Bab 1

7.5K 201 4
                                    

ADIYA tenyeh mata yang terasa pedih. Sejak semalam, matanya bekerja tanpa henti. Tak tahu sudah berapa banyak air jernih yang tumpah dari mata itu.

"Jangan tangisi kematian." Pesanan itu memang dia tahu.

Tapi, bagaimana untuk dia tidak menangis jika orang yang dia cinta, lelaki yang baru beberapa jam bergelar suaminya, menghembuskan nafas terakhir di depan mata, di atas ribaannya.

"Akif...." Bibir Adiya tersebut nama itu. Tangan menggenggam tanah kubur yang masih merah. Air matanya jatuh lagi.

"Heh! Perempuan. Kau buat apa kat sini?" Serentak dengan sergahan itu, Adiya pantas terlompat bangun.

Melihat wajah menyinga Datin Marina atau lebih tepat lagi ibu mertuanya, Adiya tahan nafas.

"Kau bunuh anak aku lepas tu kau pura-pura menangis depan kubur dia!" Langkah Datin Marina makin merapat.

Adiya berundur setapak. Hanya itu saja ruang yang ada. Jika dia berundur lagi, pasti kakinya akan terpijak tanah yang menimbus jasad suaminya.

Sejak kelmarin, perkataan pembunuh tak lepas dari bibir Datin Marina. Ya! Mertuanya menganggap dialah penyebab kematian Akif.

"Kau tahu tak, aku tak suka kau sejak kali pertama anak aku bawa kau jumpa aku."

Adiya menunduk. Dia tahu itu. Dia tahu semuanya. Dia memang tahu sejak hari pertama Akif mengambil keputusan untuk memperisterikan dirinya, Datin Marina tak pernah setuju. Makanya, untuk menganggap dia sebagai menantu, adalah sesuatu yang amat mustahil.

Tapi, sebab Akif janji akan pujuk mamanya, Akif janji akan berusaha agar mamanya menerima perkahwinan mereka. Makanya, dia bersetuju untuk menjadi isteri pada Mohamad Akif.

"Kita akan sama-sama usaha dan doa. Abang percaya suatu hari nanti mama akan dapat terima Diya." Teringat bicara Akif ketika dia menyatakan kebimbangan.

"Kau ni, hati busuk!" Kepala Adiya ditujah dengan telunjuk sehingga terteleng.

Sabar... itu yang dia bisikkan ke hati sendiri walau dilayan bagai kucing kurap. Yang penting, dia bukan orangnya yang hati busuk.

'Kalau kita tidak begitu, kenapa kita perlu peduli apa yang orang lain cakap tentang kita? After all, hanya kita yang tahu hati kita.' Itu pesan Akif dan dia ingat sentiasa. Kerana itulah dia buat bodoh apabila banyak mulut melabelkan dia sebagai pisau cukur. Mngikis duit Akif.

"Kau goda anak aku, kau racun dia supaya jangan dengar cakap aku, kau suruh anak aku cepatkan tarikh nikah. Kau ingat bila kau dah jadi isteri dia kau boleh bolot semua harta dia? Dalam mimpi pun kau takkan dapat."

Bagai peluru berpandu, tuduhan demi tuduhan dilemparkan Datin Marina tepat kena ke dada Adiya. Namun, dia tetap diam. Menghormati orang tua, itu yang sedang dia lakukan sekarang. Orang tua ini adalah ibu kepada arwah suaminya dan selagi mampu, dia tak akan berkurang ajar.

"Biarlah. Marah orang tua sekejap saja." Banyak pesanan Akif yang dia pegang.

Walau semua tuduhan itu tak berasas, dia tetap akan diam. Walau bukan dia yang hasut Akif untuk cepatkan tarikh nikah mereka, dia tetap akan kunci mulut.

"Kenapa nak kena cepatkan tarikh nikah?" Teringat yang dia pernah berulang kali tanyakan soalan tersebut pada Akif apabila lelaki itu tiba-tiba mahu tukar tarikh nikah mereka yang sepatutnya telah ditetapkan dua bulan lagi kepada dua hari lepas.

"Sebab abang nak Diya jadi isteri abang."

"Cepat atau lambat, Diya tetap akan jadi isteri abang, kan?"

"Ada bezanya..."

Dan sekarang, dia sudah tahu apa bezanya yang Akif sebut itu. Mungkin saja Akif sudah tahu, tarikh kematiannya sudah hampir. Dan jika dia menentang perubahan tarikh yang Akif buat, pasti saat Akif menghembuskan nafas akhir, dia bukan siapa-siapa di sisi lelaki itu.

"Berhambus kau! Aku tak nak tengok muka kau muncul kat sini lagi." Kasar suara Datin Marina menghalau buat lamunan Adiya terhenti.

Tanpa banyak bicara, Adiya atur langkah pergi. Tapi kakinya terhenti setelah beberapa langkah dia melangkah.

Kepalanya berpaling. Mata jatuh pada tanah kubur milik Akif.

"Abang.. andai Diya tak lagi jejak kaki ke sini melawat abang, bukan bermaksud Diya tak sayangkan abang. Tapi, keadaan tak mengizinkan. Diya semat kasih abang di hati Diya. Diya simpan semua kenangan indah kita di ruang yang paling dalam di hati Diya." Air mata gugur lagi dan Adiya teruskan langkah bersama mata yang kabur.

Adiya teruskan langkah bersama air mata yang kembali gugur menjamah pipi mulusnya.

Memandu dengan kereta pemberian Akif, pulang ke rumah juga pemberian Akif. Tapi, semuanya masih atas nama Akif. Dan dia sudah bersedia pada bila-bila masa jika semua pemberian itu akan ditarik balik.

Berdiri di muka pintu banglo mewah milik Akif, Adiya bagai tidak mampu melangkah masuk. Bagai ternampak Akif berdiri di situ.

"Abang akan datang teman Diya malam ni." Akif berjanji sambil memeluk pinggangnya.

Waktu itu mereka baru beberapa jam sah sebagai suami isteri. Akif berkeras mahu menghantarnya pulang selepas majlis akad nikah di masjid.

"Sebelum balik, abang nak upah paling istimewa."

Tak sempat Adiya bertanya upah apa yang dimahukan sang suami, bibir Akif sudah melekat di bibirnya. Pertama kali, itulah itulah yang terakhir menjadi kenangan paling indah untuk dikenang.

"Jaga diri, jaga rumah. Walau ketika abang tak ada, buat rumah ni macam rumah sendiri. Sebab memang abang beli rumah ni khas untuk Diya dan anak-anak abang nanti." Itulah pesanan terakhir Akif sebelum pergi. Bukan pergi untuk sementara tetapi pergi yang tak kembali lagi.

AKU SANGGUPWhere stories live. Discover now