Part 4

16.6K 698 16
                                    

Zia mengeluh perlahan. Apalah nasib. Nak diajak melawat kubur arwah pun kena tengking. Pantulan cermin bilik mandi diperhati. Terbuntang matanya ketika terlihatkan seketul jerawat di atas dahi kiri! Musuh utama Zia. Mohonlah kecut secepat mungkin.

Pintu bilik mandi dibuka perlahan. Bayang Fareez tidak kelihatan. Biarlah, orang dah tak sudi apa boleh buat.

"Zia, nak pergi mana tu?" soal Ryan ketika Zia berjalan ke kereta.

"Nak ikut boleh?" Ryan menarik sengih. Belum sempat Zia menjawab, Fareez sudah muncul dari belakangnya.

"Kubur. Tak payah ikut. Gedik je." Fareez menjawab bagi pihak Zia. Terus saja tangan Zia ditarik masuk ke sebelah tempat duduk pemandu. Zia hanya menurut.

Ryan menganggukkan kepala. Penjelasan dari Puan Maria dan Encil Farok semalam sudah cukup baginya.

Semasa dalam perjalanan, sesekali Zia menoleh ke arah lelaki itu. Berbaju melayu biru juga nampaknya. Saja nak sedondon dengan ke apa?

Perjalanan yang memakan masa 20 minit itu hanya ditemani celoteh DJ di radio. Tiba saja di kawasan perkuburan, Zia pantas mengambil sebotol air dan kelopak bunga dari tempat duduk belakang. Fareez pula hanya mengikut langkah isterinya. Apabila sampai di satu pusara, langkah mereka terhenti.

Nurul Fatin binti Ismail.

Itulah nama yang tertera di batu nisan tersebut. Zia masih lagi berdiri menahan tangis.

"Jangan menangis dekat sini. Kau juga yang cakap, tak baik ratapi pemergian arwah. Duduk, baca yasin sama-sama dengan aku." Beku suara Fareez kedengaran. Perasaannya di saat ini tidak dapat dikenalpasti oleh Zia.

Kemudian, bacaan al-Fatihah disedekahkan. Air mata yang bergenang sejak tadi mula mengalir. Pilu, itu yang Zia rasakan.

"Fatin..." Tangan Fareez erat memegang batu nisan. Air mata sudah mencurah. Runtuh egonya sebagai lelaki ketika itu.

"Awak, saya rindu awak. Saya rindu dengan suara awak. Mana janji awak nak sentiasa dengan saya? Saya ingat lagi, awak pernah kata yang saya tidur mengalahkan awak. Tapi, sekarang awak yang tidur. Terlalu lama. Bukan mahu menidakkan takdir. Tidak sama sekali, sayang. Semua ini cuma terlalu... terlalu cepat." Rintihannya jelas masuk ke gegendang telinga Zia yang sedari tadi hanya memilih untuk memerhati. Tidak mahu kelihatan lemah, air mata cuba dihapus. Biarlah hanya Fareez yang menangis, bukan dia.

"Diri awak terlalu bernilai untuk saya ganti dengan yang lain." Ayat yang terucap dari bibir Fareez cukup menghiris hati Zia. Gelodak jiwa ditahan sedaya upaya. Sabarlah, duhai hati.

Kecewa.

Pedih.

Rindu.

Sengsara.

Tidak tergambar rasanya perasaan Fareez. Kecewa kerana dia tiada di sisi arwah.

Pedih kerana sedang menerima kenyataan bahawa si pujaan hati telah pergi untuk selamanya.

Rindu kerana tidak sempat untuk bersua muka dan...

Sengsara akibat menanggung kenyataan hidup. Mana mungkin dia mampu hidup bersama Zia sedangkan hatinya masih pada Fatin.

Hati dan perasaan boleh dipupuk, tapi dia sering menidakkan soal itu.

'Kau mampu dan kau boleh selagi kau tak mengalah. Cuba lihat apa yang ada di depan mata sekarang. Zia, dia adalah masa depan kau.' Untuk kesekian kalinya, hati melawan tuannya sendiri.

'Sampai bila mahu menoleh ke belakang?'

Jeda.

Malas dia mahu bertekak dengan hati sendiri. Zia di sebelahnya dikerling. Gadis itu sudah mula berdiri membelakanginya. Pusara Fatin sekali lagi dipandang sebelum diucapkan selamat tinggal.

***

Zia menyediakan air kopi untuk di dalam jag dan secawan air milo untuk suaminya. Memang Fareez jenis tidak sukakan kopi. Pelik dari orang, uniklah kononnya.

"Bah!"

"Mak kau tergolek!" Terhinjut bahu Zia. Kepala ditoleh ke belakang dan wajah Ryan dipandang dengan rasa tidak puas hati.

"Ala, takut ke?" Merah padam muka Ryan menahan tawa. Tanpa rasa bersalah, tangan dibawa menggosok kasar rambut Zia.

Pak!

Lengan Ryan dipukul kuat.

"Ha, dah la! Main-main pula. Habis serabai rambut Zia. Tolong angkat kuih tu." Ryan menurut walaupun terasa mahu bergurau lebih lama bersama kakak iparnya.

Zia melabuhkan duduk di sebelah Fareez selepas selesai menuang air untuk semua ahli keluarga. Lebih kurang 15 minit berdiam diri, Fareez berdehem kuat. Dehemannya berjaya menarik perhatian semua yang di situ.

"Ayah, ibu, sebenarnya Fareez dah bincang dengan Zia. Kami nak pindah." Habis saja ayat, Zia terus memandang laju ke arah Fareez. Sejak bila mereka berbincang pun, Zia tak tahu. Memang terkejutlah kalau suaminya sendiri berkata sebegitu.

Musykil.

"La, kenapa pula? Ibu baru je dapat anak perempuan. Takkan la..." Belum sempat ayat Puan Maria bertemu noktah, Encik Farok mencelah.

"Eh! Awak mengandung ke, sayang? Baby girl?" Telinga ditekapkan pada perut isterinya. Tak perlu tunggu dua atau tiga saat, laju saja tangan Puan Maria menarik dan memulas kuat telinga Encik Farok. Habis merahlah jadinya.

"Ish, abang ni! Anak perempuan tu, maksud saya, Zia tulah. Apa ni, dah tua-tua pun tak malu buat macam tu depan menantu." Puan Maria mula membebel. Encik Farok menggosok kuat telinganya. Cubitan isterinya memang sekucup rasa, pedih bercampur gatal.

Geram dengan cubitan isterinya, terus saja dicium pipi kanan wanita tua itu. Apa lagi, muka memang merah tahap tak boleh bawa bincanglah akibat menanggung malu. Sekali lagi suaminya dicubit tetapi bukan di telinga. Sasarannya sekarang adalah perut.

"Ibu, ayah, nak sweet-sweet janganlah depan kami." Tersengih Fareez apabila melihat gelagat orang tuanya.

"Tulah pasal. Mentang-mentanglah Ryan ni belum ada isteri." protes Ryan bercampur gurauan.

Pak!

"Ha, tu makan dia. Sedap bantal tu? Dah, dah. Sambung bincang. Ha, kamu ni, Fareez. Kenapa pula nak pindah?" soal Puan Maria yang mulai serius. Fareez terdiam memikirkan alasan yang boleh diterima akal. Fikirannya terlalu buntu.

"Ala, ibu ni. Kami nak privacy sikit." Zia bersuara selamba. Fareez mengerling ke arah Zia. Privacy? Apa yang cuba dimaksudkan? Sama ada memang dia mahukan privacy atau sekadar mencipta alasan.

"Privacy apanya lagi? Kamu berdua ni kan, mengada betul." Nampaknya Puan Maria belum puas hati.

"Privacy la, ibu. Sebab Fareez ni malu-malu nak bermanja dengan Zia bila depan orang. Bukan macam ayah, selamba sangat bersweet-sweet depan kami. Kan? Kan?" soal Zia sambil mengangkat kening beberapa kali. Dalam pada dia risau kalau-kalau alasannya tidak diterima baik, sempat juga diusik mertuanya itu. Aura nakal mula menunjukkan belang.

Ryan, Encik Farok dan Fareez sudah gelak terbahak-bahak. Encik Farok mengangkat ibu jari tanda thumbs up.

"Haish,  janganlah malukan ibu!" Puan Maria mula mati kata.

"Benarkan jelah diorang pindah, Mar sayang. Bukannya Fareez tu tak ada rumah. Daripada dibiarkan saja banglo dia tu kan." Encik Farok yang bertindak sebagai penyokong anak menantunya mengenyitkan mata pada Fareez.

Bukan Puan Maria tidak suka mereka berpindah, tetapi kejadian malam semalam cukup mengganggunya.

"Yelah, yelah. Tapi nanti jangan lupa call ibu, tau, Fareez, Zia?" Muka Puan Maria sangat mengharap. Akhirnya, mereka berdua mengangguk setuju.

'Yahooo, rumah baru!' jerit hati Zia ceria.

Forgotten Love ✔Where stories live. Discover now