INI HASLIHA PUNYA PASAL... SEMUA YANG BACA JTBC DAPAT BACA SATU BAB LAGI.....
ISTIHANA menggaru kepalanya yang dilapisi tudung. Macam mana pula dia yang kena pergi? Itu bukan kerjanya. Itu kerja jabatan lain. Tak pernah lagi dalam seumur hidupnya dia kena tunjuk jalan kepada CEO. Ramai saja orang di dalam jabatan sumber manusia. Kenapa pula memilih kerani dari production?
"Orang kat jabatan sana semua ada kerja masing-masing. Sebab tu dia minta tolong kita ni," kata Encik Tang.
"Bukan saya jadi mangsa bodek?" Sinis Istihana memerli.
"Aisy, Tuan Han tu bukannya mahu orang membodek dia," nafi Encik Tang.
"Habis, kita kat sini tak ada kerja?Nanti kalau ada masalah, nak salahkan kita kat sini. Kita dah banyak kali kena, Encik Tang." Istihana mengingatkan.
Bukan sekali atau dua mereka kena. Sudah berkali-kali selama tiga tahun. Line production akan salahkan line clerk. Line clerk nak salahkan siapa? Takkanlah nak salahkan pemandu treler yang tak pernah tengok cip?
"Tak apa. Kali ni dengan CEO. Kalau ada masalah kita salahkan CEO." Encik Tang berseloroh.
Istihana ketawa kecil. Sudah tiga tahun berkerja dengan Encik Tang, Istihana tahu bagaimana Encik Tang membuat kerja. Cumanya, dia agak taat dan patuh kepada majikan. Jarang mengatakan tidak.
"Wah, seronoklah kau boleh keluar dengan CEO," usik Emilirose.
"Kau nak tukar ke?" tanya Istihana bersinar.
Matanya memandang Emilirose. Berharap untuk tukar dengannya.
"Eii, tak berani aku dekat-dekat dengan CEO. Sudahlah aku suka tengok dia, nanti terkantoi pula." Emilirose menolak.
Istihana mendengus geram. Tak suka Ilhan sama seperti tiga tahun lalu. Tak tahu kenapa. Tapi, sekarang kena duduk dekat Ilhan pula.
Istihana hanya memaklumkan kepada Encik Tang dia akan menanti CEO di lobi pejabat. Nanti pandai-pandailah CEO itu mencarinya.
Pagi-pagi lagi dia sudah tercongak di luar kilang. Istihana berpaling apabila pintu kaca itu kedengaran terbuka. Ilhan muncul di depannya. Mengenakan kemeja berwarna merah jambu cair.
Istihana menahan gelak. Pelik benar tengok lelaki mengenakan warna tersebut. Jarang dia lihat lelaki mengenakan baju berwarna pink.
"Awal awak tunggu saya?" tanya Ilhan. Dia renung Istihana atas dan bawah.
Istihana tidak berfesyen kerana dia memakai uniform kerja yang berwarna kelabu. Membezakan orang yang bekerja di dalam production dan jabatan sumber manusia.
"Tak." Sepatahjawapan Istihana.
"Awak tunggu di kereta saya dahulu," arah Ilhan.
Istihana diam tidak terkutik. Dia tidak tahu yang mana satu kereta Ilhan.
"Tak apa, saya tunggu di sini," tegas dia memberitahu.
Ilhan berjalan ke arah 5 orang lelaki yang sedang berdiri di hujung lobi. Selepas itu dia ternampak Ilhan berjalan ke tempat letak kereta. Istihana pantas membuntuti Ilhan.
"Sebenarnya, orang yang lima orang tu yang akan ke sana. Awak tak payah pergi, cuma temankan saya berjumpa dengan klien saja," beritahu Ilhan ketika keretanya sudah jauh dari kawasan kilang.
"Bukan ke Tuan Han ada setiausaha sendiri? Kenapa pula saya yang kena temankan Tuan Han?" Istihana panas.
Tak pasal-pasal dia tinggalkan kerjanya.

YOU ARE READING
Jangan Tak Balas Cintaku
RomanceSatu... dua... tiga ... empat. Aku kejar kau sampai dapat