Bomoh Terjun

840 31 0
                                    


DATUK terus memulaskan kedua belah tangan Samad Perang ke belakang. Udin Candung pula memegang kedua belah kaki. Mamat Bukit terus duduk di atas belakang Samad Perang.

"Dollah kau ambil rotan," Mamat Bukit beri arahan pada Dollah Beranggas. Cepat-cepat Dollah Beranggas melompat ke tanah dan segera naik ke rumah bersama segulung rotan.
Tanpa membuang masa, Dollah Beranggas buka gulung rotan dan terus mengikat kedua belah pergelangan kaki Samad Perang.

"Rotan. Aku nak ikat tangannya, cepat sikit Dollah," Dollah pun melemparkan rotan pada Mamat Bukit. Kedua belah tangan Samad Perang pun terus diikat.
Samad Perang terkapar di situ, nafasnya tercungap-cungap macam ikan atas daratan.

Mungkin kerana letih membuat datuk, Mamat Bukit, Udin Candung dan Dollah Beranggas tersandar di dinding rumah.

"Kita tak boleh membiarkan dia begitu, kesian dan tak elok pada mata orang lain, macam kita tak berakal sangat," kata datuk pada Mamat Bukit.

"Habis apa yang patut kita buat?, Kalau kita buka ikatannya nanti dia membunuh orang lain."

"Bagaimana, kalau kita rantaikan kakinya pada tiang seri."

"Betul juga cakap awak, kita kena berunding dengan kaum keluarganya dulu."

"Terpulanglah pada awak Mamat."

Mamat Bukit pun menemui keluarga Samad Perang. Setelah berunding Mamat Bukit menyuruh Dollah Berangas mencari rantai besi dan kunci. Dollah Beranggas segera akur dengan permintaan Mamat Bukit itu.Setengah jam kemudian, Dollah Beranggas kembali ke rumah dengan membawa rantai besi serta ibu kunci tembaga. Semuanya diserahkan pada Mamat Bukit.

"Di mana kamu dapat barang-barang ni Dollah?" Soal Mamat Bukit.

"Rantai besi dan kunci tu, saya pinjam dari Haji Ishak."

"Macam rantai pengikat sampan (perahu) rupanya."

"Ya, memang rantai pengikat sampan, kunci tembaga tu kunci peti duitnya."

"Habis sekarang peti duitnya tak berkuncilah Dollah?"

"Duitnya memang tak ada, dia simpan petinya saja," kata Dollah Beranggas sambil tersenyum.

Samad Perang pun diangkat berhampiran tiang seri, kakinya terus dirantai, dan dikunci. Rotan yang mengikat kaki dan tangannya pun dibuka. Samad Perang terus bangun sambil meronta-ronta.

"Lepaskan aku, lepaskan aku, aku nak kambing putih, aku nak balik ke bukit," jerit Samad Perang dengan lantang.

Pinggan berisikan nasi yang dihulurkan oleh isterinya terus dipecahkannya dan nasinya dipijak-pijak. Jiran-jiran yang melihat kejadian aneh itu, ada yang geleng kepala dan ada pula yang menangis penuh simpati. Beberapa orang dukun yang cuba mengubati semuanya kena maki hamun dari Samad Perang. Dan datuk tidak dapat berbuat apa-apa dalam masalah ini, datuk merasakan apa yang terjadi pada diri Samad Perang memang ganjil sekali.

"Pelik, sungguh tadi elok sihat tiba-tiba ini jadinya," keluh datuk.

"Bukan apa-apa tu, kena sampuk penunggu bukit," celah Mamat Perang.

"Penunggu?"

"Ya, apa awak tak percaya? Awak dah tengok sekarang."

Datuk menggigit kuku di jari manis. Dia agak enggan mahu mengakui kebenaran kata-kata akhir dari Mamat Bukit itu. Dan Mamat Bukit bagaikan tahu kesangsian yang bermain dalam diri datuk.

"Kau tidak percaya pada penunggu?"

"Susah nak aku cakpkan, terus terang aku katakan pada kamu Mamat, ini semuanya kerja syaitan."

Siri Bercakap Dengan Jin ( JILID 3 )Where stories live. Discover now