HIDUNG dan mata, saya tekankan ke badan datuk dengan sekuat hati. Gegendang telinga saya terus juga menangkap bunyi suara orang ketawa sambung-menyambung. Bila suara orang ketawa itu berakhir, segera digantikan dengan bunyi tapak kaki binatang yang sedang berlari, macam bunyi tapak kaki kerbau dikejar harimau.Saya ketakutan, bulu tengkuk meremang. Badan datuk saya paut sepenuh tenaga. Saya tidak mahu berpisah dengan datuk. Dalam saat yang serba gawat itu, saya rasa bahu kanan saya di pegang oleh orang. Badan saya terus menggeletar.
"Tamar kau cucu tuk," saya terdengar suara datuk cukup jelas. Tangan yang terlekap atas bahu saya segera bergerak ke kepala.
"Cucu tuk harus berani, hanya orang yang berani dan tegas saja yang boleh hidup dalam dunia yang penuh dengan tipu daya manusia," tambah datuk sambil menepuk-nepuk kepala saya.
Saya segera memisahkan muka saya yang terlekap di badan datuk. Kelopak mata pun saya buka luas-luas. Saya jadi tergamam sebentar sambil mengedutkan kulit dahi. Ada sesuatu yang aneh terasa dalam diri. Saya segera terfikir, apakah saya bermimpi atau berada dalam alam khayalan. Saya segera meraba kulit pipi, batang hidung dan daun telinga. Kemudian ibu jari saya gigit sekuat hati hingga terasa sakit, ternyata saya tidak bermimpi. Saya berada di alam nyata, batang tubuh saya terpacak di atas bumi di halaman rumah Dumba di malam yang tidak berapa pekat.
"Tuk, apa dah jadi," tanya saya.
"Kita diuji dan diperdayakan, kita harus melawan. Jika kita lari bererti kita akan mati," jawab datuk sambil meletakkan tapak tangan kanannya di atas bahu kiri. Tangan kirinya diluruskan. Kaki kanannya dibengkukkannya sedikit, manakala kaki kirinya tetap dalam keadaan lurus.
Bunyi angin yang merempuh dedaun pinang dan kelapa cukup kuat kedengaran. Putik-putik kelapa dan pinang berguguran ke bumi, macam bunyi buah mempelam gugur yang pokoknya digoncang oleh manusia. Datuk segera merenung langit malam, ada bulan berbentuk sabit yang mula didekati oleh awan hitam berbentuk kepala burung geruda. Angin terus menderu, sayup-sayup terdengar suara jampuk miang meningkah suara burung hantu mengilai di hujung dahan, sesekali terdengar bunyi raungan serigala di kaki bukit. Semuanya menjadikan suasana malam itu cukup seram dan menakutkan. Bila saya renung ke arah kaki bukit, terlihat kabus putih memanjang naik ke udara, kabus itu bagaikan bergerak menuju pada saya dan datuk dalam bentuk lembaga manusia bermata satu. Biasanya kabus tidak akan terus naik menuju ke langit tetapi, kabus yang saya lihat ini, memang ganjil pada bentuknya yang seakan-akan bentuk pokok besar tanpa dahan dan ranting. Dalam keadaan bentuk pokok besar itu, ia kelihatan menembusi langit.
Saya jadi bodoh dengan keadaan yang begitu pelik. Tiba-tiba kabus yang berbentuk pokok itu mengepung diri saya dan datuk. Apa yang wujud di hadapan kami ialah pemandangan yang semuanya kelihatan putih macam kain kapan pembalut mayat. Datuk masih tidak berganjak dari tempat asalnya. Dia bagaikan tidak ambil kisah apa yang terjadi di hadapan matanya. Dalam sekelip mata kabus yang berbentuk pokok besar itu menjadi manusia berkepala tengkorak. Dari leher ke perut berbentuk badan ular sawa. Dari bahagian perut hingga ke bahagian lutut berbentuk ruas buluh. Anehnya, mereka tidak mempunyai kaki untuk memijak bumi, keadaannya tergantung-gantung. Jumlahnya pula bukan sedikit.
Semua manusia tengkorak itu bergerak sambil mengeluarkan suara ketawa yang memanjang, manakala bahagian mata yang berlubang mengeluarkan beribu-ribu kelip-kelip atau kunang-kunang. Semua kunang-kunang itu menuju ke arah datuk, macam lebah yang keluar dari sarang kerana di kacau orang. Seluruh tubuh datuk digayuti oleh kunang-kunang itu, datuk terus melompat sambil berkata :
Allah hu Akhbar tiga kali berturut-turut. Habis saja datuk menyebut perkataan tersebut, kunang-kunang itu hilang.
Datuk terus membaca sesuatu sambil membuka kain ikat kepalanya. Dalam saat yang sama terdengar ledakkan. Api pun menjilat seluruh kawasan tempat lembaga putih berdiri. Suara tangisan mula kedengaran, bila api yang marak itu padam. Saya dan datuk tetap berada di tempat asal iaitu di halaman rumah Dumba.