"CUBA kau pegang Deeja ni sama. Kau buat Deeja ni macam orang asing," kata Puan Sofiah ketika Istihana baru sampai dari tempat kerja.
"Kalau ibu dah tak boleh nak jaga dia, ibu suruh daddy dia datang ambil," balas Istihana. Dia tak boleh dekat dengan Deeja. Itu mengingatkan dia kepada Ismalina. Ingat apa yang Ismalina pinta buat kali terakhir.
Puan Sofiah mengetap giginya. "Kau ni kan, Deeja ni anak Isma. Kalau Han bawa dia pergi macam mana kita nak jumpa dia lagi." kata Puan Sofiah.
"Ibu pun ikut sekalilah," balas Istihana. Puan Sofiah menjegil.
Istihana geram. Dia tak ingin dekat dengan Deeja bukan kerana benci. Tapi, dia memang tak boleh nak dekat dengan budak-budak. Tambahan pula itu anak Ismalina. Ismalina kerap hadir apabila dia melihat Deeja. Itu menyeksakannya.
Istihana terus melangkah masuk ke dalam rumah. Kereta ayahnya tiada. Ah,Istihana tiada masa memikirkannya. Kadang-kadang dia terfikir mahu lari saja dari rumah. Kepalanya berserabut. Dadanya ketat. Macam-macam yang difikirkannya. Telinganya disumbatkan kapas. Dia yakin walaupun pintu bilik tidak dibuka, jika ibunya mahu membebel kepadanya ibunya akan bebel saja. Tak kira dia dengar atau tidak. Lebih baik dia tutup telinganya, kerana nanti kalau terdengar bebelan ibunya dia akan melawan.
Sambil membaca novel, dia boleh berehat. Tak ada gangguan. Istihana memegang botol airnya. Dia mengeluh perlahan. Airnya sudah habis. Lantas dia bingkas membuka pintu bilik dan berjalan terus ke dapur. Sunyi sepi saja. Mungkin ibunya membawa Deeja ke rumah jiran. Air yang berada dalam jag dituang masuk ke dalam botol airnya. Asyik memerhati air yang makin penuh, tidak sedar Istihana dihampiri seseorang.
"Isti..." panggilan itu tidak bersahut. Terlalu asyik. Bahu Istihana dicuit, barulah Istihana bergerak pantas serupa kilat. Istihana mengangkat botolnya. Bukk! Terkena pipi Ilhan. Air membasahi muka Ilhan. Istihana menjerit seketika. Sungguh dia benar-benar terkejut. Ilhan memegang pipinya yang sakit. Makhluk ini datang dari mana? Tadi keretanya pun tak ada.
"Kenapa Isti, Han?" tanya Encik Ishak apabila dia terdengar bunyi riuh.
Istihana menarik kapas yang berada di dalam telinganya. Ilhan menggelengkan kepalanya. Patutlah, Istihana tidak mendengar panggilannya. Dia menyumbat telinganya dengan kapas.
"Ayah ke mana tadi?" tanya Istihana. Tidak peduli dengan Ilhan yang sedang memegang pipiya. Pandai-pandai mencuitnya. Rasalah sendiri.
"Ayah jemput Han kat airport. Kami baru sampai," beritahu Encik Ishak.
"Kenapa tak balik naik kereta?" sinis Istihana bertanya. Susahkan ayahnya saja hendak menjemputnya di bandar.
"Han dari Sepanyol. Sampai KLIA terus datang sini," ujar ayahnya.
Istihana menjuih. Ah, sikit-sikit nak sebut tentang Sepanyol. Tahulah itu tempatnya. Istihana tidak menambah air yang terkeluar dari botol airnya. Dia terus saja melangkah pergi.
"Sakit ke, Han?" tanya Encik Ishak.
"Sakit sikit ayah. Tak sangka dia nak melibas Han dengan botol tu. Hajat nak minum air terus hilang bila kena botol air," Ilhan ketawa kecil.
"Isti tu budak baik, tapi mungkin sikap ibunya yang membuatkan dia bengis tak tentu pasal," Encik Ishak tersenyum. Sikap isterinya membuatkan Istihana tak pernah mahu berbaik dengan orang. Nak melihat Istihana bergelak ketawa dengan gembira pun susah. Sekadar ketawa kecil saja. Bergurau pun tidak.
"Ibu kamu ni mesti bawa Deeja jalan-jalan. Deeja pula asalkan petang saja mulalah buat perangai nak keluar. Nasib baiklah ibu tu suka jalan petang-petang macam ni."
"Kalau Han bawa Deeja pulang ke Pulau Pinang tak apa ke, ayah?" tanya Ilhan. Dia merasa bersalah kerana meletakkan Deeja dibawah jagaan mereka.
"Itu anak kamu, Han. Kami tak boleh nak buat apa jika Han nak bawa balik ke sana." Ujarnya Encik Ishak perlahan. Walaupun, dia tidak bersetuju, dia tak boleh nak menghalangnya.
"Rasa macam saya membebankan orang dalam rumah ni pula," ujar Ilhan.
"Taklah. Deeja tu darah daging kami juga," ujarnya.
Disebabkan darah daging itulah yang membuatkan Ilhan tidak sampai hati membawa Deeja pergi. Deeja itu bersangkut-paut dengannya hanya kerana dia daddy Deeja.
"Ada Deeja riuhlah sikit rumah ni. Nak harapkan Isti bergelak ketawa jauh panggang daripada api," kata Encik Ishak.
"Ayah!" tiba-tiba suara Istihana bergema. Mereka berdua berkalih. Muka masam Istihana dipandang dengan lucu.
"Isti tolong ayah buatkan air. Ayah dengan Han dahaga." Encik Ishak sengih apabila dia mengumpat Istihana, Istihana muncul.
"Sedap ayah umpat Isti, tapi Isti juga yang ayah suruh buatkan air," omelnya. Istihana berjalan menuju ke kabinet dapur.
"Ayah hanya ada Isti seorang saja," Encik Ishak senyum kelat.
Tersentak Istihana. Baru teringat, Ismalina sudah tiada. Allahuakbar, terus rasa bersalah bersarang dalam hatinya.
"Isti pakai cantik-cantik ni nak ke mana?" tanya Encik Ishak apabila Istihana meletakkan cawan di depannya.
"Ayah lupa ke, dalam rumah ni ada lelaki yang bukan mahram Isti." Istihana jeling ke arah Ilhan. Biar Ilhan terasa.
Terus Ilhan rasa bersalah. Ya, dia memang pernah melihat Istihana tanpa tudung di kepala. Tapi, semuanya bukan sengaja. Tadi? Dia sengajakah? Kerana dia tahu Istihana di situ, tapi masih lagi masuk untuk menegur Istihana.

YOU ARE READING
Jangan Tak Balas Cintaku
RomanceSatu... dua... tiga ... empat. Aku kejar kau sampai dapat