KALAU bukan sebab Dato Murad, Adiya memang sudah membantah. Dia pasti akan berkeras menolak.
Tapi...
Kerana yang meminta itu ialah Dato Murad, bekas mertuanya dan juga bos besar yang paling dia hormati. Untuk waktu sekarang, hanya kerana Dato Murad saja dia bertahan di situ.
"Ziyaad kata dia perlukan orang berpengalaman seperti Diya. Raykal tak mampu. Tak mencapai apa yang dia mahu." Itu alasan Dato Murad ketika meminta dia kembali memegang jawatan lama. Cuma bezanya, bosnya bukan lagi Akif tetapi Ziyaad.
"Ziyaad masih baru. Perlukan bimbingan dan sokongan, Diya. Papa tahu Diya orang yang tepat. Macam mana Diya bantu arwah Akif dulu, papa harap Diya mampu buat pada Ziyaad supaya dia lebih fokus pada kerja, bukan pada benda yang bukan-bukan. Sebab papa tengok prestasinya tak berapa memuaskan."
Harapan dan permintaan Dato Murad buat Adiya tersepit. Ya, dia terhutang budi. Dia dapat kerja di situ, atas ihsan Dato Murad. Waktu tu, syarikat tempat dia bekerja jatuh bankrap. Kebetulan bos syarikat tersebut adalah rakan Dato Murad. Dan di situlah bermula segalanya. Walau tak ada jawatan kosong, Dato Murad tetap mengambil dia bekerja.
Atas sebab itu, dia tak mampu menolak walau hakikat sebenarnya dia memang tak mahu. Bekerja dengan Ziyaad bagai menempah keranda untuk diusung ke liang lahad.
"Papa kata you pekerja yang bagus. Pagi-pagi dah termenung, apa yang bagusnya?"
Adiya tersentak. Terus dia bangkit berdiri, memandang Ziyaad yang sedang tegak di depan mejanya dengan mata membulat. Kenapa dia boleh tak sedar lelaki ini berdiri di depan mejanya?
Briefcase di tangan sudah tak ada di tangan bermaksud Ziyaad sudah masuk ke biliknya. Macam mana dia boleh tak sedar sedangkan lelaki ini harus melalui mejanya untuk ke bilik tersebut? Kecualilah Ziyaad ada ilmu ghaib, boleh hilangkan diri dan muncul di mana-mana.
"I lalu depan you pun you tak sedar. Dah sepuluh minit I berdiri kat sini pun you tak sedar." Sengaja Ziyaad mahu menambah perisa. Walhal baru dua minit dia berdiri di situ. Waktu dia masuk tadi, Adiya seang termenung jauh.
Adiya cepat-cepat capai iPad atas meja. Folder planner Ziyaad dibuka.
"Encik..." Belum habis bicaranya, Ziyaad berlalu pergi masuk ke bilik pejabat GM.
Mata Adiya kecilkan memandang langkah lelaki tersebut. Elok sungguh perangai. Rasa nak baling iPad di tangan biar kena kepala. Biar jadi 'manusia' sikit.
Sekarang ni dia rasa sikap Ziyaad macam monyet. Lebih teruk daripada monyet yang dipakaikan baju duduk atas motor yang ditularkan tu.
Langkah Adiya atur juga menuju ke bilik lelaki tersebut.
"Siapa buat Nescafe ni?" Soalan pertama yang Ziyaad tanya sebaik Adiya masuk ke biliknya.
"Mak Cik Sara..."
"Kenapa bukan you yang buat?" Ziyaad memintas.
Adiya terdiam. Memang selalu pun Mak Cik Sara yang buatkan air untuk bos-bos di sini setiap pagi. Kecuali kalau nak tambah lagi atau ada tetamu, baru dia akan buat atau minta Mak Cik Sara buat kalau wanita itu free.
"I nak you buatkan."
"3 in 1, encik. Sama aje rasanya."
"NOW!!" Suara tegas Ziyaad bersama tolakan muk Nescafe ke depan meja buat Adiya kacip gigi geram. Kang ada juga yang mandi Nescafe dalam pejabat pagi buta ni.
Tahan sabar, Adiya capai muk Nescafe dan keluar menuju ke pantri. Tapi dia tak buat yang baru pun. Cuma guna muk lain, tuang Nescafe yang sama dan tambah air panas sikit.
Nak main-main, kan? Tengoklah siapa yang lebih pandai.
Kembali ke bilik pejabat semula dan letak muk tersebut atas meja, elok saja Ziyaad capai dan minum.
Adiya yang melihat simpan senyum. Pandai sangat kan? Ikutkan hati, nak aje dia tambah air paip sikit dalam tu. Kalau ada julap lagi bagus, biar berulang-alik ke tandas dan tak ada masa nak buat perangai setan depan dia. Kalau keracunan terus lagi bagus.
"Hari ni encik ada meeting dengan..." Bicara Adiya terhenti apabila Ziyaad angkat tangan.
"You keluar dulu. I nak minum dan rehat sekejap. Nanti I panggil you."
Tercengang, Adiya tahan sabar lagi. Yang panggil dia tadi tu, siap berdiri depan meja dia tu apa ke jadahnya?
"Adiyaa..."
Adiya tak jadi melangkah apabila namanya diseru.
"Kuih tak ada ke? I belum sarapan."
Ya Allah... tolonglah berikan banyak kesabaran yang tinggi untuk menghadapi kerenah lelaki ini.
"Dah lewat encik. Mana nak cari kuih..."
"I nak kuih. You nak pergi Johor cari atau pergi Kelantan sana cari, I tak mahu dengar. Yang penting, I nak sarapan." Ziyaad memintas.
Sengaja mahu menguji. Mahu Adiya panas hati dan mahu melihat Adiya mengamuk.
Lebih tepat lagi, biar Adiya fed-up dan berhenti kerja. Itu tujuan sebenar dia meminta papanya beri arahan pertukaran Adiya menjadi PAnya. Mahu menyinkirkan Adiya dengan cara paling halus supaya tidak dipersoalkan oleh papanya.
Tapi, melihat tahap kesabaran Adiya, dia pula yang tertekan. Melihat tenangnya Adiya, dia pula yang harus bekerja keras mencari jalan untuk membuatkan hati Adiya porak peranda.
Adiya berlalu untuk keluar dari bilik itu. Tak tahu kenapa, dia rasa macam mahu menangis. Saat beginilah dia teringatkan Akif. Dulu-dulu, yang selalu belikan kuih untuk mereka bersarapan di pejabat tersebut ialah Akif, bukan dia. Dia hanya tukang buat air dan makan saja.
'Akif... kenapa adik you tak sama dengan you?' Hati Adiya berkata-kata sendiri.
Dia tak minta dilayan bagai puteri seperti yang Akif layan dia tapi cukuplah menghormati dia sebagai manusia yang ada hati.
"Adiya!!!"
Tangan Adiya yang mahu menarik tombol pintu terhenti mendengar namanya dijeritkan. Perlahan dia berpaling.
"Start dari hari ni, I nak you diakan minuman I, bukan Mak Cik Sara. Setiap pagi I nak ada kuih atau apa-apa yang boleh dimakan untuk sarapan. Tak boleh tak ada. WAJIB ADA!. Duit claim dengan company."
Adiya terkelip-kelip menerima arahan tersebut. Ziyaad ni memang betul-betul nak menderanya.
"Rumah Encik tak ada maid ya? Atau memang rumah tak ada dapur?" Sengaja Adiya menyinis.
Ziyaad yang buat-buat menatap dokumen di tangan terus tegak badan mendengar Adiya membalas arahannya dengan soalan sarkastik.
"Sebab tu encik nak pindah ke rumah yang I duduk sekarang ni? Sebab rumah encik sekarang ni tak ada dapur?" Adiya menyambung lagi apabila Ziyaad hanya diam memandangnya.
Tiba-tiba Ziyaad bangkit berdiri.
"Esok pagi I pergi sarapan kat rumah tu. You sediakan. Sebab rumah tu ada dapur kan?"
Eh?
Adiya terus kaku. Tak tahu nak balas apa. Rupanya Ziyaad ni ada angin gila yang pantang dicabar.

YOU ARE READING
AKU SANGGUP
RomanceHidup ini ujian. Dan ujian paling hebat buat Adiya adalah ketika kehilangan suami di hari pertama bergelar isteri. Dia redha. Tapi, munculnya Ziyaad dengan tiba-tiba, buat redhanya hanyut. Bagaimana dia boleh lupakan Akif jika Ziyaad sering buatkan...