Bab 12

3.7K 127 7
                                    

WAJAH Hafeef di depannya Adiya pandang dengan rasa hati yang pelbagai.

"Kenapa bang?"

"Kenapa apa?" Hafeef pura-pura tak faham dengan soalan yang diajukan Adiya. Walhal dia tahu saja apa yang Adiya mahu bicarakan.

"Abang jangan buat-buat blur dan tak faham."

Tawa terlepas dari bibir Hafeef melihat kemarahan Adiya. Walau dalam keadaan marah, tetap manis di matanya. Manis seorang Adiya hanya mampu dilihat oleh yang pandai menilainya saja.

"Kami perlukan masa." Akhirnya Hafeef jawab jua.

"Kami?" Adiya ulang perkataan KAMI dengan nada tak puas hati. Sebab apa yang dia tahu, lain sangat.

"Kak Murni kata abang yang minta putus. Apa maksud abang dengan kami?"

Kali ini Hafeef tengadah. Mata tepat ke wajah Adiya yang serius.

"Maksudnya Diya dah buat edisi siasat la?"

"Abang jangan nak buat lawak. Orang tak boleh berdiam bila dengar suara umi menangis. Abang tak kasihankan umi ke?"

"Bila umi menangis?"

Satu keluhan berat keluar dari bibir Adiya. Terbayang wajah umi, teringat perbualan malam tadi.

"Tak faham dengan abang kamu tu Diya. Tiba-tiba aje cakap nak putus tunang. Dah pulangkan cincin tanpa bincang dengan umi dulu. Bila umi tanya kenapa, tak mahu cakap. Alasannya tak serasi. Dah bertahun tunang, baru sekarang nak kata tak serasi. Dulu-dulu kenapa tak tolak?" Nafas umi sudah ku dengar tersekat-sekat di talian. Suara pun nada sebak. Itu yang buat Adiya tak boleh tahan mahu turut menangis.

"Atau..dia dah ada perempuan lain. Cuba Diya risik tanya. Umi tahu Diya orang yang paling rapat dengan abang tu."

"Nanti orang cuba tanya. Umi janganlah sedih-sedih."

"Dan bila Diya tanya Kak Murni?" Suara Hafeef mengembalikan Adiya dari lamunan perbualan malam tadi.

"Itu tak penting, bang. Yang penting, kenapa tiba-tiba? Abang dah ada perempuan lain ke? Dah berubah hati pada perempuan lain?" Adiya terus menerjah soalan pokok. Tak kuasa untuk berteka-teki.

Masalah sendiri pun masih banyak yang bersilang sana sini, nak campur pula dengan masalah orang. Nasib baiklah sekarang ni bosnya bercuti seminggu sebab bertunang. Tak adalah dia stres sangat.

"Hati abang tak pernah berubah."

"Dah tu?" Pantas saja Adiya menyoal balas.

"Sejak dulu, memang hati abang pada yang satu tu aje."

"Dan kenapa putus?" Adiya tak puas hati. Selagi tak dapat jawapan pasti, dia akan terus menyoal.

"Sebab abang nak kahwin dengan orang yang abang cinta. Sejak dulu."

Adiya terdiam terus mendengar kata-kata Hafeef. Tak faham. Serius dia tak faham. Bukankah orang yang dicintai si abang adalah Kak Murni?

"Maksud abang, orang yang abang cinta sejak dulu tu bukan Kak Murni?"

Hafeef angguk. Mengiakan tekaan Adiya.

Adiya sudah termenung berfikir. Tak tercapai akalnya. Dia fikir bila Hafeef setuju dengan cadangan umi dulu, maknanya memang tepat Kak Murni itu juga adalah pilihan hatinya.

"Kalau bukan, kenapa dulu setuju?"

"Entah! Masa tu abang fikir abang boleh lupakan orang tu dan ikut kehendak umi. Tapi sekarang bila abang fikir balik, abang tak boleh. Abang nak hidup dengan orang yang abang cinta."

Kepala Adiya geleng beberapa kali sambil mata memandang Hafeef. Geram, kesian, dan macam-macam lagi yang dia rasa.

"Tak baik abang mainkan perasaan orang. Kesian Kak Murni. Kecewa dia."

Nafas berat keluar dari bibir Hafeef.

Lama kemudian, mereka saling diam.

Tiba-tiba Adiya perasan ada seseorang datang berdiri di tepi meja tempat mereka berbincang sambil minum.

Sebaik mendongak, Adiya pantas berdiri kerana terperanjat. Tak terjangka orang yang selalu buatkan hatinya sering bergelora dengan rasa geram muncul di situ. Kedai mamak kut, macam tak sesuai aje dengan lelaki yang bernama Ziyaad Irham ni.

"Encik Ziyaad? Buat apa kat sini?" Pelik Adiya bertanya. Bukankah lelaki ini bercuti? Dengar katanya Ziyaad bercuti selama seminggu untuk majlis pertunangan dengan Anabella. Itu yang dikecohkan oleh pekerja di pejabat.

"Sorang ke?" Mata Adiya tertinjau ke setiap penjuru kedai mamak tersebut. Agak la kalau nak heret cik tunang ke kedai mamak ni. Yang dia tahu, Cik Anabella tu high class punya perempuan. Tak mungkin minum kedai mamak yang sesak dan panas ni.

"Mangsa baru ke?" Sinis suara Ziyaad bertanya tanpa menjawab soalan Adiya. Dia ke situ untuk lepak dengan member lama. Tapi ternampak Adiya di situ, manja semacam dengan seorang lelaki.

Tak tahu kenapa, dia jadi sakit hati. Kubur abangnya masih merah, sudah ada pengganti. Paling menyakitkan hati bila Adiya elok bersenang lenang dengan harta peninggalan abangnya.

"Nak cari mangsa, bukan di kedai mamak, Encik Ziyaad. Kurang-kurang hotel lima bintang." Adiya tenang membalas.

Sebulan kerja dengan lelaki ini, dia sudah lali dengan sindiran sinis. Manusia ni kalau dalam otaknya banyak ion negatif, semua yang nampak depan mata pun akan jadi negatif. Tak guna bertekak tegakkan kebenaran.

Ziyaad hantar pandangan tak puas hati mendengar kata balas Adiya.

Hafeef pula pandang keduanya silih berganti dengan tanda tanya penuh di kepala. Siapakah lelaki ini sehingga mampu buatkan wajah Adiya berubah dalam sekelip mata.

Tiba-tiba dia rasa cemburu. 

AKU SANGGUPWhere stories live. Discover now