DATIN Marina tiba-tiba muncul di depan pintu pagar rumah bersama anak kesayangannya. Siapa lagi kalau bukan Ziyaad.
Ikutkan hati memang Adiya tak mahu buka pintu. Tapi, Datin Marina itu bukan sebarangan orang yang boleh dipandang mudah. Mungkin saja pintu pagar akan digegar jika dia tidak membukanya.
Lagipun, tetamu yang datang perlu dihormati apatah lagi kedudukan wanita ini tidak boleh dinafikan walau sebanyak mana pun rasa tak suka itu terkumpul di hati.
Wanita ini adalah ibu kepada arwah suaminya. Orang yang harus dia hormati.
"Bila nak pindah?" Itu soalan pertama yang ditanya oleh Datin Marina apabila Adiya membuka pintu pagar.
Tapi, Adiya hanya diam tak menjawab. Tak tahu jawapan jenis yang bagaimana untuk diberi. Sarkastik atau sinis.
Tanpa dijemput, Datin Marina melangkah masuk diekori oleh Ziyaad di belakangnya. Adiya hanya mampu memandang seeprti orang gaji yang tolong membukakan pintu untuk majikannya.
Masuk ke rumah, Ziyaad terus melangkah sana sini meninjau kawasan rumah. Lagak seperti ejen hartanah sedang membuat penilaian ke atas rumah yang mahu dijual.
"I nak tahu bila tarikh you nak pindah?" Sekali lagi Datin Marina mendesak tanyakan soalan yang sama. Dia mahukan jawapan dari mulut Zara.
"Dato beri kebenaran pada saya untuk tinggal di sini." Adiya menjawab yang benar. Dato Murad sudah beri kebenaran, dia boleh terus tinggal di sini dan guna kereta yang Akif beri tu tanpa sebarang bayaran dan teruskan kerja di MCB Corporation seperti biasa.
"NO! Dato tak berhak ke atas rumah ni. Ini adalah rumah anak I. Dato tak boleh cakap apa-apa." Datin Marina goyang-goyang telunjuk depan muka Adiya. Topik tentang siapa yang berhak ke atas rumah ni memang sudah menjadi perbalahan hangat antara dia dan suami.
Tak tahu kenapa suaminya suka sangat beri muka pada perempuan yang tak tahu asal usul ini. Sejak dulu lagi, sejak Akif kenalkan padanya, dia memang tak pernah suka.
Bagi pandangan dia, Adiya tak setanding untuk berdiri di sebelah anaknya.
Muka memanglah cantik. Tapi langsung tak pandai bergaya. Pakaian pun sangat kekampungan. Memang tak sesuai langsung masuk dalam keluarganya.
"Oh! Maksudnya Abang Akif tu bukan anak Dato ke? Anak Datin dengan suami lain ke?" Sengaja Adiya ajukan soalan balas yang menguji minda. Walhal dia tahu saja yang arwah suaminya itu memang anak Dato Murad.
"You jangan nak kurang ajar dengan I, ya." Nada amaran terus keluar dari bibir Datin Marina.
Adiya simpan senyum.
"I tak nak banyak cakap. I nak you pindah secepat mungkin sebelum I panggil orang untuk uruskan punggah semua barang you keluar."
Amboi... cantik sungguh bahasa. Sampai nak guna orang untuk halau dia keluar.
"Saya akan bincang dengan Dato..."
"Kan I dah cakap, jangan libatkan Dato! Suami I banyak lagi urusan lain nak fikir." Datin Marina pantas saja mematikan bicara Adiya.
Adiya masih bersabar. Masih bernafas tenang seperti biasa. Kalau nak berkurang ajar pun, boleh saja. Tapi dia tak pernah diajar berkurang ajar dengan orang tua. Makanya, diam lebih baik.
"Rumah ni I akan tukar nama bagi Ziyaad..."
Kepala Adiya terus tertoleh pada lelaki yang disebut namanya oleh Datin Marina.
Saat itu, Ziyaad sudah melangkah ke arah mereka, berdiri di sebelah mamanya.
"Ziyaad akan tinggal di sini dalam waktu terdekat ni." Datin Marina pandang si anak di sebelahnya, meminta bantuan.
Meminta agar Ziyaad menambah rencah dalam usaha mahu menghalau perempuan tersebut keluar dari lingkungan harta milik keluarganya. Kalau boleh, dia tak mahu satu sen pun dari harta peninggalan Akif dinikmati oleh Adiya.
"Hemmmm..." Ziyaad berdehem membetulkan suara.
"Baju I, dah cuci?" Topik lain pula yang Ziyaad suarakan buat Datin Marina tercengang.
Baju?
Soalan si anak kedengaran agak mencurigakan. Ada sesuatukah antara mereka?
Adiya kerling Ziyaad yang sedang memandangnya dengan ekor mata. Takkan Ziyaad tak tahu baju tu dia suruh Raykal yang cuci?
Langkah Ziyaad atur makin menghampiri Adiya. Wajah ditunduk sedikit sehingga Adiya terpaksa larikan kepalanya ke belakang. Terkejut dengan tingkah Ziyaad yang tak terjangka itu.
"Lain kali, bila I suruh buat sesuatu, jangan pandai-pandai suruh orang lain pula. Belajar menerima arahan!" Tegas suara Ziyaad mematikan niat Adiya untuk memberitahu tentang baju tersebut yang telah diserahkan pada Raykal.
Maksudnya Ziyaad sudah tahu?
Maksudnya Ziyaad sengaja bertanya?
Motif?
"Dan bila diarahkan pindah, maksudnya akur dengan arahan. Jangan cari alasan."
Oh! sekarang Adiya faham apa sebenarnya yang mahu disampaikan Ziyaad. Kenapa tak dari awal terus ke perkara pokok? Kenapa nak putar-putar keliling alam baru sebut pasal pindah?
YOU ARE READING
AKU SANGGUP
Storie d'amoreHidup ini ujian. Dan ujian paling hebat buat Adiya adalah ketika kehilangan suami di hari pertama bergelar isteri. Dia redha. Tapi, munculnya Ziyaad dengan tiba-tiba, buat redhanya hanyut. Bagaimana dia boleh lupakan Akif jika Ziyaad sering buatkan...