Di hari ulang tahunmu yang ke dua puluh lima,
kuberikan sebuah puisi tanpa nada irama,
walaupun tidak setanding emas permata,
biarpun cuma kata-kata yang dianggap dusta.Tidak kutahu bagaimana untuk mengarangnya,
tidak juga kufasih untuk melontarkannya,
lidah pelat ini seakan sudah berkarat,
biarpun segalanya ada dalam minda sarat.Tersenyumlah wahai bidadari,
jalani hidupmu dengan riang sehari-hari,
bersinarlah kembali seperti matahari.
Seharian dia kekal menyendiri,
tak pernah lelah menerangi pelusuk bumi,
biar terasing di dalam ruang galaksi sepi.Usahlah kau menjadi seperti bumi,
membiar dirinya diratah cerucuk besi,
batu-batu konkrit sering mahu menghimpit,
membuat dirinya selalu merintih sakit.Terkadang kau perlu menjadi buta,
biarpun kau sering dikeji nista,
dari terus melihat kecaburan dunia,
pekakkan telinga dari mendengar omongan manusia,
yang rakus merobek nyawa dengan rasa jemawa,
kau berhak berdiam dan kekal memeluk jiwa.Dalam keghairahan mengejar sesuatu yang rambang,
kita lupa menutup segala ruang yang kelompang,
lubang bercabang penuh mambang menumpang,
menjadi badang jalang bersawat sandang,
berwajah garang gagah menghunus pedang,
menikam kejam tak mudah dikertang.Maka, berbahagialah selamanya,
dakaplah rasa cinta hingga ke tua,
biarkan mata ketiga itu menembusi lapisan dunia,
memerhati dan memahami akan isi-isinya.Moga kau terus kuat dan bertahan,
berjuanglah selagi ada kemampuan,
bersama kita keluar dari kegelapan,
menuju dunia penuh pengcahayaan.Selagi nyawa dan jasad ini masih bersatu,
usahlah kau ragu, aku ada untukmu.