BAB 2

3.7K 115 3
                                    


"TENGOK tu, pakai baju ketat pulak hari ni," tegur Puan Sofiah di dapur ketika Istihana masuk ke dalam dapur. Dia mahu mengisi air ke dalam botol airnya. Istihana pandang ke badannya. Ketat apa pulak macam ni, baju kurung moden biasalah. Nak kata ketat sangat pun tidak. Dia pun tak selesa nak pakai ketat-ketat. Air dari penapis air masuk ke dalam botol airnya.

"Aku dah pesan banyak kali dah supaya jangan pakai macam tu. Sebab tulah doa kau nak minta kerja lain, tak dapat sebab tak ikut cakap aku," bebelnya lagi.

"Tak ketat mana pun, ibu. Baju kurung moden macam nilah," balas Istihana. Kalau dia mengamuk sekarang pun tak jadi apa juga. Penyudahnya, ibunya akan cakap dia anak derhaka sebab melawan cakapnya.

"Tak ketat kau kata, tu cuba tengok punggung kau tu. Tertonggek-tonggek," juih Puan Sofiah.

"Apa lagi ni, Piah. Pagi-pagi buta dah membebel dekat Isti. Isti cepatlah pergi kerja. Nanti lambat pula." Encik Ishak kasihan dengan anaknya itu. Bebelan isterinya ini semakin melampau. Ada saja yang tak kena dengan Istihana. Padahal jika nak apa-apa, kepada Istihana itulah dia merungut. Dapatlah apa yang dia mahukan. Istihana tak pernah berkira dengan ibunya.

"Isti pergi dulu, ayah," kata Istihana menyalami tangan ayahnya. Ketika mahu menyalami tangan ibunya, Puan Sofiah menggawangkan tangannya tanda dia tidak mahu bersalam.

Malas melayan tingkah ibunya. Jika diikutkan hatinya dia tidak mahu langsung menyalami. Tapi, itu ibunya. Mahu atau tidak dia kena hormat.

Motorsikalnya terus dipecut. Hanya motorsikal ini saja yang mampu dia beli setakat ini. Gajinya bukannya lumayan pun. Menjadi kerani di sebuah kilang, banyak mana sangatlah yang dia harapkan. Asalkan gajinya dibayar dengan mengikut waktunya saja dia sudah bersyukur.

"Lambat hari ni, Isti," tegur pak gad yang bernama Pak Usup.

"Lagi 5 minit Pak Usup," kata Istihana terus berjalan laju ke dalam kilang. Nanti tak pasal-pasal merah pula rekodnya.

Selepas itu, Istihana berjalan ke kantin. Dia mahu membeli kuih untuk dimakan nanti. Malas nak melayan suara-suara garau yang sedang mengusiknya. Operator di sini memang suka mengganggu perempuan. Tak kira siapa. Tambahan pula, dia yang datang dari pejabat. Jarang-jarang mereka nampak muka. Lagilah seronok mengacau.

"Amboi, cik adik manis ni sombongnya,"

Istihana hanya senyum sebelum dia terus keluar dari kantin. Dia melabuhkan duduknya di atas kerusi. Letih apabila terpaksa berkejaran kerana dia terlewat datang sedikit hari ini.

"Hai, berpeluh nampak," tegur kawan sekerjanya, Nivi. Nivi kacukan India dan juga Cina. Muka macam orang India, tetapi berkulit putih serupa Cina. Jadinya, Nivi terlalu cantik, ibarat pelakon Tamil. Ada iras-iras Samantha Ruth Prabu.

"Hmm, berkejar-kejar, Nivi." Ujarnya sambil senyum.

"Kenapa lambat hari ni, kalau tidak kau selalu datang awal?" tanya Nivi.

Istihana jongketkan bahunya. Malas dia mahu bercerita kepada Nivi, meskipun Nivi tahu masalahnya. Nanti, harinya tak ceria pula. Asyik teringatkan apa yang berlaku pagi tadi. Nak datang kerja pun kena bebel dahulu. Tak ada salah apa pun.

"KAU tak mahu balik ke?" tanya Nivi. Hairan kerana Istihana masih lagi menghadap komputer.

"Sikit lagi ni, aku nak habiskan kira-kira barang ni. Esok bolehlah aku relaks sekejap," ujar Istihana.

"Kalau macam tu aku tunggulah," kata Nivi. Kasihan pula jika dia tinggalkan Istihana seorang diri.

"Tak apa Nivi, kau dah janji dengan Surya kan?" Istihana ingat lagi Nivi memberitahunya tadi, dia mahu keluar dengan tunangnya.

"Tak apa dia boleh tunggu. Kau pun bukannnya lama kan," balas Nivi.

Istihana terus shut down komputernya. Tidak mahu Surya ternanti-nantu Nivi. Nivi pula jenis degil sedikit, jika dia kata mahu menunggu, dia akan menunggu.

"Kau ni, siapkanlah," kata Nivi.

"Dah jom kita keluar. Tak nak Surya tunggu kau kat luar tu," ujar Istihana. Dia menarik tangan Nivi untuk keluar dari pejabat.

ISTIHANA tongkatkan motorsikalnya di bawah garaj, di tepi kereta Wira ayahnya. Beg tangan di sandang di bahu. Dia melilau mata melihat sekeliling. Tiada tanda-tanda ibunya ada di rumah. Mungkin ke rumah jiran atau ibu saudaranya.

"Baru sampai, Isti?" tanya Encik Ishak. Di tangannya ada parang.

"Ya, ayah. Ayah dari mana?" tanya Istihana.

"Menebas sikit kat belakang tu. Semak dengan pokok kapal terbang," ujarnya. Peluh yang merenik di dahi membuatkan Istihana mengeluarkan tisu dari dalam begnya. Dihulurkan kepada ayahnya.

"Ibu kamu ni dah nak maghrib pun tak balik lagi. Bersembang apa entah di sana," omel ayahnya.

"Kat mana ayah?" tanya Istihana.

"Rumah Mak Bedah tulah. Kalau ke situ tak ingat dunia nak balik," kata Encik Ishak. Suka sangat bersembang dengan Bedah. Mesti bergosiplah tu.

"Biarlah ayah," kata Istihana. Dia melangkah masuk ke dalam rumah. Terburu-buru dia membuat air kopi untuk ayahnya. Lalu dia keluar membawa dulang kecil.

"Minum ayah," Istihana letakkan dulang di depan ayahnya.

"Isma tak hantar mesej ke?" tanya Encik Ishak.

"Tak pun ayah. Dah lama WhatsApp dia tu tak aktif. Tak tahulah sebab apa," ujar Istihana. Malas dia nak bertanya khabar kakaknya itu. Dia terasa sebab Ismalina bagaikan melupakan mereka sebagai ahli keluarga.

"Ayah pun hairan. Dia dah lama tak telefon ayah. Ibu kamu pun cakap benda yang sama."

"Hmm, pelik pula sebab tak telefon ibu. Isma tu anak kesayangan ibu," kata Istihana.

"Maafkanlah ibu tu, Isti. Dia memang macam tu."

"Entahlah ayah, Isti rasa kasih sayang ibu tu hanya ketika Isti kecil saja. Sekarang kasih sayang dia tu hanya untuk Isma saja. Tak ada rasa sayang , cuma rasa tanggungjawab saja untuk dia," Ujar Istihana. Dia terluka ketika berkata begitu, tapi itulah apa yang ada dalam hatinya.

Encik Ishak diam. Dia tahu anak bongsunya ini amat terluka dengan layanan ibunya sendiri.

Jangan Tak Balas CintakuWhere stories live. Discover now