Mamat Bukit yang Gagah

891 32 0
                                    


Saya dan datuk berpandangan, tahulah kami sebelum kami tiba ke situ, mereka terlebih dahulu sampai.

"Lagi apa yang kau dapat?", tanya Mamat Bukit pada Dollah Beranggas sambil merenung muka Samad Perang. Mereka berbalas senyum. Dengan tenang Dollah Beranggas mengeluarkan seluar dan baju kelabu yang ada tanda tentera di dadanya. Dia juga mengeluarkan beberapa kerongsong peluru.

"Ini baju dan seluar dalam perempuan. Aku jumpa tiga keping gambar", Dollah memberikan gambar-gambar itu pada datuk. Habis saja datuk melihatnya diserahkan pada saya. Saya lihat gambar itu dengan tenang, dua keping gambar menunjukkan dua orang lelaki bersama keluarganya, manakala yang sekeping lagi gambar seorang gadis bersama orang tuanya. Saya kira lelaki tua itu ayahnya.

"Saya fikir barang-barang ni membahayakan diri kita. Kalau kita tertembung dengan orang dalam (komunis) kita akan ditahan, dan kita tak boleh mencari rotan di sini", ujar Mamat Bukit.

"Apa yang nak ditakutkan? Kita jumpa dari bangkai kapal terbang. Orang dalam tu sendiri tentu sudah jumpa lebih dahulu dari kita. Aku ingat orang-orang yang ada di dalamnya sudah dibunuh", Dollah Beranggas bersuara.

Dia terus memberitahu datuk yang dia dan kawan-kawannya pernah melihat sebuah kapal terbang berlegar-legar rendah di kawasan hutan Bubu, Senggeng, kemudian terus hilang.

"Aku melihatnya dari Kampung Cangkat pada satu petang kira-kira tiga bulan yang lalu, dan sekarang kita sudah jumpa", tambah Dollah Beranggas lagi. Dia enggan memenuhi permintaan Mamat Bukit yang mahu semua barang-barang itu dibakar.

"Demi keselamatan diri kita, ada baiknya kita bakar", kata datuk. Dan cakap datuk itu segera dipatuhi. Selepas menunaikan sembahyang Maghrib, semua barang-barang itu jadi bahan unggun api. Rasa sedih dan hampa terbayang di wajah Samad Perang dan Dollah Beranggas.
Kira-kira dua belas malam, bangsal tempat kami berteduh bergegar, macam digoncang orang. Datuk yang sedang wirid membaling tasbih segera membangunkan Mamat Bukit dan Mamat Bukit memerintahkan kawan-kawannya memeriksa setiap penjuru bangsal. Tidak terdapat tanda-tanda kesan orang atau binatang liar yang datang ke situ. Keadaan begini mendatangkan rasa cemas di hati saya.

"Tiga batang rotan semambu saya hilang", datuk mengadu kepada Mamat Bukit yang masih tercegat di depan bangsal. Wajah Mamat Bukit saya lihat cemas sedikit.

"Di mana awak letak?"

"Saya letak dekat hujung lutut.

"Awak dah cari?"

"Nak cari apa, masa bangsal ni bergoyang rotan semambu masih ada lagi di situ tak sampai seminit rotan semambu itu hilang dari mata.
Mamat Bukit terdiam mendengar penjelasan dari datuk. Dengan lampu picit berubat (bateri) lapan, Mamat Bukit menyuluh tempat datuk meletakkan rotan semambunya. Datuk menepuk dahi dua tiga kali, rotan semambunya masih berada di situ. Bila datuk mahu menjamahnya, Mamat Bukit segera menahannya.

"Jangan, kita tengok dulu", kata Mamat Bukit tanpa mengubah pancaran cahaya lampu picit nya. Tiga batang rotan semambu itu bergerak-gerak dan bertukar warna dari hijau menjadi merah, hitam dan kuning macam tembaga. Dalam beberapa saat pula bertukar menjadi ular tedung yang kepalanya menghala pada kami. Mamat Bukit terus melompat dan menyambar ranting pokok berdaun hijau di sisinya.
Daun dan ranting dihumbankan pada rotan semambu yang menjadi ular. Ketika ranting dan daun hijau mengenai rotan semambu, saya terlihat satu pancaran cahaya macam kilat yang datang dari arah kanan bangsal, rotan semambu milik datuk kembali pada keadaan asalnya.

"Ganjil", kata datuk.

"Ganjil pada awak, pada kami tidak. Hal semacam itu selalu terjadi pada pencari rotan", dedah Mamat Bukit lalu mengajak saya dan datuk duduk berlonggok dengan kawan-kawannya.

Siri Bercakap Dengan Jin ( JILID 3 )Where stories live. Discover now