Bila datuk merasakan tidak ada hal-hal yang perlu dilakukannya, dia pun mengajak kami pulang.
"Kalau sesiapa di antara kamu masuk ke dalam hutan dan bertemu dengan pokok yang tumbuh dalam kolam, hati-hatilah menggunakan air dari kolam tersebut", sambil mengeliat datuk berkata begitu kepada saya.
"Kenapa tuk?"
"Orang tua-tua dulu yang kaya dengan ilmu dunianya, membuang saka ilmu dunia dengan tiga cara, terutama kalau ilmu yang dituntutnya bercanggah dengan ajaran Islam atau ilmu yang dituntutnya akan menjadi ilmu keturunan", datuk memicit-micit bahu kirinya dengan tapak tangan.
"Ke mana ilmu salah tu dibuang tuk?", soal saya lagi.
Datuk terdiam seketika macam mengingati sesuatu. Dia terus melangkah mencari arah jalan pulang yang harus dilalui. Datuk memilih jalan pulang ikut sebelah kanan bukit, datuk tidak mahu mengikut jalan awal yang telah digunakan tadi. Apa tujuan datuk berbuat demikian, saya tidak dapat meramalkan. Mungkin ada muslihat tertentu fikir saya.
Saya dongak ke langit, matahari sudah berubah kedudukannya. Tiupan angin juga tidak serancak tadi. Mengikut kedudukan matahari, saya kira waktu zohor sudah hampir dan saya dapat menduga bahawa datuk mahu mencari jalan dekat supaya cepat sampai ke rumah. Dia mahu berada di rumah sebelum waktu zohor berakhir.
"Tempat yang dipilih ialah Kuala Sungai yang bertemu dengan laut, dan ketiga seperti yang aku lakukan tadi", secara mendadak datuk menjawab pertanyaan saya yang terputus tadi.
Jawapan yang saya nantikan tu datuk berikan ketika saya bergayut pada sebatang pokok untuk turun dari puncak bukit. Saya tersenyum sendirian, dengan sikap datuk. Kenapa untuk menjawab pertanyaan yang mudah itu mesti memakan masa yang agak lama. Saya rasa menuruni bukit lebih sukar dari mendakinya. Sebabnya, ketika menuruni bukit kita harus pandai mengimbangi badan, kalau kurang pandai boleh membuat kita terlajak ke depan yang boleh menyebabkan kita terlanggar batu atau pokok. Anehnya kesukaran yang saya hadapi itu, tidak menjadi masalah buat datuk. Dia boleh berjalan dengan cepatnya.
Akhirnya, kami sampai ke kaki bukit. Perjalanan seterusnya tidaklah berapa sukar. Tetapi, sendi kedua belah kaki saya mula berasa sengal dan sakit-sakit.
"Hati-hati minum air kolam yang ada pokok tumbuh di dalamnya, mana tahu kalau pokok itu dijadikan penekan ibu ilmu salah, kalau orang yang membuang ilmu bisa itu tidak menawarnya akan membawa padah pada orang yang meminumnya", datuk mengingatkan saya dan Dumba, ketika itu kami sudah agak jauh meninggalkan bukit yang telah kami daki tadi.
Suara kenderaan mula terdengar sayup-sayup menendang gegendang telinga. Langkah saya terus rancak, kalau diturutkan hati mahu saja saya berlari supaya segera sampai ke tepi jalanraya. Rupanya langkah saya yang rancak dan bersemangat itu tidak boleh dilanjutkan lagi. Ada sesuatu yang menghalangnya. Datuk menyuruh saya dan Dumba berlindung di balik pokok besar.
Tindakan datuk itu amat mengejutkan. Wajahnya kelihatan cemas sedikit. Dari balik pokok besar saya dan Dumba melihat dengan teliti tingkah laku datuk yang berdiri di kawasan yang agak lapang itu. Datuk meletakkan tangan kanannya ke cuping telinga kiri, macam mendengar sesuatu. Datuk melangkah dua tapak arah ke kanan. Berhenti di situ sambil merenung dedaun pokok yang bergoyang di kiri kanannya kerana dirempuh angin.
"Silakan, kalau masih sangsi", suara datuk cukup lantang.
Saya tidak tahu kepada siapa kata-kata itu ditujukan oleh datuk. Dumba renung muka saya dengan penuh rasa ragu dan bimbang. Saya cuma tersenyum saja. Tetapi, mata saya tetap tertumpu ke arah datuk. Saya Iihat, datuk menapak dua langkah ke kiri pula, berhenti di situ dengan tenang. Macam menanti sesuatu. Siapakah yang datuk tunggu dan nanti dalam hutan begini, kata hati saya.