Bab 12

3K 109 0
                                    


ILHAN pandang Istihana yang sedang duduk tidak memberi reaksi kepada percakapan ibunya. Ilhan tahu Istihana sumbat kapas lagi ke dalam telinganya. Kalaulah dia tahu apa yang ibunya sedang bicarakan. Mesti Istihana akan mengamuk. Puan Sofiah hampiri Istihana. Kepala Istihana ditolaknya kasar. Barulah Istihana terngadah. Dia memandang ibunya.

Puan Sofiah mengangkat tudung Istihana. Telinga Istihana terus dibeleknya. Kapas yang berada di dalam telinga Istihana terus ditarik keluar. Melempar kapas ke tanah.

"Ibu," Istihana terjerit. Ibunya menjegilkan mata kepadanya.

"Aku cakap kau tutup telinga dengan kapas. Kau memang tak hormatkan aku," sembur Puan Sofiah. Tangannya sudah naik sekali untuk menolak kepala Istihana.

"Piah, jangan ikut hati sangat," Encik Ishak menegur isterinya.

"Dengar sini! Aku nak kau kahwin dengan Han. Lagipun, Deeja dapat mak baru pun daripada keturunan kita juga," kata Puan Sofiah. Tiada ayat pujukan. Terus kepada perkara penting. Istihana? Dia ternganga dengan usul ibunya. Dia pandang ayahnya. Dan mendaratkan matanya ke mata Ilhan.

"Tak naklah! Isti. Ibu ingat Isti ni apa? Boleh pula ibu paksa-paksa. Isti manusia ibu!" Jerit Istihana.

"Aku dengan abah dengar permintaan terakhir Isma kepada kau. Kau sanggup tolak?"

"Isma dah meninggal ibu. Kalaupun kita tak ikut apa yang dia mahu, tak berdosa pun. Ibu nak, orang cakap kubur anak masih merah, ibu kahwinkan pula anak kedua dengan menantu." Istihana tidak puas hati. Dia sudah bangun. Mengharapkan Ilhan juga menolak.

"Habis kau nak tunggu sampai bila. Sampai berkedut baru kau nak kahwin? Kau tu tak ada lelaki yang nak. Kenalah paksa kahwin macam ni," cebik Puan Sofiah.

"Ibu benci sangat dengan Isti, kenapa ibu tak picit aje hidung Isti masa Isti kecik. Senang. Tak payah Isti dapat dosa kerana melawan cakap ibu," Istihana sudah tidak tahan. Terlalu lama dia memendam rasa. Rasa yang mungkin menambah dosanya sebagai seorang anak.

"Aku tak benci kau," suara Puan Sofiah kendur.

"Piah, Isti tak nak, jangan dipaksa lagi," kata Encik Ishak.

"Han dah setuju. Walau bagaimana pun Isti kena kahwin dengan Han juga," Puan Sofiah berkeras.

Istihana terus memaku pandang Ilhan. Ilhan setuju! Ah, dasar lelaki gila seks. Istihana mencebik.

"Kau pun sama gila dengan ibu aku ke!" tuding Istihana kepada Ilhan. Mata Istihana merah kerana marah. Muka tak usah ceritalah macam larva gunung berapi.

"Isti, cuba fikir untuk Deeja seketika. Isma pun tak mahu Deeja dijaga orang lain." Pujuk Ilhan. Dia bersetuju dengan sebabnya yang tersendiri. Biarlah dia tidak cakap apa-apa sekarang.

"Lagi-lagi budak tu. Aku dah cakap aku tak suka budak kecik. Kalau kerana budak tu tak ada maknanya, aku memang tak suka budak. Kalau kau dah gila seks sangat pergilah kahwin dengan siapa-siapa pun. Kau kaya kan, mesti ramai perempuan berebutkan kau. Petik aje jari ramai yang menyendeng," Istihana sudah tidak dapat menahan dirinya yang kepanasan.

"Budak ni..." Puan Sofiah menampar muka Istihana.

Istihana terdiam terkena tamparan ibunya. Pantas kakinya diaturkan ke dalam bilik. Pintu dihempas sekuat mungkin. Sakitnya hati apabila dia ditampar di depan Ilhan. Istihana berterusan menangis.

ILHAN hanya duduk di tepi dinding. Mendengar tangisan Istihana membuatkan dia sayu. Adakah persetujuannya yang membuatkan Istihana sangat-sangat marah. Deeja yang bermain, dibiarkan bermain seorang diri. Maaf, Isti. Saya ada sebab yang tersendiri untuk mengahwini awak. Biarpun orang cakap kubur isteri masih merah. Saya tetap akan kahwin dengan awak.

Kedengaran pintu bilik Istihana dibuka. Bimbang Istihana buat perkara pelik, Ilhan buka pintu biliknya sedikit. Melihat Istihana melilit kepalanya dengan tuala, membuatkan Ilhan mengurut dadanya. Sejak tadi dia bersekang mata kalau-kalau Istihana buat perkara pelik. Bunyi kelekung di dapur membuatkan Ilhan berjalan keluar. Dia melihat Istihana sedang memasukkan air panas ke dalam mangkuk yang berisi maggi. Makan maggi dengan air panas saja. Ilhan menggelengkan kepalanya. Pelik dengan Istihana. Selepas itu dia ternampak Istihana mahu bergerak masuk ke dalam biliknya dengan membawa mangkuk itu membuatkan, Ilhan terburu-buru berlari ke dalam biliknya. Jahatnya dia sebagai bekas abang ipar. Ilhan mengetuk kepalanya sendiri. Ismalina sudah tiada, dia boleh jadi dirinya sendiri.

Jangan Tak Balas CintakuWhere stories live. Discover now