Forbidden Love - Part 13
Bab 13Dari pagi tadi lagi, aku dan Zain tidak banyak bercakap. Sekadar perbualan kecil yang tidak membawa sebarang makna. Mujurlah Veronica dan Alia tidak menyedari ketegangan yang wujud di antara kami berdua. Aku melihat ke belakang. Veronica masih lagi nyenyak tidur manakala Alia pula khusyuk membaca novel yang dibawanya. Sesekali aku menjeling ke arah Zain. Dan bila Zain melihat ke arahku kembali, aku cepat-cepat mengalihkan pandangan.
Apa yang berlaku di antara kami semalam? Aku sendiri masih lagi tertanya-tanya kepada diri sendiri. Apakah itu hanya mimpi? Jika apa yang berlaku di antara kami adalah realiti, maknanya Zain juga memiliki nafsu yang serong seperti aku dan juga Abang Tarmizi. Mana mungkin, lelaki lurus sanggup mencium lelaki lain semata-mata untuk mendiamkan lelaki tersebut. Dan pelbagai lagi spekulasi yang timbul di dalam fikiranku sambil kereta yang dipandu oleh Zain terus memecut laju.
xxx
Aku mengambil beg pakaian milikku dari bonet kereta. Zain pula sedang berbual dengan Alia sambil menyerahkan kunci kereta kepadanya.
"V, aku balik dulu ya. Letihlah." Aku memberitahu Veronica yang sedang mengeluarkan beg dan barang-barang yang dibeli olehnya di Pulau Pangkor.
"Tak balik dengan Zain ke?" tanya Veronica sambil menutup bonet kereta dengan berhati-hati. Aku menggelengkan kepala.
"Tak apalah. Payah nak berangkut dengan motor. Barang aku ni pun banyak jugak. Night.. Jumpa esok." Aku terus berlalu tanpa mengucapkan selamat tinggal kepada Zain dan Alia yang masih lagi rancak berbual.
xxx
Aku berhenti seketika di wakaf disebabkan penat berjalan. Agak jauh juga rupanya jarak di antara kolej pelajar lelaki dan pelajar perempuan. Aku melihat barang-barang yang dibeli olehku sepanjang di sana. Makanan-makanan laut, baju t-shirt dan juga cenderahati-cenderahati lain yang telah dikirim oleh ibuku dan juga Abang Tarmizi.
Sedang aku berehat, Zain tiba lalu memberhentikan motornya di tepi wakaf.
"Kenapa tak tunggu aku?" Muka Zain agak serius. Takkanlah bengang sebab aku balik dulu tadi.
"Tak apalah. Barang aku ni pun macam banyak. Payah pula nak bawa atas motor nanti," jawabku sambil membetulkan plastik-plastik yang dibawa olehku.
"Dah. Tak payah nak mengada. Naik." Zain mengambil plastik-plastik milikku yang baru sahaja diletakkan di kerusi wakaf. Aku hanya diam.
"Cepatlah!!!" Gesa Zain yang sudah menghidupkan motornya. Aku masih lagi tidak berganjak dari kerusi wakaf.
"Takpelah Zain. Kau balik dulu," sambungku semula.
"Kau nak aku cium kau macam semalam ke? Tak payah nak berdrama kat sini. Naik cepat." Aku mengambil beg dan menyandangnya di belakang. Perlahan-lahan aku melangkah ke arah motor Zain.
Sebaik sahaja aku melabuhkan punggung di atas motor, Zain terus membuat pusingan semula.
"Eh.. Nak pergi mana pula ni?" Aku terkejut bila melihat Zain tidak menuju ke arah kolej kediaman.
"Aku lapar. Teman aku makan." Ringkas sahaja jawapan Zain namun sudah cukup untuk membuatkan aku tidak membalas kembali kata-katanya.
xxx
Aku hanya memesan teh tarik bersama air kosong sahaja. Tiba-tiba telefonku berbunyi. Aku terus mengambil telefon dari dalam poket. Tertera mesej dari Abang Tarmizi yang bertanya adakah aku sudah sampai di kolej.
Aku segera membalas mesej dari Abang Tarmizi.
Dah sampai. Pergi makan dulu. Dalam setengah jam, Fi sampai.
