Forbidden Love - Part 3
Bab 3Hari ini merupakan hari terakhir sesi orientasi bersama pelajar baru. Hubungan aku dan abang Tarmizi pula masih seperti biasa. Aku tidak pula bertanya kepada abang Tarmizi mengenai kejadian yang berlaku di bilik. Lagipun, bukan urusan aku untuk menyiasat hubungan abang Tarmizi dengan lelaki itu. Walaupun hati aku ingin tahu sangat akan hubungan mereka, aku mengambil keputusan untuk menghormati privacy abang Tarmizi.
Selesai sahaja sesi orientasi, aku terus pulang ke bilik. Aku lebih suka menghabiskan masa di dalam bilik. Sejujurnya, aku sedikit risau kerana aku masih belum berjumpa seorang rakan yang betul-betul serasi dengan aku. Memang aku banyak menghabiskan masa bersama Razi dan Khairul Amin sepanjang sesi orientasi, tetapi agak sukar untuk aku betul-betul rapat dengan mereka.
Aku membuka laptop. Sekadar melihat fail-fail lama yang berada di dalam laptop. Aku terdengar tombol pintu dipulas perlahan. Abang Tarmizi masuk ke dalam bilik dan meletakkan begnya di atas katil.
"Macam mana dengan sesi last tadi?" tanya abang Tarmizi sambil membuka butang baju kemejanya.
"Okay jer. Lega sangat dah habis. Tak larat nak bangun pagi-pagi" jawab aku sambil mata aku menjeling melihat abang Tarmizi menanggalkan bajunya. Abang Tarmizi duduk di atas katilnya.
"Fi, abang nak cakap sikit dengan Fi." Abang Tarmizi kelihatan sedikit gugup.
"Pasal apa?" aku bertanya walaupun dalam hati aku dapat mengagak yang abang Tarmizi ingin berbicara mengenai kejadian yang berlaku tempoh hari.
"Pasal malam tu kan, Fi rasa apa yang berlaku?" dia pula bertanya soalan kepada aku.
"Entahlah. Fi tak sedar sangat cuma nampak kawan abang macam marah jer." jawab aku perlahan.
"Oh ya ke.. Kami ada salah faham sikit. Takpelah, nanti abang cerita kat Fi. Abang mengantuklah. Nanti pukul 8 malam, Fi kejut abang ya. Ada meeting"
Aku mengangguk. Abang Tarmizi berpaling ke arah dinding. Aku semakin sangsi dengan hubungan abang Tarmizi dengan lelaki itu. Adakah mereka ada hubungan yang istimewa?
xxx
Aku berjalan menuju ke koperasi untuk membeli sedikit barang keperluan terutamanya maggi. Aku sedikit malas untuk turun ke dewan makan. Jadi maggi adalah bekalan utama untuk perutku.
"Firdaus!!!" aku berpaling. Veronica, gadis dari Sabah melambai-lambai tangannya. "Kamu mahu pergi ke mana?" loghat Sabahnya masih lagi pekat.
"Koperasi.." aku berhenti. Menunggu Veronica yang berjalan ke arah aku.
"Aku mau ke sana jugak"
"Jomlah, kita pergi sekali." Walaupun aku jarang bercakap dengan Veronica semasa sesi orientasi, tetapi aku selesa sangat bergaul dengannya. Veronica merupakan satu-satunya pelajar Sabah yang akan mengambil jurusan perakaunan di sini.
"Bagus jugak" senyum Veronica. Sepanjang perjalanan, kami banyak bertukar-tukar cerita mengenai pengalaman kami sebelum ini. Veronica merupakan seorang gadis yang sangat kelakar. Walaupun kadang-kadang aku tidak faham tutur bicaranya, aku masih terhibur dengan lawak jenakanya. Buat pertama kali, aku berasa tidak sunyi berada di sini.
xxx
Aku meletakkan telefon di sebelah. Jam loceng sudah dikunci. Esok merupakan kelas pertama aku di universiti. Sedikit bimbang. Abang Tarmizi sudah lama berbaring di atas katilnya. Aku menutup lampu.
"Fi nak tidur dah ke?" tanya abang Tarmizi.
"Takdelah mengantuk sangat, cuma takut bangun lewat esok. Ada kelas pukul 9" aku menepuk-nepuk bantal.
"Good luck ya... Boleh tak abang nak ajak sembang kejap?"
"Boleh... Pasal apa?" tanya aku sambil mengiring menghadap abang Tarmizi.
"Fi dah ada awek?"
Aku terkejut dengan soalan abang Tarmizi. "Takde..." jawab aku.
"Ooh.. Pakwe?" lagi terkejut dengan soalan kali ini.
Aku buat-buat tergelak kecil. "Mana ada.."
"Kalau abang cakap, abang ada pakwe. Apa pandangan Fi?" abang Tarmizi bangkit dari tidur dan duduk bersila di atas katilnya.
Aku sedikit terkejut dengan sikap terbuka abang Tarmizi. "Err... err.. Fi rasa itu hak abang.. So Fi tak boleh nak komen lebih-lebih.." aku buntu. Tidak tahu apa yang patut diucapkan.
"Budak lelaki yang datang bilik kita hari tu. Yang macam marah tu. Itulah pakwe abang. Bekas pakwe actually.." jelas abang Tarmizi.
Memang aku sudah mengagak sebelum ini tetapi aku masih lagi terkejut dengan pengakuan abang Tarmizi.
"Kami dah clash. Tetapi dia nak sambung balik hubungan kami. Abang cakap tak nak." sambung abang Tarmizi. Patutlah lelaki itu keluar dari bilik tempoh hari dengan muka yang masam.
"Oooh.. Kenapa clash?" aku cuba memberanikan diri bertanya.
"Entahlah. Abang tak rasa kami ni serasi. Dari asyik bergaduh, lebih baik stop jer." jawab abang Tarmizi. "Fi, jangan cerita kat orang lain pulak. Tak ramai yang tahu pasal abang ni. Abang percaya kat Fi" sambung abang Tarmizi lagi.
"Ishh.. Takdelah. Fi faham. Kalau abang Mizi ada apa-apa masalah, ceritalah kat Fi. Fi tak kisah." aku gembira kerana abang Tarmizi percaya kepada aku.
"Fi pulak macam mana. Suka lelaki or perempuan?" abang Tarmizi merenung aku.
"Errr... Entahlah. Fi pun tak tahu lagi" jawab aku jujur walaupun sedikit teragak-agak pada mulanya.
"Tak apa. Nanti Fi akan figure out dengan sendiri. Abang dulupun ambil masa jugak." jelas abang Tarmizi lagi. Kami terus rancak berbual mengenai diri masing-masing. Aku berasa sungguh dekat dengan abang Tarmizi.
xxx
Aku tergesa-gesa mengambil tuala dan menuju ke bilik air. Aku tidak sedar sudah berapa lama jam loceng di telefonku berbunyi. Salah aku juga yang rancak berbual dengan abang Tarmizi hingga ke lewat malam.
Aku masuk ke bilik air dan terus menggosok gigi. Suasana sungguh sunyi sekali. Pelajar-pelajar lain mungkin sudah lama ke kelas masing-masing. Perutku pula tiba-tiba memulas. Sudahlah lambat, perut pula meragam.
Aku menuju ke dalam tandas yang terdekat. Aku menolak pintu tandas dan
"Hoi!!!" lelaki di dalam tandas itu cuba menahan pintu tandas tetapi gagal ekoran tolakan aku yang agak kuat. Aku tergamam. Sebelah tangannya cuba melindungi kemaluannya dan sebelah lagi cuba menolak balik pintu tandas, Dia sempat merenungku dengan tajam.
Dia adalah Zain aka si sombong...
To be continued