Bab 15

12 1 0
                                    

DAUN pintu aku tolak dari luar. Seperti yang sudah aku jangka, ayah dan mak tiriku sedang menunggu kepulanganku. Liur, aku telan. Sedaya-upaya aku tunjukkan lagak biasa. Selesai mengunci pintu, langkah ingin segera aku aturkan ke kamar namun bicara ayah menghentikanku.

"Jantan mana pula yang hantar kamu balik tu?" dingin sekali suara ayah aku dengar.

"Kawan," jawabku tanpa menoleh memandang ayah. Hati aku tidak berasa sedap. Aku tahu ayah akan memarahi aku saat ini. Namun, aku sudah lali. Lali dengan kata-kata amarah itu sejak dari kecil lagi. Dari dahulu lagi, ayah mendidik aku dengan ketegasan dan marahnya. Tidak pernah sedikit pun ayah berlembut denganku terutama sejak ibu meninggal padahal aku inilah satu-satunya anak ayah. Mungkin kerana aku terlalu degil? Tanda soal menjadi jawabnya.

"Elok sangat la tu berkawan dengan jantan lepas tu balik lewat malam? Hei Aisyah, kamu ni memang tak sedar diuntung betul la. Aku bela sejak dari kecil tapi ini balasan kamu. Nak rosakkan maruah diri, keluarga..kamu tak malu ke?!" tengking ayah.

Aisyah. Satu nama yang sudah lama tidak menjengah gegendang telingaku. Sejak ibu meninggal, aku buang nama itu. Aku tidak sudi mendengar sesiapa pun memanggilku dengan nama itu melainkan ibu. Nama itu aku simpan istimewa hanya untuk ibu.

"Aku tanya ni jawablah!" tengking ayah lagi. Terhinjut bahuku mendengarnya.

"Abang, sudahlah. Nanti tekanan darah abang naik. Abang dah la ada sakit jantung," suara mak tiriku lembut. Aku mengerling memandangnya. Tidak, aku tidak pernah membencinya. Walaupun aku bersikap sedikit dingin padanya, namun tidak pernah sesekali aku hadirkan rasa benci dalam diriku buat dirinya kerana dialah yang berada di samping ayah, menjaga ayah. Aku terhutang budi padanya. Tetapi, dia masih tidak mampu menggantikan takhta ibu dalam hati aku.

"Maafkan Qash kalau ayah rasa Qash ni memalukan keluarga. Ayah anggap saja yang Qash macam tak wujud dalam rumah ni. Baru tenang sikit hidup ayah, kan?"

"Ish, budak ni......."

Aku pantas memboloskan diri ke dalam bilik. Tidak tahan lagi untuk berdiri di situ. Ya, akulah anak yang jahat itu. Akulah anak yang memalukan keluarga itu. Nafas berat aku lepaskan.

Sarah melangkah masuk ke bilik memandangku. Dahinya berkerut seribu. "Kau pergi mana sampai lewat malam baru balik ni? Kau keluar dengan Ziyad ke? Kau nampakkan bertapa marahnya ayah kau tadi. Kau tak kesiankan dia ke?"

Aku pandang Sarah sambil menahan sebak di dada. "Kau tanya aku, aku tak kesiankan ayah ke? Sekarang aku tanya kau, pernah ke dia kesiankan aku? Pernah ke dia tanya apa yang aku nak dalam hidup ni? Pernah ke dia tanya aku ni okey ke, sihat ke, tertekan ke, sakit ke? Tak pernah kan? Semua benda aku kena hadap dan uruskan sendiri. Yang dia tahu cuma nak marah, marah dan marah aku. Dalam fikiran dia, aku ni cuma anak yang memalukan dia saja. Kau faham tak?!" jerkahku.

Terdengar batukan di luar pintu. Aku dan Sarah tersentak. Ayah...dengar ke? Aku mengetap bibir. Biarlah, biar dia dengar semuanya. Sarah berdehem sekali dua. Dia berdiri memeluk tubuh di hadapanku.

"Aku sebenarnya ada benda nak beritahu kau ni. Pasal Ziyad."

Aku mengeluh. "Dah la, aku tak nak dengar pasal dia. Aku letih ni, nak rehat. Kau tolong keluar dari bilik aku boleh tak?" pintaku.

"Tapi ni...."

"Please? Go?" rayuku. Sarah yang seakan-akan mengerti akan permintaanku melangkah keluar dengan berat. Sempat dia meninggalkan pesanan.

"Aku cuma nak tengok kau bahagia, Qash. Aku sayang kau."

Bahagia? Masih tersimpankah rasa itu untukku?

Maskulin Where stories live. Discover now