Opah seperti biasa berceloteh tidak henti-henti. Dia bercerita tentang zaman mudanya satu ketika dahulu. Qistina sekadar mendengar tanpa mahu menyampuk kerana sudah jemu dengan cerita-cerita itu. Opah pun, macam tak ada masa lain!

"Firas, Firas..." Seru Qistina kepada Firas yang sedang memetik buah rambutan. Kebetulan sekarang ini musim buah. Kalau di Kuala Lumpur, jarang untuk menemui buah-buahan tempatan yang segar. Berbaloi juga dia datang dengan Qistina.

Firas menoleh apabila isterinya sudah berada di sisi dengan sengihan lebar. "Nak apa, Raisya?" Responnya. Baru saja Qistina mahu bersuara, dahinya ditampar oleh Firas. Sakitnya tak terkata apatah lagi dia tak tahu sebabnya. "Awak ni dah kenapa?"

Marah Qistina sambil menggosok-gosok dahinya yang sudah merah. "Ada nyamuk tadi. Ha, nak apa?" Balas Firas bersahaja seolah tidak rasa bersalah melihat muka cemberut Qistina. Dalam hati dia tertawa lucu.

"Saya nak ajak pergi sungai dekat belakang sana tu ha." Ujar Qistina sambil menunjuk ke arah suatu kawasan di belakang rumah. Berkerut dahi Firas, "Ada sungai ke? Tak tahu pun."

"Memanglah tak tahu. Awak orang kampung ni ke?" Nada Qistina kedengaran begitu sarkastik mengundang sengihan suaminya. "Ermm, okaylah. Let's go!" Firas terlebih dahulu memulakan langkah ke sana.

"Tapi sungai tu jauh sikit tau. Tempat dia pun penuh semak. Banyak nyamuk. Awak tak kisahkan?" Qistina cuba menyaingi langkah Firas. Tahulah kaki panjang! Tiba-tiba Firas menghentikan langkah. "Nak kisah apa? Bukan lelaki sejatilah kalau takut nyamuk!" Tukasnya angkuh lalu memulakan kembali langkah. Qistina hanya mencebik.

Untuk merentasi semak-semak di sana bukan mudah. Tempat ini seperti tidak terurus. Banyak duri-duri yang berada di tanah dan pokok yang menjalar di bawah sekaligus menghalang laluan. Timbul sedikit rasa menyesal kerana bersetuju untuk mengikut Qistina di hati Firas. Sudahlah banyak nyamuk, besar pula tu.

Firas merengus geram apabila dia berjaya 'memburu' seekor nyamuk yang lebih besar dari nyamuk-nyamuk yang menjadi mangsanya. Qistina yang menyedari akan hal itu sekadar tersenyum lucu. Akhirnya mereka tiba.

"Pergh, macam lalu dekat hutan hujan tropika!" Kata Firas seakan lega.

"Hutan hujan tropika pun takde nyamuk tau!" Sahut wanita di sebelahnya yang sedang mengibas-ngibas tudung bawal yang dipakai.

"Tahu takpe!"

Mereka duduk di tebing sungai. Ranting-ranting kecil yang ada di sekitar Firas capai dan dicampak ke dalam sungai di hadapannya. Tiba-tiba suasana jadi canggung dan sunyi cuma bunyi burung dan cengkerik kedengaran. Masing-masing tak tahu bagaimana untuk memulakan perbualan.

Suami Belasan TahunTempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang