Ilmu Papan Sekeping

927 35 0
                                    


SUDAH dua jam, saya duduk di pangkal pokok kekabu di tebing sungai. Tidak ada seekor ikan pun yang mahu menjamah umpan di mata pancing.

"Banyak ikan yang kau dapat?"

Saya segera menoleh ke kanan. Samad Perang tercegat di situ dengan sepasang matanya merenung tajam ke arah saya. Batang pancing saya cacakkan ke tanah.

"Tak ada ikan yang mahu makan umpan pancing. Bila pakcik datang dari Kuala Lumpur?"

"Dah dua hari, melihat rumah lama dan kawasannya. Sudah penuh dengan lalang."

"Dah jumpa datuk saya?"

"Belum lagi, cadang tu memang nak jumpa dia, sengaja pak cik jalan ikut tepi sungai, redup sikit."

"Kalau pakcik nak jumpa dia elok sangat tu, diapun ada di rumah. Masa saya tinggalkan tadi, dia mencangkul."

"Tak apalah Tamar, kau memancinglah tetapi, kau ingat memancing ni mesti sabar."

"Ya pakcik."

Samad Perang terus meninggalkan saya di perdu kekabu. Samad Perang yang saya lihat sebentar tadi, berbeza dengan Samad Perang yang dulu. Mukanya kelihatan bersih dan badannya gemuk. Kulit mukanya kelihatan kemerah-merahan. Matahari petang yang memancar garang mula menurun. Air sungai yang tadi memancarkan cahaya yang berkilau-kilau kerana dipanah sinar matahari, sudah tidak bercahaya lagi. Tetapi, ikan-ikan terus bermain di permukaan air sambil menangkap serangga yang hanyut. Anehnya, ikan-ikan itu tidak mahu menjamah umpan beras kunyit di mata pancing. Selalunya, umpan yang dibuat oleh nenek jadi kegemaran ikan, belum pernah saya pulang ke rumah dengan tangan kosong. Paling kurang saya akan dapat dua tiga ekor baung putih dan teroboi atau ikan keli. Petang itu, tuah tidak berada di pihak saya. Pulanglah saya dengan tangan kosong bersama matahari petang yang kian rapat ke puncak gunung di seberang sungai.

"Kenapa muka masam macam cuka, kau tak dapat ikan," tegur nenek bila saya sandarkan batang pancing di pokok rambutan di belakang rumah.

Pertanyaan nenek tidak saya jawab. Saya terus duduk di anak tangga bongsu.

"Tamar, aku bercakap dengan kamu, kenapa kamu diam?" Suara nenek mula meninggi. Berdiri di depan saya bercekak pinggang. Kain tudung yang menutup kepalanya jatuh atas bahu. Dan sanggul lintangnya jelas kelihatan, hitam berkilat diselang-seli dengan uban.

"Saya meradang tak dapat ikan nek."

"Itu puncanya, eh apa kau sudah lupa, rezeki kita di tangan Allah, kalau kau sudah berusaha tetapi, tidak dapat, ertinya rezeki kau tak ada, apa kau mahu melawan kuasa Allah."

"Tidaklah begitu nek."

"Kalau sudah tahu, kenapa kau mesti marah? Kau harus bersyukur kerana hari-hari lain kau dapat ikan."

Saya terdiam mendengar kata-kata nenek itu. Saya terus senyum dan bangun menuju ke arah datuk yang sedang duduk termenung di penjuru halaman rumah sebelah kanan.

Tangannya masih memegang cangkul.

"Ada pakcik Samad Perang jumpa Tuk?"

"Ada, kenapa Tamar?"

"Sebelum dia jumpa tuk, dia jumpa saya di tepi sungai."

"Hum, macam tu, dia baru saja balik."

Saya anggukkan kepala mendengar cerita dari datuk itu. Datuk dan saya beredar dari situ menuju ke bawah pokok manggis yang tidak jauh dari kaki tangga. Di bawah pokok tersebut datuk dirikan pelantar papan yang muat untuk empat orang duduk bersila. Tiang pelantar datuk buat dari buluh kuning, tingginya kira-kira satu kaki dari paras bumi. Saya dan datuk terus duduk di situ. Beberapa minit kemudian nenek datang meletakkan dua cawan kopi panas.

Siri Bercakap Dengan Jin ( JILID 3 )Where stories live. Discover now