Bab 3

3.1K 108 0
                                    

"BANG, Isma nak balik Malaysia," tiba-tiba Puan Sofiah menjerit. Terbatuk Encik Ishak dengan jeritan isterinya. Istihana juga sama. Tak sangka pula Ismalina nak balik. Bertahun-tahun di sana ingatkan dah tak mahu balik. Mahu tinggal di sana terus.

"Bila dia nak sampai?" tanya Encik Ishak.

"Dalam tiga hari lagi dia nak sampai," beritahu Puan Sofiah menyengih hingga ke telinga.

"Kena jemput di airport ke?" tanya Encik Ishak lagi.

"Tak. Katanya dia balik dengan suami dan anak dia. Langsir kena tukar baru. Nak sambut mereka tiga beranak. Kau ada duit, Isti?" tanya Puan Sofiah. Dia merenung Istihana yang diam tidak berkutik. Asyik menghadap makanan saja.

"Nak tukar langsir buat apa. Baru aje tukar raya lepas. Jangan nak buat pasal. Isti tu kalau ada duit pun, itu simpanan dia. Jangan dikacau duit simpanannya,"

"Simpan apanya. Bukannya dia nak buat apa kalau simpan pun,"

"Isti jangan ikut apa yang ibu kamu nak. Buat kerja gila nak tukar langsir. Tukar yang lamalah. Ada berlambak dalam almari tu. Setiap kali raya tukar langsir," Encik Ishak bertegas kali ini. Dia menjegil isterinya. Tetap juga nak menyusahkan Istihana.

"Abang, menantu kita tu orang kaya. Kenalah bagi rumah kita ni nampak cantik walaupun tak sebesar rumah mereka. Saya tak kira nak tukar juga," kata Puan Sofiah masih berdegil.

"Kalau dah meroyan sangat nak tukar langsir apa kata pergi sewa aje rumah besar-besar kat pekan sana tu, buat rumah sendiri," kata Encik Ishak.

"Itu menipu namanya. Tak mahulah saya menipu."

"Kalau macam tu tak payah tukar langsir," kata muktamad daripada Encik Ishak.

Istihana menahan gelak. Ibunya terkena kali ni dengan ayahnya. Ayahnya itu kadang-kadang memang mengikut kata ibunya. Tapi, sekarang kena gaya meranalah ibunya apabila kehendaknya tidak dipenuhi. Istihana memang akan memberi duit untuk iibunya membeli kain langsir baru, tapi ayahnya yang menahan.

"Sukalah tu, kau tak kena bagi duit kat aku," Juih Puan Sofiah.

"Piah, cuba layan Isti macam anak sendiri. Bukannya anak tiri. Kalau anak tiri abang rasa dah lama awak halau dia dari rumah ni," Encik Ishak tidak dapat memikirkan perkara itu. "Nanti depan menantu tu tunjuk perangai elok sikit,"

"Abang apa tahu,"

"Abang tahu semua. Dah 30 tahun lebih abang hidup dengan awak," pintas Encik Ishak. Mulut Puan Sofiah terkumat-kamit mengata suaminya. Entah apa yang dikatanya.

"Tunjuk perangai elok sikit depan abang ipar kau tu nanti," Puan Sofiah memberi amaran. Aik, dia terkena juga. Istihana bangun. Malas dia melayan ibunya itu. Biarlah ibu bergembira kerana anak kesayangannya mahu pulang.

"ISMA nak balik?" ulang Raziana sekali lagi. Ismalina itu selepas dapat belajar ke luar negara terus lupakan Malaysia. Tak pernah nak pulang ke tanah air sendiri. Tiba-tiba nak pulang ke sini.

"Yalah, kau ni banyak tanya pulak,"

"Aku hairan sebab apa dia nak balik. Kan dia seronok tinggal kat sana,"

"Dia rindulah tu. Lagipun mungkin dia nak bawa balik anak dia untuk ibu aku tengok," ujar Istihana. Istihana pandang ke depan. Bas yang dinanti Raziana sudah sampai.

"Jomlah ikut aku ke Pulau Pinang. Kerja sambil belajar part time," ajak Raziana berkali-kali.

"Hmm, tengoklah dulu," Istihana masih menolak. Kasihan nak tinggalkan orang tuanya.

"Aku ada kalau kau nak datang sana," kata Raziana sambil memeluk tubuh Istihana.

"Dahlah,bas kau nak jalan dah tu," Istihana muncungkan mulut ke arah bas Raziana. Sudah ada yang beratur menunjukkan tiket masing-masing.

"Kita jumpa lagi ya," kata Raziana melambaikan tangannya. Istihana anggukkan kepalanya sambil melambai juga.

Sehingga bas itu hilang dia menanti. Satu-satunya sahabat sejak sekolah. Sejak dulu lagi Istihana cukup susah nak mencari sahabat. Kalau boleh dalam hidupnya dia hanya seorang saja yang hadir dalam hidupnya. Sahabat, kekasih dan suami.

Sahabat itu Raziana, kekasih itu sudah tiada apabila ditinggalkan dan suami juga mungkin tiada kerana kekasih itu sudah pergi meninggalkannya. Lelaki yang ditemui secara kebetulan ketika dia bercuti dengan Nivi di Pulau Langkawi. Dia tak mahu ingat lagi dengan lelaki yang main-mainkan cintanya. Tapi, hati perempuannya tetap ingat tentang lelaki itu. Sehingga sekarang.

Jangan Tak Balas CintakuWhere stories live. Discover now