ISTIHANA hanya mendengar saja suara Deeja bergelak ketawa dengan daddynya. Sejak tadi asyik mengagah Deeja saja. Memang lelaki yang baik jika dapat bermain dengan anak sendiri sampai begitu sekali. Dia pula, tak boleh nak jadi ibu yang baik barangkali kerana dia tidak sukakan budak-budak. Merimaskan apabila budak-budak asyik merengek. Telefon di atas tilam berbunyi.
"Nivi," panggil Istihana. Nivi mengajaknya menonton wayang. Daripada jemu tak buat apa lebih baik dia keluar. Istihana terus saja menukar pakaian. Mencalit sedikit mekap nipis ke mukanya. Dan juga disapu gincu berwarna burgundy ke bibirnya. Tudung pula dia hanya mengenakan tudung bawal.
Berdiri di ruang depan rumahnya. Sesekali melihat telefonnya. Tidak sedar tingkahnya itu sedang diperhati Ilhan. Istihana mendongak dan seraya mengalihkan pandangannya. Matanya bertembung dengan mata abang iparnya. Sekali lagi Istihana terkejut. Tak sedar abang iparnya itu masih ada di situ. Tak sedar juga sebenarnya Ilhan sedang memerhati dia sejak tadi. Ketika itu juga ibu dan ayahnya pulang dari kebun. Istihana hanya memandang saja.
"Hah, nak ke mana pula tu?" tanya Puan Sofiah sinis. Asal cuti saja nak keluar berjalan. Desis hati Puan Sofiah. Matanya itu ke atas dan bawah memandang tubuh Istihana.
"Nak keluar dengan Nivi," balas Istihana. Berdoa agar ibunya itu tidak membebel. Tidak di depan abang iparnya yang baru 2 hari di sini.
"Asyik-asyik nak keluar dengan bangsa India tu. Kau tak ada kawan lain ke?" tanya Puan Sofiah. Ya Allah dah mula. Istihana gigit bibir bawahnya.
"Nivi tu baik, ibu." Bela Istihana. Tak salah berkawan dengan bangsa lain pun, asalkan hati baik. Tak semua orang Melayu itu baik. Senang kata tak semua manusia sempurna. Allah dah jadikan manusia ini tak sempurna. Kalau sempurna dalam semua hal, lain hal pula yang terjadi.
"Baik-baik pun kalau dah bangsa..."
"Piah, jangan kata macam tu. Semua manusia sama saja," sampuk Encik Ishak.
Disebabkan inilah dia tak pernah ajak Nivi datang ke rumahnya. Jika datang pun hanya menjemputnya dan tidak bertemu dengan ibunya. Tak mahu Nivi prejudis terhadap ibunya.
"Berkawan dengan si Nivilah, asyik pakai seluar saja. Aku menyampah tengok kau pakai seluar. Serupa jantan," kata Puan Sofiah lagi. Mulutnya dijuihkan. Astagfirullah al-Azim. Tak kira tempat ibunya mahu membebel kepadanya. Ismalina yang rambutnya macam air karat itu tidak pula ditegurnya. Tapi, dia yang sentiasa menutup kepalanya, dicaci. Kereta Surya yang muncul pula. Berharap agar Nivi tidak keluar dari kereta.
Nivi tidak keluar dari kereta, tapi Surya yang keluar. Lagilah muka ibunya itu macam udang kena bakar. Terherot-herot bibirnya itu.
"Pak cik," tegur Surya. Dia menyalami Encik Ishak.
"Dari mana ni?" tanya Encik Ishak, dia kenal dengan Surya. Kadang-kadang Surya dan Nivi selalu juga datang menjemput Istihana.
"Saya dari rumah nenek saya. Kebetulan saya kat kawasan ni, Nivi suruh jemput Isti dulu," beritahu Surya.
Istihana terus sarung sandalnya. Tak mahu ibunya kata apa-apa kepada Surya.
"Surya cepatlah," ajak Istihana yang sudah berada di kereta Surya. Surya memohon diri. Ketiga-tiga mata itu memandang kereta Surya yang sudah menjauh.
"Eh, cucu nenek buat apa kat sini?" tanya Puan Sofiah terus mukanya berubah manis apabila berhadapan dengan orang lain selain Istihana. Deeja bertukar tangan. Dan Puan Sofiah terus masuk membawa Deeja.
"Tak cuba ronda-ronda kat kampung, Han?" tanya Encik Ishak kepada menantunya. Dia senyum. Malu kepada menantunya yang mendengar bebelan isterinya kepada Istihana.
"Dah pergi tadi," Ilhan senyum.
"Surya atau Nivi kekasih Isti, ayah?" tanya Ilhan. Tak sangka pula Istihana berkasih dengan orang India. Tak dinafikan Surya itu kacak macam pelakon Tamil. Encik Ishak ketawa kecil.
"Surya dan Nivi tu bertunang. Nivi tu perempuan. Surya yang tadilah. Mereka tu kawan baik," beritahu Encik Ishak.
"Ibu marah Isti berkawan dengan Nivi, saya ingatkan Nivi itu kekasih Isti," Ilhan sengih.
"Kalau Han tengok Nivi, tak sangka dia berketurunan Cina dan India. Boleh dikatakan macam pelakon Tamil . Nama apa entah. Hari tu Isti ada cakap. Samantha apa entah. Lupa ayah," Encik Ishak menggaru kepalanya.
"Ya ke ayah," ternaik kening Ilhan.
"Ya. Hah, ayah ingat dah. Samantha Ruth," Encik Ishak ketawa. Ilhan juga ikut ketawa. Ilhan ingin bertanya kepada ayahnya, kenapa layanan ibu mertuanya itu tak sama kepada Istihana. Sudah dua kali dia mendengar bebelan kepada Istihana. Semuanya tak kena dengan Istihana. Hairan sungguh. Bertanya kepada Ismalina, katanya Istihana memang selalu kena bebel dengan ibunya. Tak kira masa. Sejak dia tak lulus STPM dengan baik.
Kalaupun marahkan pasal STPM sudah lama masa berlalu. Sudah hampir 10 tahun. Masih lagi begitu. Istihana bukannya budak kecil lagi. Dah boleh jadi mak budak pun. Rasanya bebelan itu tak lagi perlu dalam hidup Istihana.
"Hmm, ayah minta maaflah sebab Han terdengar juga bebelan ibu tu. Degil tak mahu ikut cakap ayah langsung," kata Encik Ishak. Segan juga melihat menantunya itu ada sekali, tetapi isterinya buat-buat tak nampak saja. Ilhan hanya boleh senyum saja. Patutlah Istihana lebih senang duduk di dalam bilik sahaja.
"Isti tu budak baik, adakalanya dia melawan juga cakap ibunya." Cerita Encik Ishak. "Isma beritahu ayah, Han nak balik ke Pulau Pinang esok pagi?"
"Ya , ayah. Saya tak balik ke rumah keluarga saya lagi. Kami terus balik ke sini dari Sepanyol." Ujarnya. Ilhan senyum. Sengaja datang ke sini dulu. Nanti payah pula bila singgah di sana. Semua orang tidak tahu apa yang terjadi dengan hidupnya.
"Sebelum ni bukankah, Isma kerja di Australia?" Encik Ishak hairan. Ismalina banyak berahsia. Tiba-tiba saja mahu balik dengan suami dan anak itu satu hal.
"Lepas kahwin , Isma saya bawa ke Sepanyol." Ilhan senyum. Banyak perkara yang berlaku sebenarnya. Tapi, jika Ismalina tidak membuka mulut, Ilhan juga akan zipkan mulutnya.
"Lama tinggal di sana?" tanya Encik Ishak. Dia belum sempat bertanya apa-apa kepada mereka berdua. Lagipun, mereka berdua tidak bercerita kepada orang di dalam rumah. Isterinya itu tak ambil tahu, asalkan Ismalina balik,itu sudah mencukupi.
"Saya memang berulang-alik ke sana." Beritahu Ilhan.
Encik Ishak ingin bertanya lagi. Tapi, dia merasakan tidak patut pula. Tidak tahu sekaya manakah menantunya ini. Dengan kereta yang dipandunya itu dia tahu kereta itu mahal. Biarlah asalkan Ismalina bahagia.
"Han jumpa Isma di Australia. Lepas kahwin baru kami balik ke Sepanyol. Tahun ni barulah kami berpeluang nak balik ke sini," cerita Ilhan.
"Ayah bersyukur mahu juga Isma pulang ke sini," katanya.
"Isma nak pulang awal lagi, ayah. Han yang tak sempat. Han kerja dengan orang kat Sepanyol tu. Syarikat hartanah," beritahu Ilhan.
"Tak apalah. Han, Isma dan Deeja dah ada kat sini. Alhamdulillah,"
YOU ARE READING
Jangan Tak Balas Cintaku
عاطفيةSatu... dua... tiga ... empat. Aku kejar kau sampai dapat