BAB 1

6.2K 110 3
                                    


ISTIHANA menyumbatkan telinganya dengan kapas. Tak mahu mendengar bicara ayah dan ibunya. Asyik-asyik bersembang tentang kakaknya, Ismalina. Menyampah dia mendengarnya. Ismalina itu dapat suami kaya-raya katanya. Tapi , sekali habuk pun tak pernah bawa balik ke rumah. Suaminya berlagak mungkin. Mana nak padan keluarga Ismalina yang tak kaya serupa mereka.

"Kau tak mahu cari laki, Isti. Oh, ibu lupa. Kau tak ada calon pun," katanya. Sipi-sipi saja kata-kata ibunya itu menerobos masuk ke dalam telinganya.

"Haisy, kenapa cakap macam tu dengan Isti. Berapa kali abang nak cakap, layan Isti macam Piah layan Isma," tegur Encik Ishak.

"Huh, nak layan macam Isma macam mana. Dahlah sekolah pun tak pandai. STPM pun cukup-cukup makan. Tu sebabnya jadi kerani saja. Cuba tengok Isma apa yang dia dapat sekarang dengan belajar pandai-pandai," juih Puan Sofiah. Dia cukup tak berkenan dengan kerja anak bongsunya itu. Tak boleh nak dibangga langsung.

"Itu anak kita juga Piah. Layan sama ratalah. Jangan nak buat macam dia tu anak tiri pula," kata Encik Ishak.

"Isti tak kisah ayah," tiba-tiba Istihana menjawab. Dia menarik kapas yang ada dalam telinganya.

"Cuba tengok tu, boleh dia sumbat telinga dia dengan kapas," Tuding Puan Sofiah. Puan Sofiah menggigit bibirnya. Kalaulah, Istihana itu baru berusia 10 tahun atau 12 tahun sudah dipiatnya telinga Istihana. Ini umur dah dekat 30 tahun, takkanlah dia mahu piat telinga lagi.

"Sudahlah tu, Piah. Isti tu tak larat nak dengar awak asyik membebel saja. Dia tu ada hati dan perasaan juga," Encik Ishak menurunkan suhu marah isterinya.

Istihana melangkah keluar dari rumah. Hari cuti memang hari yang memenatkan dengan bebelan ibunya. Sehari tak membebel bukan nama Puan Sofiah. Tak kira tempat nak membebel. Janji dia dapat membebel. Motor Yamaha LC dihidupkan enjinnya.

"Asal aku nak cakap saja, kau keluar," mulut Puan Sofiah masih tak berhenti. Istihana terus pecut motornya.

"Tengok tu dengan pakai seluar serupa jantan," tangannya ditudingkan kepada Istihana yang sudah pergi. Encik Ishak hanya menggelengkan kepalanya. Kedegilan isterinya itu memang tak dapat disangkal lagi.

Motorsikal diletakkan di bawah pokok rambutan. Dia hanya menanti di atas motor.

"Hoi," sergah seseorang. Hampir-hampir Istihana tertonggeng ke tanah. Dia pantas berkalih. Menyengih memandang kawannya itu. Raziana menyengih juga.

"Kau ni balik mengejut," katanya.

"Hmm, aku nak kejutkan kau," ujarnya sambil ketawa kecil. Dia duduk di atas kerusi yang sudah sedia ada di situ. Kerusi dan meja.

"Kau seronok duduk sana?" tanya Istihana.

"Seronoklah. Kuala Lumpur tu," Raziana menyengih.

"Untunglah kau," perlahan Istihana berkata. Dia juga teringin nak berhijrah, tapi dia tetap ada rasa tanggungjawab dengan ibu dan ayahnya. Sebab itulah dia tidak pergi. Mungkin suatu hari nanti.

"Jomlah ikut aku. Cari kerja kat sana," ajak Raziana.

"Hmm, tak sampai seru lagi. Aku nak duduk di kampung dulu," ujarnya meskipun hatinya itu membuak-buak ingin pergi dari kampung. Jauh dari bebelan ibunya.

"Kau anak yang baik, Isti," kata Raziana. Dia sudah faham dengan Istihana.

"Kakak kau macam mana? Aku dengar dia dah kahwin kat sana?" tanya Raziana.

"Hmm, dah setengah tahun pun dia kahwin. Ibu dan ayah aku pun dijemput pergi sehari sebelum dia kahwin. Dia ingat Australia tu dekat macam Kuala Lumpur tu ke. Isma memang tak kenang budi. Kami berhempas pulas kat sini tolong dia belajar, dia buat kami semua macam sampah. Tapi,ibu aku tu Isma tetap anak yang baik," ujarnya. Istihana menunduk. Raziana mengusap belakang kawannya.

"Memanglah anak yang tinggal sekali ni lain layanannya. Kerja kau okey ke kat situ?" tanya Raziana.

"Okey. Aku ni orang tak kacau aku, aku pun tak kacau orang,"

"Kau tak nak kahwin ke. Kalau kahwin kau boleh ikut suami kau pergi jauh-jauh," kata Raziana.

"Malaslah aku. Nanti hal dengan suami pula," Istihana menggelengkan kepalanya. Tak masuk sesakkan kepalanya dengan masalah lelaki. Dia pernah terluka sebab putus cinta. Meratap terlalu lama ketika itu terjadi. Sekarang dia tak mahu lagi meratap kali kedua. Lebih baik sendiri.

"Kau tanya aku, kau dah nak kahwin ke?" tanya Istihana.

"Tak lama lagi. Lagipun umur kita ni patut kahwin dah. Kau tengok kawan-kawan sekolah kita yang dah kahwin, ada anak yang dah sekolah dah. Kita? Masih sendiri." Raziana gelak.

"Aku tunggu kau kahwin dulu, lepas tu baru aku kahwin," Istihana gelak kecil.

"Aku pegang janji kau ," ujar Raziana.

Istihana angkat tangannya. Itu hanya janji kosong dia kepada Raziana. Istihana ketawa kecil. Matahari semakin menghilang. Istihana terus meminta diri. Sekali-sekala bersembang dan bertentang mata dengan Raziana agak menyeronokkan. Selalunya mereka bersembang di aplikasi WhatsApp saja.

Jangan Tak Balas CintakuWhere stories live. Discover now