ILHAN masih di dalam keretanya. Tidak terasa ingin keluar. Matanya memerhati van dan bas yang menghantar pekerja. Matanya liar memerhati kalau-kalau dia ternampak Istihana. Dia tidak tahu di manakah tempat kerja Istihana, memandangkan kilang ini terlalu luas. Dan, dia juga belum memeriksa senarai pekerja-pekerjanya.
Kau siapa Han? Semua itu di hujung jarinya saja. Dan, dia bukannya akan menyerbu Istihana. Biarlah dulu. Biarlah Istihana tidak tahu apa-apa. Ilhan keluar dari kereta setelah kelibat Istihana tiada. Mungkin dia terlepas pandang akan Istihana.
Pertama kali datang kerja setelah menjadi CEO. Hari itu dia cuma datang untuk berkenalan dengan pekerja-pekerjanya saja. Ramai yang ada di tempat kerja masing-masing. Dia hanya mengukirkan senyuman saja ketika membuka pintu pejabatnya.
Warna lilac seluruh biliknya itu mengundang rasa tenang. Ilhan memerhati sekeliling pejabatnya. Sebelum dia masuk ke pejabat, sudah disuruhnya pekerjanya menukar warna dinding.
"Tuan Han." Namanya dipanggil berserta dengan ketukan di pintu.
Ilhan yang masih berdiri tidak jauh dari pintu, membuka pintu. Si pemanggil terkejut dengan pintu yang dibuka dari dalam. Ilhan pandang wanita yang mungkin berada dalam pertengahan 40-an. Tak pernah pula dia nampak wanita ini sebelum ini.
"Ya?" Ilhan pandang wanita tersebut.
Wanita itu kelihatan serba salah.
"Tuan Han, saya Sarina. Setiausaha Tuan Han," beritahunya agak kalut.
"Oh, awak tak datang semalam. Kenapa?" tanya Ilhan. Dia cuma diberitahu setiausahanya bercuti.
"Anak saya masuk hospital. Demam," ujarnya.
"Dah okey?" tanya Ilhan. Mungkin sudah sembuh kerana wanita itu berada di depannya.
"Sudah okey. Mungkin dah boleh discharge tengah hari nanti," beritahunya lagi.
Ilhan berjalan ke mejanya. Dia melabuhkan duduk di atas kerusi.
"Saya boleh akses apa-apa sahaja dalam komputer atau saya kena suruh awak cari?" tanya Ilhan.
"Semuanya ada dalam sistem. Kalau Tuan Han tak mahu buat sendiri, saya boleh tolong print out." Sarina menawarkan pertolongan.
Majikan sebelum ini sudah tahu cara kerjanya. Dah namanya majikan, semua kerja mereka diuruskan oleh pekerja-pekerja macam dia.
"Tak perlu. Saya cuma nak tahu saja."
Ilhan tak mahulah orang tahu apa yang dicarinya.
"Tuan Han ada apa-apa lagi yang mahu saya tolong?" tanya Sarina lagi.
Ini hari pertama berkhidmat dengan majikan baru. Sebelum ini dia berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Rasa nak tergeliat lidah kerana Mr. Josh dahulu tak berapa fasih BI dan ada aksen Jerman.
Hairan sungguh macam manalah boleh tersebar, pemilik kilang ini adalah orang Sepanyol. Padahal tak nampak pun seperti orang Sepanyol. Iras-iras saja. Berdarah Sepanyol mungkin yang membuatkan orang membuat andaian.
"Buat masa sekarang tak ada lagi. Saya masih baru dalam bidang ni. Kalau ada apa-apa saya minta tolong Kak Sarina." Ilhan jongketkan keningnya.
Terus kembang semangkuk apabila Ilhan memanggilnya kakak. Bos besar hormat pekerja, rasa berkobar-kobar nak memulakan kerja.
"Boleh saja Tuan Han. Kalau macam tu saya keluar dulu." Sarina senyum.
Ilhan anggukkan kepalanya. Sarina terus keluar.

YOU ARE READING
Jangan Tak Balas Cintaku
RomansSatu... dua... tiga ... empat. Aku kejar kau sampai dapat