BAB 10

3K 105 0
                                    


SUARA ibunya menangis mengejutkan Istihana. Dia melompat bangun dari katil. Terlupa bahawa dia tidak bertudung, dia berlari ke bilik sebelah. Muka Ismalina sudah ditutup sepenuhnya. Istihana jatuh terduduk di depan katil. 'Aku tak akan cakap dah'. Kata-kata Ismalina pagi tadi terngiang-ngiang di telinganya. Istihana mahu menangis, tapi setitik pun airmatanya tidak keluar. Segala-galanya menyesakkan dadanya. Terlalu ketat dadanya. Istihana menumbuk dadanya. Suaranya untuk menangis tetap tiada.

Dia berlari keluar. Melalui pintu dapur Istihana berlari ke belakang rumah. Di belakang rumah itulah dia melepaskan tangisnya. Serasa mahu pengsan mengetahui Ismalina sudah tiada. Lama Istihana berada di situ. Tidak sedar langsung orang sudah ramai di rumah mereka. Masih terduduk di situ.

"Isti," panggil Ilhan. Sejak dua jam yang lalu Ilhan tahu Istihana tetap di situ. Walaupun menguruskan apa yang orang kampung mahu untuk jenazah Ismalina, Ilhan tetap tidak melepaskan pandang ke arah Istihana. Istihana tidak berganjak dari situ sejak tahu Ismalina sudah meninggal.

"Isti," panggil Ilhan lagi. Istihana tidak terkutik.

"Isti," kali ini Ilhan pegang bahu Istihana. Barulah Istihana bergerak. Dia melarikan bahunya. Istihana tahu dia ada di sini, tapi Istihana tidak menyahut panggilannya.

"Nah, tudung. Dah ramai orang yang datang. Pergilah tukar baju," Ilhan hulurkan tudung kepada Istihana. Istihana tidak ambil tudung tersebut. Sebaliknya dia diam lagi. Ilhan letakkan tudung di atas riba Istihana.

"Ismalina pergi dengan tenang, semalam," beritahu Ilhan. Dia tunggu lagi di situ. Istihana tidak pakai lagi tudung tersebut.

"Isti!" keras sikit panggilan Ilhan. Istihana mendongak. Matanya yang berkaca bertembung dengan mata jernih Ilhan.

"Pakai tudung dan masuk tukar baju," kata Ilhan lebih lembut sedikit. Istahana bagaikan baru tersedar dari mimpi. Tudung di atas ribanya diambil dan disarungkan ke kepalanya. Istihana bangun dan melangkah ke dalam rumah. Ilhan pandang Istihana sehingga hilang dari pandangannya.

SEJAK pulang dari kubur, Istihana tak bercakap langsung. Bebelan ibunya itu tidak dipeduli langsung. Bebelan tentang apa pun dia tidak tahu. Istihana duduk di atas kerusi, memerhati ayahnya yang sedang melayan Deeja. Sesekali Deeja melambaikan tangannya ke arah Istihana yang berada tidak jauh dari situ.

"Ayah, esok Han kena balik Pulau Pinang. Han terpaksa tinggalkan Deeja di sini. Tak apa ke?" tanya Ilhan. Dia cukup rasa bersalah kerana terpaksa meninggalkan Deeja. Tapi, terpaksa.

"Deeja ni cucu ayah, Han. Kenapa pula tak boleh duduk sini." Kata Encik Ishak. Senyum memandang Ilhan.

"Terima kasih ayah," ucap Ilhan.

Istihana hanya mendengar saja perbualan antara ayahnya dan Ilhan. Lelaki macam tulah, isteri mati terus tak fikir apa-apa lagi. Kalau perempuan, anak yang didahulukan selepas suami mati. Istihana mengejek dalam hati. Dia benci dengan lelaki yang melepaskan tangan selepas kematian isteri.

"Ayah, malam ni untuk tahlil kita oder saja ya. Han nak pergi cari katering," beritahu Ilhan.

"Eh, tak payahlah. Ayah dah oder dekat Mak Cik Upah tu. Dia memang ambil oder bila-bila masa. Lagipun ibu kamu tu, masih lagi bersedih. Rasanya tak daya nak buat apa-apa petang ni," ujar Encik Ishak.

"Kalau macam tu tak apalah. Nanti kita pergi ambil," balas Ilhan. Encik Ishak hanya mengangguk.

Majlis tahlil malam itu sudah selesai. Ilhan duduk di luar rumah sambil memerhati bintang, Damailah kau di sana Isma. Penderitaan kau sejak dulu, sudah berakhir, Ilhan tahu dia bersalah kerana tidak memberitahu lelaki itu akan kematian Ismalina, tapi mahukah dia tahu. Ataupun, dia sudah tak hairan langsung dengan Ismalina.

Ilhan menggelengkan kepalanya. Berat sebenarnya apa yang sedang dipikulnya. Ismalina itu isterinya, tapi isteri atas dasar simpati dengan nasib Ismalina.

"Han, aku dah tak tahu nak buat apa lagi," kata Ismalina suatu hari. Ketika itu dia berada di Sepanyol. Sedang melawat ladang buah zaiton. Ladang yang bakal dijual. Ismalina menangis teresak-esak. Sudahnya, hari itu dia ambil tiket dan berlepas ke Australia.

"Han," Ilhan masih diam. Kenangan lampau membuatkan dia kaku di situ.

"Han," kuat suara itu memanggilnya. Ilhan terngadah. Kenangan dengan Ismalina terus hilang. Ilhan menoleh. Ibu mentuanya duduk di depannya.

"Ibu nak berterima kasih kerana benarkan Deeja berada di sini," ucapnya.

"Sama-sama ibu. Han ada hal penting yang mahu diselesaikan di sana. Han tak janji akan balik bila, tapi Han akan pulang juga ke sini," beritahunya.

"Tak apa, ibu faham. Cukuplah Deeja ada di sini. Pengubat rindu kepada arwah," ujarnya lagi. Ilhan senyum kepada ibu mentuanya. Ilhan pandang Deeja yang tidak tahu apa-apa. Syukurlah Deeja tidak banyak meragam kerana ketika di Sepanyol pun Deeja tinggal dengan babysitter. Mereka berdua asyik berulang-alik ke hospital. Dia sudah biasa tanpa mummynya.

Jangan Tak Balas CintakuWhere stories live. Discover now