ISTIHANA menyanyi kecil ketika melangkah masuk ke dalam pejabat. Nivi sudah lama duduk di tempatnya.
"Isti, minggu depan kita tengok filam Tamil lagi ya," ajak Nivi.
"Aku kena tengok jadual kat rumah dulu," balas Istihana.
"Aku berdoa agar kau tak ada kerja," Nivi tergelak-gelak.
Istihana ketawa kecil dengan telatah Nivi. Disebabkan berkawan baik dengan Nivi dan Surya, dia sudah melekat dengan filem-filem Tamil. Tambahan pula filem aksi. Hero yang paling dia suka adalah Vijay dan Surya. Sebab itulah Surya selalu saja perasan dia hero Tamil. Sebab Nivi pun sukakan pelakon Surya.
"Lama ke kakak kau tinggal dengan kau?" tanya Nivi.
"Hmm, aku tak tanya lama mana dia nak tinggal dengan kami. Malaslah aku," ujar Istihana.
"Ayoyo, kau nilah. Itu kakak kau kut. Kenapa kau buat tak tahu pula?" tanya Nivi. Nivi tepuk dahinya.
"Aku dengan dia tak pernah berbaik sejak kecil," kata Istihana.
Nivi menggelengkan kepalanya.
Nak baik macam mana apabila ibu sendiri yang membezakan mereka berdua.
"Surya cakap dia nampak suami kakak kau. Handsome. Macam orang putih," kata Nivi.
"Hmm, dah memang kacukan pun." Ujar Istihana.
"Untungnya kakak kau. Anak dia macam orang putih," kata Nivi.
"Nivi, kau tu Cina plus India. Kau tak rasa kau pun untung. Lainlah aku ni Melayu tulen," ujar Istihana. Nivi tergelak kecil.
"Kacukan mat salih selalu cantik dan handsome." Balas Nivi masih tak puas lagi memuji kacukan mat salih. Istihana menggelengkan kepalanya. Nivi berlalu ke mejanya apabila ramai rakan-rakan sekerja yang lain mula melakukan kerja masing-masing.
SELEPAS seminggu, barulah Ilhan kembali ke kampung. Banyak sangat yang dia mahu uruskan. Kononnya nak buka syarikat hartanah yang kecil-kecilan. Walaupun nak buka syarikat kecil, jalannya tak mudah.
Melihat Ismalina yang nampak gembira bersama keluarganya, dia lega. Dia cuma menjalankan tugasnya sebagai suami untuk menggembirakan Ismalina. Ilhan hampiri Ismalina yang sedang mengagah Deeja yang berada di dalam strollernya.
"Semua orang kat rumah sihat ke?" tanya Ismalina. Dia senyum. Walaupun dia teringin mahu bertemu dengan keluarga mentuanya, tapi sayang dia tidak dapat bertemu. Perkahwinan mereka adalah perkahwinan rahsia. Tiada siapa pun tahu.
"Sihat," Ilhan senyum jua.
"Awak okey selama saya tak ada?" tanya Ilhan. Dia bimbang juga. Dalam telefon, Ismalina mengatakan okey, tapi hakikatnya dia tidak tahu. Kepala Ismalina diusap-usapnya.
"Okeylah," kata Ismalina. Dia senyum. Ah, hanya dia yang tahu betapa dia tidak dapat menahan sakit lagi. Cuba untuk kuat demi keluarganya yang tidak tahu apa-apa. Ismalina tidak sanggup untuk memberitahu hal sebenarnya.
"Kalau tak okey cakaplah, jangan sembunyi," ujar Ilhan.
"Ya, saya akan cakap," balas Ismalina.
Istihana keluar dari rumah. Dia duduk di kerusi luar. Memandang pasangan suami dan isteri yang sedang berbual di kerusi simen di halaman rumah. Tidak dinafikan Ismalina dan Ilhan nampak sepadan. Macam Fazura dan Fattah Amin. Istihana ketawa kecil. Sampai ke situ dia terfikir. Sekarang orang sibuk tentang perkahwinan mereka yang nampak simple and humble. Sampaikan dia juga selalu mengulang menonton majlis kahwin mereka di Youtube.
"Dah lama balik kerja?" tanya Ilhan ketika dia melangkah masuk sambil mendukung Deeja. Ilhan pandang adik iparnya itu. Mata yang dihiasi alis lentik itu dia pandang lunak.
"Hmm," Istihana menggumam. Malas nak menjawab. Memandang pun tidak ke arah Ilhan.
"Tak payah tanya dia, Han. Mulut dia bukannya ada. Itupun nasib baik dia tak sumbat kapas dalam telinga dia. Kalau tak, apa satu pun kita cakap tak masuk dalam kepala dia." Kata Puan Sofiah yang muncul entah dari mana. Tersentak Istihana. Sabarlah Isti. Itu ibu kau. Istihana mententeramkan diri sendiri. Lagipun, abang iparnya ini ada sekali. Biarlah dia yang jahat asalkan ibunya itu tidak dilabel jahat.
"Ibu, Isti tak sempat nak menjawab lagi, ibu dah cakap dia macam tu," bela Ismalina. Kasihan melihat Istihana. Selepas pulang ke sini barulah dia sedar perbezaan kasih sayang yang dihulurkan oleh ibunya kepada mereka berdua.
"Belalah dia," Juih Puan Sofiah.
Istihana bangun dan dia menyarungkan seliparnya. Kalau dia kat situ lagi tentu mendidih lagi telinganya. Dengan hentakkan kaki yang kuat Istihana berjalan ke kerusi simen tadi.
"Tengok tu dia melawan dalam diam," Puan Sofiah mahu berjalan ke arah Istihana.
"Ibu sudahlah tu," kata Ismalina. Kasihan benar dia dengan Istihana. Dulu memang dia suka jika ibunya marahkan Istihana. Tapi, sekarang tidak lagi.
"Kau jangan halang aku! Isma!" Puan Sofiah merungkaikan pegangan tangan Ismalina dan membuatkan Ismalina tidak dapat mengimbangi dirinya.
"Ibu..." panggil Ismalina.
Perlahan-lahan Ismalina jatuh tapi sempat dipegang Ilhan. Puan Sofiah memandang ke belakang. Melihat Ismalina yang dipegang Ilhan. Istihana juga terkejut melihat Ismalina yang tiba-tiba jatuh.
"Kenapa dengan Isma?" tanya Puan Sofiah terkejut apabila melihat muka Ismalina pucat lesi. Ismalina pejamkan matanya. Sakit sangat di kepalanya. Dia sudah tak kuat menahan kesakitan.
"Ibu pegang Deeja. Han bawa Isma masuk bilik,"
Ilhan cempung tubuh Ismalina masuk ke dalam bilik. Ubat-ubat Ismalina dalam laci diambil. Lalu meletakkannya dia atas meja kecil. Tidak peduli lagi dengan pandangan Puan Sofiah dan Istihana.
"Isti, tolong bawa air untuk Isma." Arah Ilhan sambil matanya memandang Istihana. Istihana menghilang ke dapur. Terkejut melihat ubat-ubatan yang berada di depannya tadi.
Mungkin sudah sampai masanya semua ahli keluarga ini tahu apa sebenarnya yang terjadi dengan Ismalina. Dia yakin semua ahli keluarganya tertanya-tanya, Ismalina yang susut beratnya. Tapi, mungkin tidak terluah.
"Makan ubat dan rehat," pujuk Ilhan.
"Kenapa dengan Isma, Han?" tanya Puan Sofiah. Dia duduk di birai katil. Matanya tak lepas memandang Ismalina yang dibantu Ilhan makan ubatnya. Ismalina telan ubat-ubat itu.
Dia nampak Ismalina yang nampak berbeza, tapi dia tak jadi bertanya. Dia hanya melihat saja Ismalina yang berubah.
"Isma sakit ibu. Dah lama sebenarnya. Sejak bertahun yang lalu. Kanser otak. Semangat Isma yang mahu pulang membuatkan dia terus bertahan. Saya sudah mencuba pelbagai cara, tapi sampai di sini saja. Isma tak mahu terima rawatan lagi. Dan dia tak mahu berada di hospital lagi," cerita Ilhan. Puan Sofiah meraung dan tiba-tiba senyap. Pengsan.
Istihana yang mendengar juga rasa mahu pengsan. Walaupun, dia tidaklah rapat dengan kakaknya itu, tapi tahu mengenai sakit Ismalina membuatkan dia lemah semangat. Macam-macam yang datang dalam kepalanya.

YOU ARE READING
Jangan Tak Balas Cintaku
RomanceSatu... dua... tiga ... empat. Aku kejar kau sampai dapat