Sebilah Keris Aneh

1K 34 0
                                    


Baru dua langkah datuk mengatur tapak, saya terpandangkan cahaya api yang kuat. Cahaya itu kelihatan bergerak menuju ke masjid. Perasaan saya jadi cemas.

"Ada orang bawa suluh datang ke sini tuk", kata saya memberitahu datuk. Dan datuk segera membatalkan niatnya menuju ke arah benda jatuh. Dia patah balik dan berdiri dekat saya di ambang pintu masjid. Tiada rasa cemas dan bimbang terpamer di wajahnya.

"Tamar"

"Ya tuk"

"Yang kau tengok tu bukannya suluh."

"Kalau bukan suluh, apa dia tuk?"

"Itu disebut andang yang dibuat dari daun kelapa."

"Hum, saya tak tahu tuk."

"Kalau tak tahu belajar, orang Melayu kaya dengan bahasa, setiap benda ada nama dan gelarannya."

"Huh..", satu keluhan terpancut dari mulut saya.

Dalam saat-saat cemas begitu, datuk masih mahu memperkenalkan saya dengan benda-benda yang baru. Saya mula terasa yang diri saya ini, terlalu miskin dengan perbendaharaan kata-kata bahasa sendiri. Mata saya masih lagi terpaku pada andang daun kelapa. Bunga-bunga api yang dicipta oleh andang tersebut kelihatan berterbangan di udara, sebelum jatuh ke bumi. Satu pemandangan yang amat menarik dan cantik bagi saya. Cahaya api itu, kian lama kian hampir ke masjid.

"Sahabat, saya datang", dada saya terasa lapang. Saya kenal dengan suara itu. Datuk renung muka saya. Api andang daun kelapa pun padam. Dengan tenang Mahyuddin melangkah menghampiri saya dan datuk. Wajahnya nampak tenang.

"Kenapa lambat!"

"Mencari benda yang mahu saya serahkan pada awak. Benda itu hilang dari tempat simpanannya", suara Mahyuddin penuh kesal.

Datuk terus menepuk-nepuk bahu Mahyuddin beberapa kali. Mahyuddin seluk baju cekak musang yang dipakainya. Dia mengeluarkan sekotak mancis cap kuda terbang. Mahyuddin terus membakar sumbu pelita minyak tanah yang dibawanya. Sebahagian daripada ruang masjid terang benderang dilingkari oleh cahaya lampu minyak tanah.

Saya merenung ke luar, tidak ada satu benda pun yang dapat saya lihat, suasananya gelap. Datuk dan Mahyuddin sandarkan badan ke dinding masjid. Masing-masing merenung api di sumbu pelita minyak tanah yang terlentuk-lentuk ke kiri dan ke kanan mengikut hembusan angin malam. Suara cengkerik jelas kedengaran.

"Tadi ada benda jatuh dalam masjid, baru mula nak cari, awak dah datang", ujar datuk seraya menggosok-gosok pangkal hidungnya.

"Apa bendanya sahabat?"

"Entah, saya pun tak tahu, pinjam pelita sekejap biar saya cari apa bendanya."

"Itu memang elok, kalau yang jatuh tu benda tak bernyawa tak apalah, tetapi kalau benda bernyawa seperti ular atau lain-lain, bahaya kita dibuatnya."

"Betul cakap awak", balas datuk.

Saya renung kiri kanan, memang seram bila Mahyuddin menyebut perkataan 'ular' bulu tengkuk saya berdiri dengan sendiri. Saya dapat membayangkan kalau benar ular jatuh tengah masjid, pasti bukan ular sembarangan, mungkin ular jadi-jadian. Saya terus melompat dan duduk di sisi Mahyuddin.

"Kau takut?" Tanyanya pada saya.

"Tidak", balas saya sambil menegakkan dada.

Tunjuk berani tetapi, hati tetap berdebar. Tuhan sahaja yang tahu perasaan saya ketika itu. Kepala lutut saya yang bertemu dengan kepala lutut Mahyuddin menggeletar, membuat Mahyuddin tersenyum sinis pada saya. Dengan cahaya pelita minyak tanah di tangan, datuk terus berarak menuju ke arah sebelah kanan masjid. Datuk yakin di situlah benda ganjil itu jatuh. Saya dan Mahyuddin hanya melihat segala gerak-geri datuk.

Siri Bercakap Dengan Jin ( JILID 3 )Where stories live. Discover now