ISTIHANA membuka pintu biliknya selepas ibunya itu mengetuk lagi pintu biliknya. Kali ini entah apa yang dia mahukan. Cadang Istihana mahu berehat di hari cutinya, tapi tetap juga diganggu oleh ibunya. Bukannya Istihana tidak mahu menolong ibunya memasak, tapi ada saja yang tidak kena dengan apa yang dilakukannya. Istihana berdiri di depan ibunya dengan tuala yang menutupi kepalanya.
"Tolong masak nasi lemak, aku nak ikut ayah kau ke masjid," arahnya.
Istihana berjalan ke depan meja makan. Semuanya telah tersedia.
"Aku dah sediakan semuanya. Lagipun, hari ni kau cuti kan." Kata Puan Sofiah. Istihana hanya mengangguk. Lega apabila ibunya menyuruhnya memasak tanpa ibunya berada di dapur. Selepas saja ibunya keluar Istihana memulakan kerjanya. Dia mahu selesaikan semuanya sebelum ibunya itu pulang dari masjid.
Sementara menanti sambalnya masak, Istihana masuk ke dalam bilik air. Mahu menggosok giginya. Selepas selesai dia keluar, dan dia hampir menjerit apabila abang iparnya itu berada di depannya. Muka berkerut ketika itu. Lelaki itu menolak Istihana ke tepi dan dia terus masuk ke dalam bilik air. Istihana juihkan mulutnya.
"Wangi, awak masak apa?" tanya Ilhan selepas keluar dari bilik air. Istihana mengurut dadanya. Lelaki ini gemar membuatkan dia terkejut. Berkali-kali.
"Nasi lemak." Dan cara menjawabnya itu, tidak mahu lagi lelaki itu bertanya. Dia tidak betah duduk berdekatan dengan lelaki selain daripada ayahnya. Meskipun lelaki ini adalah abang iparnya.
"Isma tak pernah cerita dia ada adik perempuan," ujarnya. Lelaki itu memandang Istihana. Ah, Istihana tidak pernah hairan pun.
"Ya ke, saya pun tak pernah cakap saya ada kakak," Istihana berpaling untuk meletakkan sambal yang sudah masak itu ke dalam tudung saji.
"Pelik?" Ilhan menggaru dagunya.
"Tak pelik." Balas Istihana.
Istihana terus berjalan keluar dari dapur. Dia melangkah masuk ke dalam biliknya. Tidak mahu ada di situ lagi.
ISTIHANA sendukkan nasi. Sambal, ikan bilis dan juga telur rebus ke dihiaskan di dalam pinggannya. Dia bercadang mahu makan di luar rumah, memandangkan mereka semua sudah makan. Sejak 10 minit yang lalu suara riuh rendah di dapur sudah tiada. Maknanya mereka semua sudah tiada di dapur. Barulah dia keluar.
"Tengok Mummy Su makan kat luar," Hampir tercekik Istihana apabila nama gelarannya itu diberi Mummy Su. Nak tergelak pun ada. Cepat-cepat Istihana meneguk air di depannya. Kenapalah di mana-mana pun abang iparnya ini ada. Istihana tahu lelaki ini mahu berbaik-baik dengannya yang bergelar adik ipar.
"Peliklah abang. Awak makan seorang diri kat luar," Ilhan duduk di depan Istihana sambil meletakkan si kecil itu di atas meja sambil memegangnya.
"Saya suka makan kat luar," balas Istihana.
"Sebab keluarga abang tak benarkan seluruh ahli keluarga makan sendirian. Makan bersama dapat mengeratkan hubungan sesama ahli keluarga." Ujarnya.
Istihana mahu tercekik ketika itu juga. Macam mana dia mahu mengeratkan hubungan. Ibunya itu yang cuba menjauhkan hubungan mereka. Dia sebagai anak sudah mencuba merapatkan jurang, tapi kalau orang yang dia cuba untuk merapatkan jurang mereka tak mahu apa yang boleh dia katakan lagi.
"Tak semua keluarga sama seperti keluarga awak," Istihana kekok mahu memanggil lelaki itu dengan panggilan abang.
"Apa salahnya jika mencuba ke arah itu," balas Ilhan.
Istihana tak senang duduk. Nasi yang hanya tinggal sedikit itu rasanya tidak dapat dihabiskan. Dia tidak selesa makan sambil bersembang. Dia kerap makan seorang diri, sebab itulah dia sudah sebati dengan kesenyapan.
"Tak nak cuba dukung, Deeja?" tanya Ilhan sambil senyum. Ada lesung pipit yang tidak terlalu dalam di tepi pipi Ilhan. Istihana sempat perhati muka Ilhan.
"Saya dengan budak kecik tak serasi," kata Istihana terus bangun. Nasi yang ada di dalam pinggannya itu sudah tidak dapat dihabiskan.
"Hai, sembang apa?" tanya Ismalina sambil tersenyum kepada mereka berdua. Istihana hanya jongketkan bahunya.
Ismalina mengambil si kecil daripada Ilhan. Dia senyum kepada suaminya itu. Istihana sudah berlalu. Tak ingin kuasa dua duduk berdekatan mereka berdua.
"Han, awak nak jalan-jalan kat kampung tak? Ambil udara segar di kampung," Ismalina senyum lagi. Bila lagi dia mahu membawa Ilhan berjalan-jalan di kampung. Takut tak sempat lagi.
"Boleh juga. Takkanlah nak naik kereta?" tanya Ilhan. Dia tak ingin menaiki keretanya itu. Nanti tak dapat menikmati udara segar.
"Kita pinjam motor Istilah." Kata Ismalina teruja.
"Han pergi minta kunci motor, Isma nak pakaikan baju tebal untuk Deeja." Arah Ismalina. Ismalina menghilang ke dalam biliknya.
Ilhan mengetuk pintu bilik Istihana. Adik iparnya ini terlalu pelik di matanya. Seolah-olah dia tak suka bercampur dengan semua orang. Kali kedua mengetuk pintu, barulah pintu terbuka. Itupun ditutup kembali dengan mengejut. Dia sempat melihat rambut panjang Istihana yang panjang.
"Lain kali kalau ketuk pintu bilik perempuan, berpaling ke belakang selepas mengetuk." Kata Istihana garang. Sakit hatinya apabila dia membuka pintu bilik, Ilhan yang ada di depan matanya. Pintu ditarik kasar selepas itu. Istihana sudah bertudung ketika membuka pintu.
"Nak apa?!" kasar dia bertanya.
"Abang minta maaf. Lain kali abang tak buat dah. Kami nak ronda-ronda kat kampung. Nak kunci motor," Ilhan senyum manis di depan adik iparnya. Istihana mendengus lalu dia masuk semula ke dalam biliknya. Ilhan mencuri pandang juga ke dalam bilik Istihana. Berlatarkan warna lilac. Ada televisyen kecil di ruang yang sempit itu. Patutlah dia selalu di dalam bilik. Ada ruang menonton.
"Nah," Istihana hulurkan kunci motorsikal. Tergantung sekali dengan nama Istihana yang dibuat daripada besi.
"Abang janji akan bawa motor ni elok-elok," kata Ilhan masih lagi berasa bersalah dengan apa yang berlaku tadi.
"Suka hatilah,"
Istihana terus masuk semula ke dalam biliknya. Istihana masih marah. Rasa bersalah makin penuh dalam hati Ilhan. Ilhan tak sangka Istihana amat menjaga auratnya. Ingatkan dia serupa dengan Ismalina yang up to date.
"Kenapa dengan Isti? Dia tak bagi kunci motor ke?" tanya Ismalina.
"Taklah." Jawab Ilhan. Malas memberitahu kepada Ismalina. Nanti banyak hal yang perlu dia jawab kepada Ismalina.
"Hmm, dia memang macam tu kerek sikit dengan orang yang dia baru kenal," balas Ismalina.
Bagi Ilhan, Istihana bukan kerek, tapi Istihana suka menyendiri. Sebab itulah bila ada orang, dia menyembunyikan diri di dalam bilik.
"Ya ke ?" tanya Ilhan.
Ismalina anggukkan kepalanya. Ismalina tahu kenapa Istihana tidak suka melihat mereka berdua. Istihana masih lagi berkecil hati dengan kisah silam. Perbuatannya itu sudah terbalas selepas Firash meninggalkannya. Masa lampau tidak dapat lagi diputarkan semula.
"Apa masalah Isma dan Isti?" tanya Ilhan. Ingin juga dia tahu. Istihana nampak tak gembira langsung dengan kepulangan Ismalina.
"Nantilah, Isma cerita. Sekarang kita jalan-jalan dulu. Deeja sayang nak naik motor?" tanya Ismalina kepada Deeja yang terlompat-lompat di atas seat motorsikal.

YOU ARE READING
Jangan Tak Balas Cintaku
RomanceSatu... dua... tiga ... empat. Aku kejar kau sampai dapat