ILHAN pandang Ismalina yang sedang menyikat rambut di depan cermin. Rambut yang semakin gugur dengan banyak itu dimasukkan ke dalam tong sampah. Ismalina pandang rambut palsunya. Dengan rambut palsu itulah dia menyembunyikan kepalanya yang hampir botak.
"Semakin banyak," Ismalina menyengih. Dia berpaling ke arah Ilhan. Luarannya Ismalina nampak sihat, tapi dalamannya dia semakin tidak sihat.
"Awak kena kuat, Isma." Kata Ilhan memberi kata-kata perangsang. Sejak dulu lagi, dia hanya dapat memberi sokongan.
"Entahlah. Syukur kita sempat balik ke Malaysia." Ismalina tersenyum tawar. Galau hatinya kerana apabila ajal hampir tiba, barulah dia teringat mahu pulang ke sisi keluarganya. Dahulu, ketika sihat dia lupakan keluarganya yang banyak menyokongnya. Dia seperti kacang lupakan kulit.
"Esok saya nak balik ke Pulau Pinang, kalau awak nak ikut pun tak apa. Nanti kita datang lagi ke sini," usul Ilhan. Dia senyum memandang Ismalina.
"Tak apalah, saya nak tinggal di sini," balas Ismalina.
"Nanti Deeja macam mana. Takut dia merengek pula." Ilhan bimbang dengan Deeja yang kerap merengek sejak akhir-akhir ini. Tak tahu kenapa. Padahal sebelum ini Deeja terlalu senang untuk dijaga.
"Tak apa, ibu dan ayah ada. Isti pun ada," ujar Ismalina.
"Isti tak suka budak-budak," kata Ilhan.
"Eh, mana tahu. Han, stalk dia ke?" Ismalina ketawa kecil.
"Dia yang cakap," balas Ilhan.
Ismalina berjalan ke arah katil. Dia duduk di sisi Ilhan. Jemari Ilhan dipegang dan diciumnya. "Han, tanpa awak , saya tak mampu teruskan hidup," ujarnya lagi. Diciumnya lagi jemari Ilhan.
"Dah banyak kali awak beritahu perkara yang sama,"
"Saya tak jemu, Han. Awaklah penyelamat kami berdua. Tanpa awak dah lama saya mati," kata Ismalina. Air mata bergenang di tubir matanya. Ilhan capai dagu Ismalina. Mereka bertentangan mata. Ilhan mendaratkan ciuman di dahi Ismalina.
"Bila nak cakap kepada ibu dan ayah pasal ni?" tanya Ilhan. Jika simpan lama-lama pun nanti mereka akan tahu juga. Bahu Ismalina dipeluknya.
"Tunggu masa yang sesuai. Han kena ada sekali ya." Ismalina mendongak memandang Ilhan.
"Lepas saya balik dari Pulau Pinang nanti, kita beritahu," usul Ilhan.
"Terima kasih, Han,"
"Kenapa suka sangat ucap terima kasih ni. Kita suami isteri, Isma," balas Ilhan.
"Awak tahu kenapa saya selalu ucap terima kasih, Han," Ismalina senyum. Ilhan hanya menggelengkan kepalanya.
ISMALINA pandang Istihana yang sedang membasuh motorsikalnya. Kerusi dibawa mendekat dengan Istihana. Waktu inilah dia boleh bercakap dengan Istihana. Ibunya membawa Deeja ke rumah ibu saudara mereka.
"Isti..." panggil Ismalina. Istihana pantas mendongak. Muka tidak manis ketika memandang Ismalina.
"Aku nak cakap sesuatu dengan kau," kata Ismalina.
"Apanya," acuh tak acuh Istihana bertanya. Dia sebenarnya malas bersembang dengan Ismalina. Setiap kali memandang Ismalina, dia teringatkan Firzan yang meninggalkan dia. Dah lama dia lupakan Firhan, jantan tak guna itu. Menabur janji manis, tapi bila jumpa Ismalina dia lupakan Istihana terus.
"Kau tolong jaga Deeja ya lepas ni," kata Ismalina.
Istihana melempar kain yang dipegang ke dalam timba. Banyak cantik nak suruh aku jaga anak dia.
"Kenapa pula. Kau mintalah ibu jaga. Bayar bulan-bulan dekat dia," balas Istihana.
"Kau dengan ibulah jaga Deeja." Ismalina sengih.
"Deeja tu anak saudara kau juga. Takkanlah kau tak boleh sukakan budak-budak." Ismalina jongketkan keningnya.
"Aku tak suka budak-budak," Istihana ketapkan giginya. Tak terlintas langsung dalam hatinya nak jaga anak Ismalina. Laki dia ada biarlah laki dia jaga.
"Patutlah, Han cakap kau tak suka budak-budak. Kenapa kau tak suka budak-budak Isti?" tanya Ismalina.
Istihana juih mulut. Mengadu pula si suami Ismalina itu.
"Sebab layanan ibu kepada kita berbeza. Sebab tu aku tak suka budak-budak. Zaman tu membuatkan aku sakit hati. Kau tak ingat apa yang kau buat kat aku dengan cinta pertama aku. Itupun buat aku sakit hati juga," ujarnya. Ismalina tersentak. Istihana masih lagi teringat peristiwa lama. Kalau boleh Ismalina ingin putarkan waktu ketika mereka masih belasan tahun itu. Hanya suka-suka mengganggu Fir, tak sangka dia terjatuh cinta dengan Fir. Dan selepas itu, mereka sama-sama melanjutkan pelajaran di Australia.
"Isma," panggil Ilhan. Dia sudah membawa begnya keluar dari rumah. Boot Range Rovernya dibuka. Begnya diletakkan di dalam boot. Ismalina bangun menghampiri suaminya. Lantas dia memeluk lengan Ilhan.
"Hati-hati," bisik Ismalina.
"Awak pun sama. Jangan lupa makan ubat. Dan dua hari lagi saya ke sini semula," Ilhan senyum manis di depan Ismalina. Ismalina menghulurkan tangan kepada Ilhan. Lama dia mencium tangan Ilhan. Ubun-ubun Ismalina diciumnya lama.
"Isti, abang pergi dulu," Ilhan menyapa Istihana. Muka Istihana tidak memandang Ilhan langsung. Asyik dengan membasuh motorsikalnya. Ilhan menanti kalau-kalau Istihana mahu melihatnya.
"Isti kalau aku mati, kau jadi isteri Han ya," kata Ismalina tersenyum. Mereka berdua menanti reaksi Istihana. Istihana lemparkan kain basah itu lalu dilemparkan ke dalam timba semula.
"Kau gila ke apa?" jerkah Istihana. Tak ingin dia nak jadi isteri sesiapa pun. Berkahwin tiada dalam kamus hidupnya. Tak mahu bersangkut-paut dengan mana-mana lelaki pun.
"Aku tak mahu Han kahwin dengan orang lain selain daripada kau," ujar Ismalina.
"Tak ingin aku!" juih Istihana. Gila! Istihana terus masuk ke dalam rumah.

YOU ARE READING
Jangan Tak Balas Cintaku
RomanceSatu... dua... tiga ... empat. Aku kejar kau sampai dapat