"HAN," panggil Encik Ishak.
Sudah lama dia tidak berbual dengan menantunya ini. Katanya sibuk, sebab itulah dia tak pulang hampir dua bulan. Encik Ishak tidak kisah kerana Ilhan sudah melakukan lebih sebagai seorang menantu. Tak pernah melupakan mereka.
"Ayah, dah lama ayah balik?" tanya Ilhan.
Sungguh dia tidak sedar ayah mentuanya itu ada di tepinya. Dia asyik melayan angin petang.
"Lama dah. Han fikir apa lagi, pasal Isti?" tanya Encik Ishak.
Ilhan senyum sambil memandang Encik Ishak.
"Ayah dah suruh Han ceraikan Isti. Tak tahu apa yang Isti buat sekarang. Ayah memang masih marahkan dia selepas dia lari," kata Encik Ishak.
Sudah berkali-kali dia menyuruh, tapi Ilhan buat tidak tahu.
"Dia baik-baik saja tu. Ayah dah didik dia dengan baik. Mesti dia pandaijaga diri sekarang," kata Ilhan.
Dia masih menyembunyikan hal yang sebenar. Tak mahu memberitahu ayah mentuanya dia terjumpa Istihana. Dia nak selesaikan hal Istihana mengikut kata hatinya. Bukan tidak mencari, tapi tak jumpa. Sekarang dah jumpa, tahulah nasib Istihana selepas ini. Dia tak akan lepaskan Istihana.
"Lari tak ingat suami sendiri. Ayah tak tahu apa yang dia fikirkan," omel Encik Ishak lagi. Memang dia marah dengan Istihana.
"Dia ada sebabnya, ayah. Sama-samalah kita berdoa agar terbuka pintu hatinya nak pulang ke sini." Ilhan senyum memandang Encik Ishak.
"Dulu, marah-marah dia kepada ibunya, tak pernah nak melarikan diri."
"Sebab kena kahwin dengan Han kut, ayah." Ilhan ketawa kecil.
Rasa macam mimpi. Dia berkahwin dengan adik-beradik. Orang tua-tua cakap berganti tikar. Jarak perkawinan itu terlalu dekat. Si kakak meninggal, kahwin dengan si adik pula. Tak sempat melayari bahtera rumah tangga, dia ditinggalkan. Malang sungguh nasibnya.
"Kalau tak nak kahwin dengan Han, kenapa tak lari sebelum kahwin?" kata Encik Ishak.
Kalaulah Istihana ada di depan matanya sekarang, tahulah apa yang dia akan lakukan. Istihana perlu diajar.
"Mungkin dia ada sebabnya yang tersendiri," bela Ilhan lagi.
Marah sungguh Encik Ishak dengan Istihana. Sejak Istihana melarikan diri, Encik Ishak jarang berbicara tentang Istihana. Tapi, hari ini mahu pula dia bersembang. Macam tahu-tahu Ilhan sudah bertentang mata dengan Istihana. Sengaja Ilhan buat tak kenal dengan Istihana. Tidak mahu Istihana melarikan diri lagi.
"Isma dan ibu tak patut suruh kamu berdua berkahwin. Lagipun, Deeja bukannya anak kamu pun. Ayah betul-betul menyesal kerana memujuk Isti kahwin dengan Han. Ayah pun sebenarnya mementingkan diri sendiri. Tak fikir perasaan Isti masa tu," ujarnya. Encik Ishak menunduk.
"Tak apa ayah, Han dah anggap Deeja macam anak sendiri. Pasal saya kena kahwin dengan Isti tu, saya juga setuju ayah. Kalau mahu disalahkan, saya juga bersalah kerana bersetuju," ujarnya sambil senyum.
Mata Ilhan terpanah ke arah Deeja yang sedang berlari ke arahnya. Dia pergi mengaji al-Quran.
"Daddy dah balik," kata Deeja terus memeluk Ilhan.
Ilhan terus membalas pelukan Deeja.
"Daddy sibuk dengan kerja, sayang," beritahu Ilhan seraya menghadiahkan satu kucupan di dahi Deeja.
Deeja senyum lagi.
"Deeja nak naik motor dengan daddy. Jomlah daddy," ajak Deeja terus menarik tangan Ilhan.

YOU ARE READING
Jangan Tak Balas Cintaku
RomanceSatu... dua... tiga ... empat. Aku kejar kau sampai dapat